KHAI nafi diperguna pihak tertentu. FOTO / HAFIZ SOHAIMI
KHAI nafi diperguna pihak tertentu. FOTO / HAFIZ SOHAIMI
Sudirman Mohd Tahir


PEMBABITAN penyanyi Khai Bahar buat tahun kedua dalam program Misi Kemanusiaan Syria Care anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Syria Care membuktikan kesedaran bintang muda itu terhadap masalah yang membelenggu masyarakat Islam di luar negara terutama di Syria.

Malah, Khai, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin yang sekali lagi dipilih menjadi ikon program itu secara sukarela menghulurkan bantuan tanpa memikirkan soal timbal balik.

Namun begitu, Khai yang popular menerusi lagu Luluh menepis tanggapan segelintir pihak yang dirinya dipergunakan atas faktor populariti bagi menarik lebih ramai peminat menyertai program itu.

Selain program Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care 2.0 ke Istanbul dan Bursa, Turki pada 11 hingga 15 Disember ini, NGO itu turut menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Kemanusiaan Eyes2heart Syria Care yang bakal berlangsung pada 11 November ini.

“Sangat tidak patut cakap saya dipergunakan mereka. Apa yang difikirkan tidak tepat sama sekali. Program sebelum ini pun ada kumpulan Rabbani, jadi peminat mereka turut serta. Mungkin ramai tidak tahu, peminat mereka juga ramai.

“Apabila program ini memerlukan sokongan masyarakat, niat saya untuk membantu dengan mempromosikan dua program yang dijalankan. Saya anggap ini tanggungjawab. Bagi saya tidak ada salahnya apatah lagi saya memang terbabit dalam program ini.

“Peminat yang terbabit bukan saja dalam kalangan peminat saya tetapi artis lain juga. Jadi, istilah mempergunakan itu tak betul sama sekali,” katanya.

Menurut Khai, pembabitannya itu bukan bertujuan menunjuk-nunjuk sebaliknya berasa terharu kerana menjadi insan terpilih menjayakan program kebajikan dan misi kemanusiaan.

“Saya berasa sangat bertuah apabila terbabit dalam program ini buat tahun kedua. Saya terus bersetuju apabila ditawarkan sekali lagi kerana sentiasa menanti peluang sebegini. Bukan mudah untuk menjayakan misi kemanusiaan tanpa adanya saluran betul.

“Kalau ada rezeki lagi, saya mahu terus bersama mereka. Saya okey saja kerana apa yang dibuat ini sesuatu yang berguna untuk semua pihak.

“Saya buat ini bukan untuk kepentingan peribadi atau mahu kaya tetapi mahu membantu. Insya-Allah, jika kita buat seikhlasnya, rezeki akan sentiasa ada,” katanya.

Berkongsi mengenai majlis makan malam itu, Khai bakal menyanyikan empat lagu termasuk satu lagu duet bersama Rabbani.

Selain mereka berdua, antara artis lain terbabit ialah Sufian Saujana, Azhar Hilmi dan Jay Nazif.

Penganjuran majlis itu adalah bagi mengutip dana tambahan untuk disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Syria Care bagi membantu penduduk Islam di Syria.

Pakej makan malam berharga RM5,000 untuk platinum, RM3,000 (emas) dan RM1,500 (perak).

Perkembangan lain, Khai yang dinobatkan Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABPBH 31) baru saja terbabit dalam program Toyota Gazoo Racing yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

“Alhamdulillah, perlumbaan kedua ini berlangsung dengan jayanya. Insya-Allah ada dua lagi perlumbaan. Ini sesuatu yang menyeronokkan meski pertama kali terbabit dalam perlumbaan kereta.

“Diakui setiap kali nak berlumba saya akan gementar. Namun, selepas mula memandu saya perlu fokus terutama di litar. Saya kena tahu bahagian tertentu bagi mengelakkan kemalangan berlaku.

“Litar kali ini mencabar. Saya risau dan takut kalau langgar dinding atau terbabas. Alhamdulillah, saya berjaya habiskan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 6:00 AM