ABDUL Halim (tengah) yang berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki bersama adiknya terbalik di pantai Tunjang, Balingian, Mukah, semalam. FOTO Ihsan JBPM
ABDUL Halim (tengah) yang berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki bersama adiknya terbalik di pantai Tunjang, Balingian, Mukah, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Manorza Saraev


LELAKI sanggup berenang sejauh satu kilometer meredah ombak bagi mendapatkan bantuan untuk abangnya selepas bot dinaiki mereka terbalik berhampiran Pantai Tunjang, Balingian, Mukah, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, dua beradik berkenaan sedang menangkap obor-obor untuk mencari pendapatan tambahan sebelum bot mereka terbalik dibadai ombak besar.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, dua beradik itu dikenal pasti sebagai Adeni, 55, dan Abdul Halim Seruji, 62.

Katanya, melihatkan keadaan abangnya mengalami kekejangan otot kerana terlalu lama terendam dalam air ketika berpaut pada serpihan bot yang pecah, Adeni bertindak nekad berenang ke pantai bagi meminta bantuan.

“Keadaan laut yang agak bergelora menyebabkan mereka terpisah dan dihanyutkan arus.

“Bimbang dengan keadaan abangnya, mangsa nekad berenang ke pantai untuk meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, penduduk kampung dengan bantuan agensi berkaitan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, warga emas itu ditemui selamat kira-kira jam 8.30 malam semalam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Balingian untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 9:57 AM