Janna terkilan ada pihak guna gambarnya untuk tujuan melariskan perniagaan online. FOTO Ihsan IG Janna Nick
Janna terkilan ada pihak guna gambarnya untuk tujuan melariskan perniagaan online. FOTO Ihsan IG Janna Nick
Sudirman Mohd Tahir


"TAK baik dik menipu orang menggunakan gambar saya. Orang beli sebab percaya dengan gambar saya," tulis pelakon popular Janna Nick di Instagram Story miliknya membabitkan sikap peniaga online yang didakwa menipu pelanggan lain.

Janna, 23 atau Nurul Jannah Muner dihubungi berkata, dia menerima lebih daripada tiga mesej peribadi (Direct Message) di IG membabitkan akaun @amira_gadjetttt.

Menurut Janna, peniaga terbabit pernah datang ke lokasi penggambaran Wan Peah Balik Beraya dan memberikan sejambak bunga kepadanya dan Sheila Rusly sebelum menggunakan gambar mereka bagi tujuan penipuan.

"Saya mahu pesan bukan saja kepada @amira_gadjetttt tapi kepada semua peniaga online lain tolong bersikap jujur.

"Kasihan kepada orang lain yang buat bisnes dengan jujur tetapi dapat tempias sama. Apabila ada kes macam ini, nanti pembeli susah nak percaya dengan bisnes online lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Janna yang menjalankan perniagaan online, dia sangat menitikberatkan sikap jujur dalam urusan jual beli.

"Saya ada perniagaan sendiri dan sangat menjaga perkara ini. Sejujurnya, saya sangat terkilan apabila timbul isu sebegini apatah lagi menggunakan gambar saya.

"Ini memang salah! Jadi, kepada pembeli selepas ini sila periksa dengan teliti ulasan dan maklum balas pelanggan sebelum membeli," katanya.

Menerusi perkongsian di IG, Janna turut memuatnaik mesej yang dihantar peminat yang didakwa tertipu dengan akaun IG terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 3:14 PM