KABUS di puncak gunung. FOTO Zulkepli Osman
KABUS di puncak gunung. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


APABILA berbicara berkenaan Taiwan, negara pulau itu sebenarnya mempunyai jajaran gunung yang indah dan mesti diterokai pendaki sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Gunung Jed dan Gunung Syue adalah dua puncak tertinggi di Taiwan yang sering menjadi perhatian pelancong dan penduduk tempatan untuk merakam gambar serta menikmati pemandangan indah.

Tanggal 26 Jun 2019 adalah detik bersejarah buat 21 pendaki daripada Kelab Media Pahang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila berpeluang ke negara bekas pemerintahan parti Kuomintang itu untuk menjelajah dan mendaki Gunung Syue yang berketinggian 3,886 meter dari aras laut.

Kumpulan pendaki pelbagai peringkat umur hingga yang tertua berusia 60 tahun, mengambil masa empat hari tiga malam untuk melengkapkan ekspedisi gunung kedua tertinggi di Taiwan yang terletak di daerah Heping, Taichung.

SERIBU satu pengalaman pendakian ke puncak Gunung Syue. FOTO Zulkepli Osman
SERIBU satu pengalaman pendakian ke puncak Gunung Syue. FOTO Zulkepli Osman

Penulis yang turut serta dalam ekspedisi pendakian itu pada mulanya tidak mempunyai keyakinan untuk tiba ke puncak kerana dimaklumkan bakal berdepan cabaran hujan lebat dan ribut.

Namun, berkat latihan dan persediaan rapi, ‘misi mustahil’ itu berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kejadian buruk menimpa kumpulan pendaki.

Ekspedisi bermula dengan menaiki bas dari Taipei ke Taman Negara Shei-Pa pada 26 Jun lalu yang memakan masa kira-kira empat jam.

Bagaimanapun, kumpulan pendaki terpaksa berjalan kaki sejauh empat kilometer disebabkan laluan sempit yang tidak membenarkan bas menghantar ke pintu rimba.

Seakan-akan salam perkenalan Gunung Syue kepada semua pendaki, kami terpaksa berjalan dalam lencun bermandi hujan dan perlu mendaki untuk tiba ke pejabat Taman Negara di mana urusan permohonan permit perlu diselesaikan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan.

Sebaik segalanya beres, semua pendaki memulakan pendakian pada jam 3 petang ke kawasan penginapan iaitu Kabin Qika sejauh dua kilometer dari pintu rimba.

PENDAKIAN yang menguji kekuatan mental dan jasmani. FOTO NSTP
PENDAKIAN yang menguji kekuatan mental dan jasmani. FOTO NSTP

Semuanya tampak lancar buat semua pendaki pada hari pertama ekspedisi biarpun terpaksa berjalan dalam hujan dan meredah denai berlecak.

Selepas selesai menyediakan makan malam dan sesi taklimat berkenaan pendakian hari kedua pada jam 8.30 malam, semua pendaki memanfaatkan masa yang ada untuk beristirahat kerana ia adalah adat di kawasan pergunungan itu di mana pendaki akan tidur awal sebelum memulakan pendakian pada jam 4 pagi.

Rombongan yang turut disertai Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohamad, Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin itu kembali menyambung pendakian hari kedua pada jam 7.30 pagi dengan cabaran yang lebih sukar apabila kami perlu berjalan dan mendaki sejauh lima kilometer.

Perjalanan hari kedua yang penuh ranjau di samping perlu mendaki hingga ke ketinggian 3,200 meter memerlukan kekuatan jasmani dan mental pendaki berada pada tahap terbaik.

Hujan sepanjang pendakian ditambah lopak air di sepanjang jalur pergunungan membuatkan kasut dan pakaian basah lencun. Tidak cukup dengan itu, pendaki perlu segera menyesuaikan diri dengan darjah ketinggian kawasan penginapan hari kedua iaitu di kabin 369 serta suhu sejuk jika tidak mahu diserang sindrom akut gunung atau ketidakselesaan akut pergunungan (AMS).

Suhu sejuk antara lima hingga 14 darjah Celsius menikam-nikam anggota badan malah mencengkam tulang sekiranya pakaian yang dikenakan tidak sesuai.

Bagaimanapun hari ketiga adalah hari yang sangat getir buat semua pendaki apabila tiba saat ketika mana perjalanan dua hari mereka akan diuji dengan cubaan menawan puncak dalam jarak lebih tiga kilometer.

Usai solat Subuh, semua pendaki sekali lagi diberi taklimat oleh koresponden wilayah timur TV3, Ahmad Fazli Ahmad yang juga ketua ekspedisi mengenai cabaran dan apa yang perlu dihadapi kumpulan pendaki. Risiko AMS dan kecederaan ketika turun dari puncak antara yang ditekankan selain disiplin ketika mendaki yang harus dititikberatkan semua peserta jika ingin tiba di puncak.

Semua pendaki memulakan cabaran menawan puncak Gunung Syue seawal jam 6 pagi yang mana kumpulan pertama tiba seawal jam 10 pagi.

Keadaan berangin dan sedikit panas membolehkan semua pendaki tiba dengan selamat ke kawasan puncak dengan pendaki terakhir melengkapkan cabaran pada jam 1 tengah hari.

Ekspedisi kali ini juga signifikan sebagai meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah dan pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini.

SEBAHAGIAN pendaki bergambar sebaik tiba awal di puncak Gunung Syue. FOTO Zulkepli Osman
SEBAHAGIAN pendaki bergambar sebaik tiba awal di puncak Gunung Syue. FOTO Zulkepli Osman

Seramai 14 pendaki yang tiba awal ke puncak mengibarkan Jalur Gemilang di samping kain rentang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Ekspedisi Gunung Syue ditamatkan dengan jayanya apabila semua pendaki berkemas balik pada Sabtu dan selamat tiba di pintu rimba tepat jam 3 petang.

Ia cabaran dan pengalaman yang besar makna buat semua pendaki apabila berpeluang melihat jalur pendakian dan bentuk geografi gunung yang jauh beza berbanding Malaysia.

PERSIAPAN dilakukan sepenuhnya ketika di Kabin Qika sebelum meneruskan pendakian. FOTO NSTP
PERSIAPAN dilakukan sepenuhnya ketika di Kabin Qika sebelum meneruskan pendakian. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:10 AM