TENGKORAK dan serpihan tulang manusia dipercayai milik seorang lelaki yang hilang sejak dua minggu lalu, ditemui di kawasan pondok di Hutan Ulu Sungai Ubong Tellian, Mukah, semalam. FOTO ihsan polis.
TENGKORAK dan serpihan tulang manusia dipercayai milik seorang lelaki yang hilang sejak dua minggu lalu, ditemui di kawasan pondok di Hutan Ulu Sungai Ubong Tellian, Mukah, semalam. FOTO ihsan polis.
Garret Dawum


LULUH hati seorang adik apabila usaha mencari abangnya yang hilang sejak dua minggu lalu berakhir dengan penemuan tulang manusia dipercayai milik abangnya di kawasan pondok di Hutan Ulu Sungai Ubong Tellian, Mukah, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, tulang manusia itu ditemui pada 8.30 pagi oleh seorang pesara berusia 59 tahun ketika mencari abangnya bersama ahli keluarga lain.

“Sebaik tiba di pondok didiami abangnya yang bekerja sebagai pemotong pokok sagu, lelaki itu menemui beberapa tulang dipercayai tulang manusia sebelum melaporkannya kepada polis.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menjumpai beberapa tulang dipercayai tulang manusia dan tengkorak manusia dalam keadaan berselerak di kawasan kira-kira 200 meter dengan pondok itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai sehelai tuala, selimut dan seluar dalam serta beg galas mengandungi kad pengenalan seorang lelaki berusia 76 tahun milik abang pengadu.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari Jalan Mukah-Oya mendapati tiada tanda atau kesan pergelutan.

“Semua tulang dan barang ditemui sudah dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

“Proses pengecaman tidak dapat dilakukan kerana hanya beberapa tulang sahaja berjaya ditemui tetapi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah dipohon bagi mengesahkan identiti sebenar mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:13 PM