KEADAAN mayat Linggong yang maut dirempuh sebuah kereta  di kilometer (km) 27 Jalan Balingian-Mukah. -Foto IHSAN PDRM
KEADAAN mayat Linggong yang maut dirempuh sebuah kereta di kilometer (km) 27 Jalan Balingian-Mukah. -Foto IHSAN PDRM
Manorza Saraev


AKIBAT tergesa-gesa membuat pusingan-U, penunggang motosikal maut dirempuh kereta di Kilometer 27, Jalan Balingian - Mukah, dekat Mukah, 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Linggong Bujang, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa membuat pusingan-U tanpa menyedari kehadiran kereta dipandu wanita dari arah Balingian menuju ke Mukah.

“Tanpa memeriksa keadaan sekelilingnya, mangsa terus membuat pusingan itu menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu merempuhnya,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Difahamkan, pemandu panik apabila penunggang motosikal terbabit tiba-tiba meluru membuat pusingan itu, menyebabkannya tidak sempat menekan brek dan mengelak mangsa.

“Mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 2:34 PM