DATIN Umie Aida, Erma dan pereka fesyen, Ahsraff Zainal (kanan) pada sesi perkongsian Mak Cun ke Couture
DATIN Umie Aida, Erma dan pereka fesyen, Ahsraff Zainal (kanan) pada sesi perkongsian Mak Cun ke Couture
Ramlah Zainal

Tidak dapat dinafikan drama bersiri popular Mak Cun kini mencetuskan fenomena di persada hiburan tanah air.

Selepas kejayaan drama itu, pengarah dan pelakon utamanya, Erma Fatima mahu mengangkat siri itu menjadi projek animasi dan filem pula selepas ini.

“Alhamdulillah, drama Mak Cun mendapat sambutan hangat terutama daripada orang kampung.

“Selepas kejayaan drama bersiri, impian saya memang untuk mengangkat Mak Cun ke projek animasi dan filem pula. Namun, ia masih dalam perancangan.

“Setakat ini, permainan digital terkini yang diadaptasi daripada drama bersiri TV Mak Cun iaitu Mak Cun’s Adventure juga mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Aplikasi Mak Cun membabitkan kerjasama syarikat saya dengan Media Prima Berhad,”katanya ketika ditemui pada sidang media Minggu Fesyen New York 2018 anjuran Peniagawati di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Peniagawati Datuk Azlin Ahmad Shaharbi.

Mengenai projek drama Mak Cun musim baru pula, kata Erma, ia akan memasuki musim kelima.

“Saya akan memberi fokus pada jalan cerita dua cucu Mak Cun untuk musim baru nanti. Rata-rata peminat cerita Mak Cun juga membabit­kan kanak-kanak. Mengikut perancangan, drama Mak Cun musim kelima akan disiarkan pada hujung tahun nanti,” katanya.

Kali kedua jenama Mak Cun ke New York

Mengenai jenama Mak Cun Ke New York pula, kata Erma, ia kali kedua pihaknya me­nyertai misi Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) me­nganjurkan Minggu Fesyen New York yang turut disertai 80 usahawan termasuk pereka fesyen tempatan.

“Misi kali ini lebih besar untuk memberi pendedahan kepada jenama tempatan di New York.

“Kali ini, saya akan membawa 12 rekaan terbaru jenama Mak Cun dengan kerjasama pereka fesyen tempatan, Ashraff.

“Saya juga bukan mahu dikenali sebagai pereka fesyen sebaliknya mahu membawa jenama Mak Cun ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan membuat penggambaran musim baru drama Mak Cun di New York, Erma berkata, dia tidak merancang menjayakan penggambaran musim baru drama Mak Cun di sana.

“Mungkin kami akan mencari negara lain seperti China pula untuk penggambaran musim baru Mak Cun nanti,”katanya.

Antara pereka fesyen yang akan menyertai pentas peragaan di New York tahun ini adalah Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Adli Afandi dan Yustie Majid.

Selain Erma, usahawan dan selebriti yang bakal memperagakan jenama masing-masing adalah pelakon dan penyanyi antaranya Nur Fazura, Datin Sharifah Shawati dan Vie Shanti.

Peniagawati juga akan mengambil slot satu hari pada 7 September nanti dalam acara Couture New York Fashion Week (CNYFW) yang akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza Times Square dan sesi ‘ready to wear’ di pentas NYC@LIVE pada 13 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 2:25 AM