Hafiz Ithnin


SEAWAL usia enam tahun, Jimmy Shahrul Hisham, 9, sudah didedahkan dengan aktiviti ekstrem mendaki tebing tinggi atau dikenali sebagai ‘rock climbing’.

Siapa sangka dia mampu menawan tebing batu granit setinggi 702 meter dengan tahap kecondongan menegak 90 darjah serta dikatakan antara laluan pendakian tebing tinggi paling mencabar di Asia Tenggara iaitu Gunung Nenek Semukut di Pulau Tioman, Pahang.

Dalam ekspedisi pendakian tebing tinggi yang lebih dikenali sebagai ‘Dragons Horns’ di pulau peranginan itu pada 21 April lalu menerusi laluan ‘Freebird’, Jimmy berjaya mencipta dua rekod kebangsaan iaitu pendaki termuda yang menawan laluan tebing setinggi 702 meter dari paras laut (mdpl) dan pendaki tebing termuda turun secara ‘abseiling’ sepanjang 229 meter.

Malah, rekod itu juga tidak mustahil untuk mengetepikan pemegang rekod dunia pendaki tebing tinggi termuda, Stella Noble yang mendaki Colorado Long Peak, Amerika Syarikat dengan jarak pendakian 383 meter.

Meskipun jarak pendakian Stella 160 meter lebih jauh daripada Jimmy, namun pada usianya sembilan tahun, lima bulan 29 hari ketika berjaya menawan laluan itu berbanding Stella sembilan tahun, 11 bulan 23 hari ketika melakukan ekspedisi tebing tinggi di Colorado pada 2011, menunjukkan usia Jimmy lebih muda dalam pendakian tebing batu.

Jimmy berkata, mendaki tebing batu di Dragons Horns sememangnya sukar terutama terdapat laluan yang mempunyai batuan rapuh serta keadaan cuaca sukar diramal.

Namun, katanya sebagai pendaki yang mempunyai prinsip tidak mudah mengalah meskipun melalui detik sukar, dia tetap berpaut pada rongga batu lain dan tidak bergantung kepada tali sekiranya batu yang dipegangnya rapuh.

“Kami memulakan ekspedisi mendaki tebing pada 8 pagi dan berjaya tiba di puncak pada 6.30 petang. Kemudian turun secara abseiling pada 12 tengah malam dan tiba di kem induk Dragons Horns pada 2 pagi untuk bermalam.

“Sememangnya mendaki tebing batu ini adalah sukar kerana terdapat laluan batu rapuh, keadaan cuaca yang sukar diramal dan lokasi pendakian adalah laluan angin,” katanya turut melakukan ekspedisi itu bagi mempromosikan kempen antibuli kanak-kanak yang dianjurkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

JIMMY bersama ibunya Maziah Joary (kanan), Shahrul Hisham (kiri) dan pengasuhnya Kamisem selepas perasmian Rocky BaseCamp di AEON Mall Shah Alam, baru-baru ini. FOTO Rosdan Wahid
JIMMY bersama ibunya Maziah Joary (kanan), Shahrul Hisham (kiri) dan pengasuhnya Kamisem selepas perasmian Rocky BaseCamp di AEON Mall Shah Alam, baru-baru ini. FOTO Rosdan Wahid

Katanya, lebih mencabar apabila dia perlu mendaki ketika hujan dan angin kuat menyebabkan keadaan mendaki lebih sukar kerana sejuk dan kumpulan ekspedisi itu yang turut disertai empat pendaki profesional lain menjangkakan suhu ketika hujan sekitar 20 darjah Celsius.

Katanya, kumpulan ekspedisinya juga perlu melakukan tujuh kali pemasangan tali untuk menuju ke puncak dan setiap kali berhenti berehat bagi melakukan pemasangan tali, dia kadang-kala berada dalam keadaan tergantung di tebing.

“Saya tidak pernah berasa takut atau ada perasaan gayat ketika mendaki tebing kerana pemandangan di bawah cantik dan sudah biasa berada dalam keadaan tergantung di tebing batu ataupun tembok tiruan ketika berlatih sejak berusia enam tahun.

“Saya sentiasa berasa gembira dalam ekspedisi ini dan ada juga berasa sedih kerana tidak dapat melihat pemandangan di bawah ketika abseiling kerana keadaan hari sudah gelap serta perlu menumpukan teknik turun dengan selamat,” kata murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Methodist, Petaling Jaya, Selangor ini.

Anak bongsu kepada pasangan Shahrul Hisham Tahir dan Maziah Joary Tajudin itu juga adalah atlet termuda negara dalam sukan mendaki tembok tiruan yang mempunyai cita-cita untuk mewakili negara menerusi Sukan Olimpik pada masa depan.

JIMMY menampilkan aksinya ketika melakukan rock climbing.
JIMMY menampilkan aksinya ketika melakukan rock climbing.

Sementara itu, Shahrul berkata, ketika ini, dia dalam proses akhir berurusan dengan Malaysia Books Of Record (MBR) bagi mendapatkan pengiktirafan secara formal kejayaan Jimmy menawan puncak gunung berkenaan.

Katanya, dia juga dalam proses mencari maklumat mengenai rekod pendaki termuda dunia, selain Stella yang disiarkan media antarabangsa untuk mengetahui kedudukan rekod yang dicipta Jimmy.

“Sebenarnya kami bukan untuk mengejar atau ingin memecahkan rekod pendaki muda lain, tetapi ini adalah sebahagian daripada pembakar semangat untuk Jimmy terus berusaha mengejar sebahagian daripadanya cita-citanya iaitu menjadi atlet kebangsaan dalam sukan mendaki tembok tiruan selain bergelar akauntan pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 11:01 PM
Jimmy pernah mendaki tebing tinggi paling mencabar di Asia Tenggara iaitu Gunung Nenek Semukut di Pulau Tioman, Pahang. FOTO NSTP
Jimmy pernah mendaki tebing tinggi paling mencabar di Asia Tenggara iaitu Gunung Nenek Semukut di Pulau Tioman, Pahang. FOTO NSTP