ISKANDAR HALIM SULAIMAN
ISKANDAR HALIM SULAIMAN
Murnaena Muhammad Nasir dan Faliqah Alia Radin Mohd


KEBANYAKAN peniaga mengambil alternatif menjual atas talian susulan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negara.

Malangnya, ada segelintir peniaga mengambil kesempatan terhadap pembeli dengan menjual juadah berbuka tidak berkualiti.

Menurut Nur Aiza Bukhri, 23, dia kerap ditipu peniaga atas talian.

"Saya pernah membeli juadah berbuka dan hampa kerana juadah itu sudah basi.

"Kos penghantaran pula lebih mahal iaitu sebanyak RM11 berbanding makanan yang saya beli iaitu RM8," katanya.

Sementara itu, Nurul Afiqah Rosman, 34, berkata, dia turut kecewa dengan sikap peniaga yang tidak jujur.

"Saya pernah beli murtabak dengan peniaga online di Facebook kerana tertarik dengan gambar makanan yang ditunjukkan.

"Namun hampa apabila murtabak yang digambarkan tebal dengan inti daging tetapi yang dihantar nipis malah tidak sama seperti diiklankan peniaga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, peniaga sepatutnya bertanggungjawab dan bersikap jujur terhadap perniagaan masing-masing khususnya sepanjang Ramadan ini.

"Kami akan siasat peniaga online yang menipu pengguna. Kita minta orang awam yang tertipu melalui pembelian online membuat aduan kepada kementerian melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di 0388826088 atau 0388826245 atau emel ke [email protected].

"Peniaga yang membuat iklan palsu boleh didenda mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 3 tahun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 4:57 PM