FAZURA. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
FAZURA. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Ramlah Zainal

Tidak dapat dinafikan pasangan pelakon popular Nur Fazura dan Fattah Amin bukan saja mencuri perhatian peminat, tetapi juga menjadi buruan pengarah dan penerbit drama ketika ini.

Oleh itu, tidak hairanlah pasangan suami isteri ini turut menyapu bersih semua trofi menerusi kategori popular di Anugerah Telenovela 2018, baru-baru ini.

Semuanya kerana penangan dan populariti dua drama lakonan mereka iaitu Hero Seorang Cinderella dan Wanita Terindah.

Terbaru, kata pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 35, dia dan Fattah bakal bergandingan lagi dalam projek drama bersiri tidak lama lagi.

“Setakat ini, skripnya sudah ada dan ia dijangka direalisasikan penghujung tahun ini. Saya juga tidak ada masalah berlakon dengan suami dalam drama.

“Namun, saya ada bercakap dengan Fattah, mungkin kali ini kami tidak bercinta dalam drama kerana tidak mahu penonton bosan. Bagaimanapun, peminat tetap mahukan kami bercinta dalam drama walaupun sudah berkahwin,” katanya.

Ditanya mengenai watak jahat pula, kata pelakon filem J Revolusi ini, dia tidak menolak jika ada tawaran selepas ini.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana sebagai pelakon kita hanya menyampaikan cerita itu seperti dikehendaki skripnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Malaysian Fashion & Business Mission Ke New York 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas perkembangan kerjaya nyanyiannya, penyanyi lagu Sayangi Dirimu ini juga sibuk mempromosikan album sulungnya yang dilancarkan pada November tahun lalu.

“Saya juga merancang mengadakan ‘showcase’ dan sesi bertemu peminat di Kota Kinabalu, Sabah, nanti.

“Pada masa sama, saya juga mencari penulis lirik muda berbakat untuk bekerjasama dengan saya selepas ini.

“Saya percaya penulis lirik muda juga boleh menghasilkan lirik lagu yang bagus kerana tidak mahu lirik berkisar kisah putus cinta saja,” katanya.

Fazbulous ke New York Fashion Week

Dalam usaha mempromosi produk keluaran Malaysia ke Amerika Syarikat, Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) bakal membawa beberapa jenama tempatan ke New York Fashion Week di New York, Amerika Syarikat.

Ini selaras usaha mengetengahkan bakat usahawan Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam masa sama mempromosikan negara sebagai pusat pelancongan.

Antara beberapa jenama yang terpilih adalah Fazbulous milik Nur Fazura, Mak Cun ( Erma Fatima), Rizman Ruzaini ( Rizman & Wan Mohd Ruzaini), V Hijrah (Vie Shanti) dan Fiziwoo (Hafizi & Izree).

Bagi Fazura, dia juga tidak melepaskan peluang keemasan untuk memperagakan koleksi Fazbulous di New York.

“Ia julung kali saya memperagakan jenama Fazbulous ke New York, sekali gus pendedahan ke peringkat antarabangsa.

“Saya sentiasa berasa diri ‘kecil’ walaupun sudah tiga tahun terbabit dalam bidang fesyen,” katanya.

Berkongsi mengenai koleksinya pula, kata Fazura, dia juga mengambil inspirasi dan bertemakan perasaan gembira dan bebas.

“Ada koleksi yang dibawa dari pertunjukkan KL Fashion Week dan beberapa lagi rekaan terbaru khusus untuk diperagakan di sana

“Selain memperagakan koleksi, saya berharap pendedahan ini dapat mengembangkan lagi jenama tempatan ke luar negara,” katanya.

Acara Couture New York Fashion bakal diadakan di Hotel Crowne Plaza Times Square, New York dan turut dihadiri tetamu daripada seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:03 AM