Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi


EMPAT maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan bas ekspres di kilometer 39, Jalan Ranau-Telupid dekat Ranau, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu mengorbankan dua lelaki dan dua wanita dewasa termasuk pemandu keretayang dikenali sebagai Mohd Aziratul Khizam Azis, 23.

Identiti mangsa lain belum diperolehi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dalam perjalanan dari Ranau menghala ke Telupid.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta disyaki gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

"Empat mangsa termasuk pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa yang terselamat di hantar ke Hospital Ranau untuk rawatan susulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemandu dan 29 penumpang bas eskpres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota termasuk beliau sendiri bergegas ke lokasi kejadian.

EMPAT maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki bertembung bas ekspres. FOTO ihsan Bomba
EMPAT maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki bertembung bas ekspres. FOTO ihsan Bomba

"Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit seterusnya melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

"Operasi tamat pada 4 petang tadi," katanya.

Sementara itu, saksi awal kejadian hanya mahu dikenali sebagai Farah, 28, berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke kampung dari Kota Kinabalu.

"Selepas singgah membeli makanan dari bazar berhampiran, saya menyambung kembali perjalanan sebelum melihat kemalangan yang baru berlaku.

"Keadaan trafik yang sangat sesak itu menyebabkan saya keluar daripada kenderaan dan terkejut mendapati empat mangsa tidak sedarkan diri sebelum saya dimaklumkan mereka meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Farah berkata, lebih 40 kenderaan menghala ke Telupid dan Ranau sesak lebih sejam sementara menunggu kerja pengeluaran mangsa dan pemindahan kenderaan.

"Sangat menyedihkan, saya lihat banyak sayuran, buah-buahan serta makanan lain bertaburan dan kemungkinan mangsa juga dari bazar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 6:58 PM