MUNGKIN ada menganggap aktiviti rekreasi sekadar hobi atau mengisi waktu santai. Namun sepanjang 2018, Harian Metro memaparkan kisah insan yang menjadikan aktiviti rekreasi sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan hingga mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Harian Metro meraikan bersama kejayaan ini.

Syaza Amin

Syaza Amin berusia lapan tahun melengkapkan pendakian ke tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia atau G7 dan ketinggian semua gunung lebih 2,000 meter.

Pada September lalu, anak kepada pasangan Amin Kamarulzaman dan Salina Sumali itu berjaya mencipta rekod sebagai pendaki termuda yang berjaya melengkapkan pendakian ke tujuh puncak berkenaan selain mendaki 39 puncak gunung di Semenanjung Malaysia.

  • Misi Syaza Amin
  • Azam Shidid

    Menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili negara dalam World University Orientaring Championship 2018 di Finland terus melonjakkan nama Azam Shidid, 24, apabila dia berjaya menjadi juara dalam kejohanan berkenaan.

    Orientaring adalah salah satu aktiviti di dalam rekreasi yang menggabungkan kebolehan fizikal dan mental kerana peserta bukan sahaja diuji dari segi kepantasan, malah perlu bijak membaca peta menerusi kompas.

  • UiTM cipta sejarah ke Kejohanan Orienteering Universiti Dunia
  • Jimmy Shahrul Hisham

    Kemunculan Jimmy Shahrul Hisham berusia sembilan tahun yang kini memegang dua rekod kebangsaan iaitu sebagai pendaki termuda menawan laluan tebing setinggi 702 meter dari paras laut dan pendaki tebing termuda turun secara abseiling sepanjang 229 meter mendapat perhatian.

    Kejayaan itu terhasil selepas Jimmy berjaya menawan tebing batu granit setinggi 702 meter dengan tahap kecondongan menegak 90 darjah yang dikatakan antara laluan pendakian tebing tinggi paling mencabar di Asia Tenggara iaitu Gunung Nenek Semukut di Pulau Tioman, Pahang.

  • 'Pendaki cilik tiada rasa takut, gayat...'

  • Doris J Sitaun

    Gunung Amadablam, 6,812 meter di Nepal cukup terkenal kerana ‘menyediakan’ laluan pendakian yang mencabar. Mungkin nama Doris J Sitaun dari Inanam, Sabah tidak mendapat liputan meluas daripada media tetapi wanita berusia 50 tahun ini berjaya menawan puncak gunung berkenaan pada 23 Oktober lalu.

    Lebih membanggakan menerusi rekod pendakian ke puncak gunung itu yang mengambil masa 29 hari, Doris adalah wanita pertama dari Malaysia yang berjaya menawan Amadablam.

    Sharifah Nadiah Syed Mohd Thala Wafa

    Dalam kalangan atlet paragliding Malaysia, nama Sharifah Nadiah Syed Mohd Thala Wafa sering menjadi inspirasi wanita di Malaysia kerana keberaniannya.

    Tahun ini wanita berusia 29 tahun itu berjaya menduduki tempat ketujuh (wanita) dalam FAI Asian-Oceanic Paragliding Accuracy Championships (CAT-1) di Jolasik Dam, Lopburi, Thailand.

    Dalam kejohanan itu yang membabitkan 51 juruterbang dari 12 negara, Syarifah Nadiah adalah peserta tunggal dari Malaysia dan pertama kali disertainya kerana hanya juruterbang pasukan kebangsaan dibenarkan bersaing.

    Azrulkhan Hasrullah Matsah

    Pada Mei lalu, pendaki kurang upaya (OKU), Azrulkhan Hasrullah Matsah, 26, yang berjaya menawan Kem Induk Everest (EBC) di Nepal dalam tempoh 15 hari membanggakan kita semua.

    Beliau yang mesra di panggil Adam tidak boleh berjalan dan berdiri kerana menghidapi penyakit poliomyelitis sejak kecil yang menyebabkan otot kedua-dua belah kakinya mengecut dan lumpuh.

    Bagi menamatkan pendakian itu, Adam perlu mengesot dan perlu bijak mengawal pernafasan supaya tidak mengalami ketidakselesaan akut gunung (AMS) yang menjadi igauan ngeri pendaki.

  • Terbaik Adam!

  • Mat Redho

    Mat Redho atau nama sebenarnya Mohd Redha Razlan, 30, mencipta sejarah apabila muncul juara Liga Ninja 2018 di Perth, Australia selepas menewaskan dua pencabar terdekat, peserta akhir American Ninja Warrior, Jake Murray dan peserta tempatan, Cameron D’ Silva.

  • Mat Redho juara NCL 2018
  • Zainudin Lot, Muhammad Illaham Ishak

    Pengasas Kelab Jelajah Aphine Malaysia (KJM), Zainudin Lot, 42, dan Muhammad Illaham Ishak, 42, yang kini dalam misi menamatkan pendakian ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua, tahun ini berjaya menawan Cartenz Pyramid (4,884 meter) di Irian Jaya, Papua, Indonesia.

    Zainudin dan Illaham serta beberapa pendaki lain yang kini masih mempunyai dua puncak untuk ditakluk iaitu Denali (Alaska) dan Vinson Massive (Antartika) bagi melengkapkan misi mereka.

  • Pendakian menegak berbatu curam
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 7:39 AM