JAY Nazif. FOTO arkib NSTP
JAY Nazif. FOTO arkib NSTP
Ardini Sophia Sina


PELAKON cilik, Jay Nazif yang baru berusia 10 tahun mengakui rasa terharu dan bangga menjadi peserta termuda serta kanak-kanak pertama menyertai misi bantuan ke Syria.

Berangkat ke Istanbul pada 11 Disember hadapan, Jay berharap bantuan yang bakal disampaikan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk Syria.

"Saya bangga menjadi yang paling muda mewakili Malaysia untuk ke misi bantuan menerusi program Kembara Jiwa Dan Kemanusiaan Syria Care 2.0. Ia adalah usaha saya untuk berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan.

"Saya ada sediakan 350 bungkus kelengkapan dandanan diri (toiletries) seperti ubat gigi dan berus gigi. Saya harap ia dapat menggembirakan rakan-rakan di Syria," kata Jay.

Jay atau Muhammad Nazif Ihsan Mohd Nazi juga berpendapat kanak-kanak di Syria juga punya hak untuk hidup aman dan selesa sama seperti kanak-kanak di Malaysia.

"Ini adalah kali pertama saya menyertai misi bantuan sejauh ini. Semoga pemberian yang kecil itu dapat menggembirakan mereka.

"Selain saya, abang Khai Bahar dan Ustaz Azadan dari kumpulan Rabbani juga akan turut serta. Daddy juga akan ikut menemani saya sepanjang berada di sana," kata pelakon yang mulai dikenali menerusi Mak Cun 4 itu.

Terbabit dalam kemalangan jalan raya, semalam, Jay bagaimanapun bersyukur kerana Allah melindungi mereka sekeluarga.

"Kami kemalangan di Sungai Buloh ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang. Kereta berpusing beberapa kali dan memang rosak teruk. Ada jugalah lebam-lebam dan sakit tengkuk tapi syukur semuanya selamat.

"Apa pun, saya mohon doa orang ramai agar perjalanan kami ke Istanbul dipermudahkan dan misi kami berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 11:54 PM