KEADAAN motosikal ditunggang empat sekeluarga. FOTO Pretty Licha
KEADAAN motosikal ditunggang empat sekeluarga. FOTO Pretty Licha
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

 

Mukah: Tiga sekeluarga maut apabila motosikal ditunggang dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 5, Jalan Mukah-Balingian di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, Jaifa Mohamad, 27, maut di lokasi kejadian, manakala suaminya Mohamad Adika Sudin, 26, dan anak lelaki pasangan itu Mohamad Aniq Yuzri, 7 meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Mukah.

Anak perempuan pasangan itu, Fifi Nurlyana Syafina, 6, parah dan kini dilaporkan koma di Hospital Sibu

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki dari arah Balingian ke Mukah dipercayai hilang kawalan, masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal yang dinaiki empat sekeluarga.

"Akibat daripada rempuhan itu suami isteri dan dua anak tercampak ke bahu jalan.

"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:54 AM