KHAI Bahar. FOTO Eizari Shamsudin
KHAI Bahar. FOTO Eizari Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Khai Bahar sekali lagi dilantik menjadi Ikon Misi Kemanusiaan Syria Care bagi tahun kedua.

Khai, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, itu peluang yang tidak semua orang dapat sekali gus menganggap ia saham akhirat untuk dirinya.

“Apabila ditawarkan sekali lagi untuk terbabit dalam misi kemanusiaan ini, saya okey dan tidak berfikir panjang. Saya berasa seronok dan teruja untuk menjayakan program ini sekali lagi.

“Ini adalah kerja sukarela kerana saya ingin berkongsi dengan masyarakat supaya dapat bersama-sama menghulurkan bantuan bagi penduduk Syria. Kalau tidak dapat turut serta, memadai dengan menderma. Itu juga sebahagian daripada usaha.

“Mungkin masih ramai tidak tahu, penduduk di sana bergelut dengan kesengsaraan, dibunuh secara kejam, diseksa fizikal dan mental, dibom sesuka hati serta dibiarkan kebuluran hingga ada menjadi pelarian,” katanya kepada Harian Metro.

Khai berkata, pembabitannya itu bukan ingin menunjuk atau membuktikan dia melakukan kerja amal, sebaliknya mahu mengajak serta meningkatkan kesedaran dalam diri orang ramai mengenai perkara itu.

“Saya tidak kaya pun terbabit dalam misi ini. Saya buat ini secara ikhlas dan niat nak membantu. Selagi ada kudrat, Insya Allah saya akan terus bersama mereka dan tidak kisah berapa lama pun.

“Malah, apa dibuat ini juga bukan nak beritahu saya orang baik sebab terbabit program amal, tetapi saya sukarela nak buat. Bukan semua orang dapat peluang ini.

“Kalau kita ada rezeki lebih, tidak salah jika saling membantu. Pasti akan ada ganjaran lebih besar,” katanya.

Bagi menjayakan misi itu, satu program khas iaitu Makan Malam Amal Kemanusiaan Eyes2Heart Syria Care bagi tujuan mengutip dana akan diadakan pada 11 November ini di Restoran Terapung D’Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Selain Khai, artis lain yang turut terbabit dalam menjayakan majlis itu adalah kumpulan Rabbani, Jay Nazif, Azhar Hilmi dan Sufian Saujana.

Makan malam amal itu menyasarkan kutipan RM50,000 atau lebih bagi membantu menambah Tabung Kemanusiaan Syria Care.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 9:48 AM