MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 23, Jalan Mukah-Balingian, Mukah, hari ini. FOTO Manorza Saraev
MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 23, Jalan Mukah-Balingian, Mukah, hari ini. FOTO Manorza Saraev
Manorza Saraev


LULUH hati seorang suami melihat isteri kesayangan melambung dirempuh kenderaan pacuan empat roda sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Mukah-Balingian, Mukah, pagi ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, pasangan itu sedang menukar tayar van mereka yang pancit sebelum dirempuh kenderaan itu yang dipercayai hilang kawalan ketika memotong kenderaan lain.

Difahamkan, kenderaan itu yang datang dari arah Balingian memotong kenderaan lain dan cuba memasuki semula laluannya, namun ia terbabas lalu merempuh mangsa dikenali sebagai Naie Lagar, 67.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suami mangsa tidak cedera, namun dilaporkan masih trauma susulan insiden menimpa isterinya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 7:10 PM