DARI kiri, anggota Queen iaitu Jim Beach, Roger Taylor dan Brian May bersama Rami Malek, Graham King serta Mike Myers. FOTO EPA
DARI kiri, anggota Queen iaitu Jim Beach, Roger Taylor dan Brian May bersama Rami Malek, Graham King serta Mike Myers. FOTO EPA
Michelle Gun

Meskipun memperoleh enam pencalonan termasuk kategori utama iaitu Filem Muzikal atau Komedi Terbaik dalam Anugerah Golden Globes ke-76, Vice cuma membawa pulang satu trofi.

Karya komedi arahan Adam McKay itu menyaksikan Christian Bale dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik bagi kategori terbabit menerusi persembahan mantapnya sebagai bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Dick Cheney.

CHRISTIAN Bale menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Vice. FOTO NBC Universal
CHRISTIAN Bale menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Vice. FOTO NBC Universal

Malam kemuncak acara tahunan yang berlangsung di Hotel Beverly Hilton, Los Angeles, AS semalam turut menyaksikan kegagalan filem A Star Is Born menggondol beberapa trofi menerusi lima pencalonan.

Pencapaian filem dikatakan mendapat pilihan berat sebelah hanya mengungguli kategori Lagu Asal Terbaik menerusi persembahan Lady Gaga bagi lagu Shallow.

A Star is Born raih Lagu Asal Terbaik menerusi persembahan Lady Gaga bagi lagu Shallow. FOTO Reuters
A Star is Born raih Lagu Asal Terbaik menerusi persembahan Lady Gaga bagi lagu Shallow. FOTO Reuters

Sebaliknya, Bohemian Rhapsody, biopik vokalis kumpulan Queen, Freddie Mercury yang mengalami masalah produksi menewaskan A Star Is Born apabila diangkat sebagai Filem Terbaik (Drama).

Karya arahan Bryan Singer itu turut menyaksikan Rami Malek dijulang sebagai Pelakon Drama Terbaik menerusi lakonannya sebagai Mercury yang meninggal dunia pada 1991 akibat Aids.

“Jiwa saya tersentuh dan hati ini berdebar kencang. Terima kasih Freddie Mercury kerana memberi kegembiraan ini.

“Saya sayang awak (Mercury). Anda lelaki terindah. Anugerah ini untuk anda. Menakjubkan,” katanya ringkas selepas menerima trofi.

RAMI memberikan ucapan penghargaan kepada mendiang Freddie. FOTO NBC Universal
RAMI memberikan ucapan penghargaan kepada mendiang Freddie. FOTO NBC Universal

Bagaimanapun, filem Green Book menang besar pada acara itu apabila membawa pulang tiga trofi.

Menyelitkan elemen jenaka, cerita mengisahkan hubungan antara pemain piano Afrika Amerika, Don Shirley dan pengawal peribadinya menerima trofi bagi kategori Filem Terbaik (Komedi atau Muzikal) dan Lakon Layar Terbaik.

Pemegang watak Don Shrley, Mahershala Ali diangkat sebagai Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik Filem.

Dalam ucapannya, Farrelly berkata, karya mengetengahkan persahabatan antara pemain piano berkulit hitam dengan pemandu Amerika-Itali itu memberi harapan kepadanya.

“Saya ingin kongsi harapan itu dengan anda semua kerana kita masih hidup dalam masyarakat yang membahagikan kaum,” katanya.

Ujar pengarah itu lagi, pencapaian berkenaan di luar jangkaan dan tidak pernah terfikir mengenainya sewaktu memulakan pembikinan Green Book.

DARI kiri, Viggo Mortsensen, pengarah Peter Farrelly, Linda Cardellini dan pelakon Mahershala Ali selepas filem Green Book menggondol tiga trofi. FOTO Reuters
DARI kiri, Viggo Mortsensen, pengarah Peter Farrelly, Linda Cardellini dan pelakon Mahershala Ali selepas filem Green Book menggondol tiga trofi. FOTO Reuters

Sementara itu, perkhidmatan penstriman Netflix turut meraikan kejayaan apabila lima karya filem dan televisyen terbitannya meraih trofi kemenangan.

Kejayaan itu termasuk karya Mexico berjudul Roma yang memenangi kategori Pengarah Filem Terbaik dan Filem Asing Terbaik.

Selain itu, siri baru terbitan Netflix, The Kominsky Method menerima trofi Siri Televisyen Komedi atau Muzikal Terbaik.

Pencapaian terbabit sekali gus menimbulkan spekulasi Roma dijangka mempamerkan prestasi cemerlang dalam Anugerah Oscar yang bakal berlangsung bulan depan.

ALFONSO Cuaron memegang trofi Pengarah Terbaik Filem dan Filem Bahasa Asing Terbaik. FOTO EPA
ALFONSO Cuaron memegang trofi Pengarah Terbaik Filem dan Filem Bahasa Asing Terbaik. FOTO EPA

Selain mengendalikan Golden Globes bersama Andy Samberg, Sandra Oh turut membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Siri Televisyen (Drama) menerusi lakonannya dalam Killing Eve.

Anugerah Golden Globes memberi pengiktirafan terhadap karya yang diterbitkan untuk filem dan juga televisyen.

Berbeza dengan Anugerah Oscar, Golden Globes mengasingkan karya drama daripada genre muzikal dan komedi.

SANDRA Oh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama yang dimenanginya. FOTO EPA
SANDRA Oh menunjukkan trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama yang dimenanginya. FOTO EPA

SENARAI PEMENANG KATEGORI FILEM

• Filem Terbaik (Drama) - Bohemian Rhapsody

• Filem Terbaik (Komedi atau Muzikal) - Green Book

• Pengarah Filem Terbaik - Alfonso Cuaron (Roma)

• Pelakon Lelaki Terbaik Filem (Drama) - Rami Malek (Bohemian Rhapsody)

• Pelakon Wanita Terbaik Filem (Drama) - Glenn Close (The Wife)

• Pelakon Lelaki Terbaik Filem (Komedi atau Muzikal) - Christian Bale (Vice)

• Pelakon Perempuan Terbaik Filem (Komedi atau Muzikal) - Olivia Colman (The Favourite)

• Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik Filem - Mahershala Ali (Green Book)

• Pembantu Pelakon Wanita Terbaik Filem - Regina King (If Beale Street Could Talk)

• Filem Bahasa Asing Terbaik - Roma

• Filem Animasi Terbaik - Spider-Man: Into the Spider-Verse

• Lakon Layar Terbaik - Nick Vallelonga, Brian Currie dan Peter Farrelly (Green Book)

• Lagu Asal Terbaik Filem - Shallow (A Star Is Born)

SENARAI PEMENANG KATEGORI TELEVISYEN

• Siri Drama Terbaik - The Americans

• Siri Komedi atau Muzikal Terbaik - The Kominsky Method

• Pelakon Wanita Siri Komedi atau Muzikal Terbaik - Rachel Brosnahan (The Marvelous Mrs Maisel)

• Pelakon Lelaki Siri Komedi atau Muzikal Terbaik - Michael Douglas (The Kominsky Method)

• Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik - Ben Whishaw (A Very English Scandal)

• Filem atau Siri Televisyen Terhad Terbaik- The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story

• Pelakon Lelaki Terbaik Drama - Richard Madden (Bodyguard)

• Pelakon Wanita Terbaik Drama - Sandra Oh (Killing Eve)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:00 PM