KHAI Bahar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
KHAI Bahar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


Bertuahnya menjadi Khai Bahar kerana bakal menjayakan konsert di Hong Kong yang ditaja kelab peminat Indonesia yang menetap di sana.

Mereka sanggup mengumpul duit bagi merealisasikan impian untuk melihatnya membuat persembahan di sana pada awal bulan depan.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Bayang itu sangat terharu kerana bukan saja mengumpul peminat di negara sendiri, tetapi juga di luar negara.

Katanya, mungkin ramai tidak tahu ada ramai rakyat Indonesia yang tinggal di sana dan mereka menubuhkan kelab peminat dinamakan Khai Bahar Fan Club Hong Kong (KBCH HK).

“Saya difahamkan mereka mulai mengumpul duit sejak aktif menyanyi di aplikasi Smule. Dari awal lagi mereka memasang impian untuk membawa saya ke sana.

“Alhamdulillah selepas membuat perbincangan, saya bakal menemui mereka,” katanya.

Meski pada waktu sama Khai akan terbabit dengan Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura, dia tetap berusaha ke sana tanpa mahu menunda perancangan yang dibuat.

Kata Khai, dia sedaya upaya mencari jalan terbaik agar pihak pengurusannya dapat menjayakan kedua-dua acara tanpa ada satu yang terkecuali.

“Perancangan ke Hong Kong sudah ditetapkan lama. Namun bagi APM ini baru lagi dan tidak menjangka tarikh kedua-dua acara sangat dekat. Dalam perkara ini, saya tetap mengutamakan persembahan di Hong Kong.

“Mungkin selepas APM saya terus menaiki penerbangan ke sana. Pihak pengurusan saya dalam proses mengatur perjalanan. Insya-Allah semuanya dipermudahkan,” katanya.

Untuk konsert di Hong Kong, Khai bakal menyanyikan lagu permintaan daripada peminat. Malah kelab peminat yang ditubuhkan sejak tahun lalu ini aktif dengan pelbagai aktiviti meskipun tanpa kehadirannya.

Khai yang kini muncul dengan single Luluh, bakal mengadakan persembahan mini bagi mempromosikan lagu itu di Jakarta, Indonesia penghujung bulan ini.

“Perkara ini pun sudah lama dirancang cuma baru sekarang ada masa terluang. Sebelum ini saya pernah ke sana bagi sesi promosi, namun tidak berkesempatan menjayakan persembahan.

“Kebetulan saya muncul dengan single baru, jadi mereka menawarkan sekali lagi untuk ke sana. Malah kunjungan kali ini sangat istimewa kerana bakal membuat persembahan yang disiarkan menerusi stesen TV di sana,” katanya.

Selain itu, Khai juga terbabit dalam program Kembara Jiwa dan Kemanusiaan, Umrah dan Ziarah ke Istanbul anjuran Syria Care pada 31 Oktober ini.

Dalam pada menjayakan program itu, Khai mengambil kesempatan dengan membawa ibu bapanya menunaikan umrah.

“Ikutkan perancangan nak bawa mak dan ayah pergi umrah tahun depan. Kebetulan saya terbabit dalam program ini, saya pun bawa mereka sekali. Namun saya menggunakan duit sendiri kerana itu memang niat sejak dahulu lagi.

“Apabila ditawarkan menyertai program ini, saya terus menyatakan persetujuan. Bagi saya ia sesuatu yang bagus dan bermanfaat untuk dikongsi. Sekurang-kurangnya saya dapat mengajak dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pelarian Syria di Istanbul,” katanya.

Khai berada di sana selama dua minggu dan turut disertai Ustaz Azadan dari kumpulan Rabbani. Katanya, dia sangat teruja untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang diatur Syria Care.

“Bukan mudah dapat peluang sebegini. Sebagai penyanyi baru, saya bertuah kerana dipilih untuk menjayakan program ini.

“Sebelum ini saya hanya mendengar kisah pelarian Syria di Istanbul tetapi apabila diberi peluang ke sana dan berjumpa mereka, ia membuatkan saya terharu. Insya-Allah saya juga bakal menghiburkan mereka di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 3:33 AM