KHAI Bahar
KHAI Bahar
Oleh Najiy Jefri


PELANTIKAN penyanyi Khai Bahar sebagai Ikon Kemanusiaan Syria Care sudah memasuki tahun ketiga. Justeru, ia dianggap rezeki dan peluang berharga buatnya.

Khai ketika ditemui berkata, tiada apa dapat dizahirkan selain rasa syukur apabila dapat terus menyumbangkan tenaga untuk kerja amal dan aktiviti kebajikan.

Menurut Khai, penyertaan dalam misi kemanusiaan ini diharapkan dapat membuka matanya melihat penderitaan yang dialami penduduk Syria sekali gus meringankan beban yang ditanggung saudara sesama Islam.

“Walaupun sudah dua kali mengikuti program sebegini, namun jika diizin Allah saya akan memasuki Syria buat kali pertama tidak lama lagi untuk melihat dengan lebih jelas keadaan berlaku di sana.

“Jika tahun sebelumnya, saya tidak berpeluang untuk ke Syria namun Insya-Allah impian untuk menjejakkan kaki ke sana akan menjadi kenyataan.

“Saya ingin lihat dengan mata sendiri situasi keadaan di sana dan bagaimana masyarakat di Syria menjalani kehidupan harian mereka,” katanya.

Tambah Khai, dia menyeru bukan hanya kepada peminatnya tetapi seluruh rakyat Malaysia untuk menderma dan memberikan sumbangan seikhlas hati.

“Sedekah adalah satu amalan yang mulia. Justeru, saya berharap ia tidak berhenti kerana sedekah itu sebahagian daripada saham akhirat kita.

“Peluang menziarah penduduk di Syria itu nanti pastinya akan membuatkan saya sangat bersyukur dapat menjalani kehidupan aman damai di Malaysia. Apapun, tiada salahnya jika terus menghulur bantuan,” katanya

Selain Khai, misi kemanusiaan itu turut disertai penyanyi Wany Hasrita, PU Selebriti Dr Taha Omar, pensyarah Dr Mohd Azrul Azlen Abd Hamid serta isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad yang dipilih sebagai Ikon Kemanusiaan untuk tujuan murni ini.

Pengarah Projek Kembara Jiwa dan Kemanusiaan Syria Care 3.0, Nurdieana Mohd Mardzi berkata, rombongan misi kemanusiaan itu dijangka akan berkunjung ke Turki dan Syria.

“Saya mohon kepada masyarakat di negara ini untuk kita saling mendoakan kejayaan program ini terutama apabila ia akan disertai ikon yang dipilih Syria Care,” katanya.

Tambah Nurdieana, pelbagai aktiviti bersama pelarian di kem, anak-anak yatim dan juga ibu tunggal dirancang untuk disertai oleh ikon dipilih nanti.

“Malah, aktiviti paling menarik dirancang dalam program ini nanti ialah melihat sendiri pembinaan Sekolah Ulfah (Perempuan) di Atma, Syria yang menjadi fokus pengumpulan dana dilakukan pihak ikon.

“Kira-kira RM231,840 diperlukan untuk pengurusan sekolah itu dan projek pengumpulan dana ini sudah dimulakan sejak Oktober 2019 lagi dan akan berterusan pada tahun ini.

“Komitmen dan pembabitan ikon dipilih sangat penting sebagai perantara kepada rakyat Malaysia terutama terhadap ketelusan kerjaa kemanusiaan dikendalikan Syria Care,” katanya.

Sehubungan itu, bagi pihak berminat menghulurkan dana sumbangan untuk projek

pembinaan Sekolah Ulfah yang dirancang sangat dialu-alukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:30 AM