KUMPULAN pelajar Universiti Lim Kok Wing berjaya mendaki Gunung Fuji selepas mengharung pelbagai cabaran.
KUMPULAN pelajar Universiti Lim Kok Wing berjaya mendaki Gunung Fuji selepas mengharung pelbagai cabaran.
Zaitie Satibi

SELAIN kecanggihan teknologi dan budaya sopan masyarakat setempat, Jepun juga terkenal dengan keindahan Gunung Fuji di Honshu kira-kira 100 kilometer di barat Tokyo. Gunung setinggi 3,776 meter, berbentuk kon dan diselaputi salji beberapa bulan setiap tahun itu juga simbol kebanggaan masyarakat Jepun serta sering menjadi bahan karya seni penduduknya.

Gunung tertinggi di Jepun itu sebenarnya adalah gunung berapi yang masih aktif dan kali terakhir meletus pada 1707. Pemandangan paling indah dari puncak gunung itu adalah ketika matahari terbit, selain hamparan awan yang memutih bak kapas. Biarpun demikian, Gunung Fuji hanya dibuka kepada orang ramai termasuk pelancong asing untuk mendaki mulai Julai sehingga September.

Terdapat 10 stesen yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada pendaki bermula dari kaki gunung sehingga ke puncak. Pendakian lazimnya bermula dari stesen ke-5 dengan laluan yang bercampur antara pasir lembut dan batu kecil, cerun yang curam dan jalan berliku berbentuk zig zag. Tiada halangan pokok besar atau dinding batu, sebaliknya pendaki diuji dengan angin sejuk dan debu gunung berapi sepanjang laluan.

 BERJAYA mendaki selepas mengharung pelbagai cabaran
BERJAYA mendaki selepas mengharung pelbagai cabaran

Keunikan pendakian Gunung Fuji itu mendorong dua pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Filem dan Televisyen, Universiti Lim Kok Wing, Raja Mohamad Amin Raja Azhar dan Saidatul Nurlin Ahmad Hishamnuri melakukan ekspedisi menawan gunung berkenaan sekali gus menghasilkan dokumentari pendek berjudul Menggapai Awan.

Misi yang selesai dijalankan pada 16 September lalu sempena Hari Malaysia turut disertai enam kru penggambaran termasuk seorang malim gunung dari Sabah. Video dokumentari yang juga projek akhir semester kedua-dua pelajar berusia 25 tahun itu menceritakan rentetan perjalanan sepanjang mendaki Gunung Fuji termasuk kesulitan dihadapi sebelum pendakian bermula.

Raja Mohamad Amin yang bertindak sebagai ketua ekspedisi dan pengarah dokumentari berkata, beliau amat berbangga kerana berjaya menawan Gunung Fuji iaitu antara gunung paling terkenal di dunia, selain gembira dapat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera rasmi universiti di puncak gunung itu.

“Saya sememangnya peminat sukan mendaki dan sudah melakukan banyak ekspedisi mendaki gunung dalam negara. Idea mendaki Gunung Fuji ini datang apabila saya yang mahu menyiapkan projek akhir memikirkan untuk menghasilkan rakaman mendaki gunung kerana ia amat jarang dilakukan.

PELAJAR Universiti Lim Kok Wing, Raja Mohamad Amin Raja Azhar (kanan) dan Saidatul Nurlin Ahmad Hishamnuri melakukan ekspedisi menawan Gunung Fuji, Jepun bagi menghasilkan dokumentari khas projek akhir semester.
PELAJAR Universiti Lim Kok Wing, Raja Mohamad Amin Raja Azhar (kanan) dan Saidatul Nurlin Ahmad Hishamnuri melakukan ekspedisi menawan Gunung Fuji, Jepun bagi menghasilkan dokumentari khas projek akhir semester.

“Belum ada pelajar yang membuat rakaman di puncak gunung kerana kesukaran membawa peralatan ke tempat tinggi, selain memerlukan belanja agak besar,” katanya yang turut berpuas hati dan terharu kerana kumpulan ekspedisinya berjaya mengharungi cabaran.

Menurut Raja Mohamad Amin, ekspedisi itu sepatutnya dilakukan lebih awal iaitu pada 4 September, namun terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca buruk dan taufan Jebi yang melanda Osaka.

“Kami terkandas beberapa hari daripada jadual asal. Biarpun cuaca hanya baik beberapa hari selepas itu, namun kami perlu melakukan beberapa persiapan mental dan fizikal kerana bimbang cuaca akan kembali buruk.

“Sepanjang pendakian sangat mencabar kerana angin bertiup lebih kencang daripada biasa berikutan taufan Jebi. Semua anggota ekspedisi berhadapan dengan cuaca sejuk melampau. Suhu turun naik dengan mendadak antara 15 darjah Celsius sehingga negatif lima darjah di puncak menyebabkan pergerakan kami menjadi perlahan,” katanya.

Katanya, ekspedisi mengambil masa selama tiga hari dan pendakian mereka hanya bermula pada hari kedua bermula dari stesen ke-4 berikutan menunggu waktu yang sesuai untuk mendaki.

“Perjalanan kami bermula pada jam 2 petang dan tiba di stesen ke-8 kira-kira sembilan jam kemudian. Kami berehat dan tidur sebentar di kem ini sebelum bangun pada jam 5 pagi untuk menyambung perjalanan sejauh 1.5 kilometer untuk sampai ke puncak Gunung Fuji. Kami tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik paling penting pendakian iaitu suasana matahari terbit.

“Alhamdulillah, kami berjaya sampai ke puncak Gunung Fuji pada jam 8.30 pagi. Tidak menunggu lama di puncak, kami terus melakukan kerja rakaman biarpun diganggu angin kuat yang menderu.

“Gunung Fuji pernah banyak kali ditawan dek pendaki seluruh dunia, tetapi perasaan sangat berbeza dan teruja kami rasai kerana pengalaman mendaki dan cabaran yang ditempuhi pastinya tidak sama dengan orang lain. Apatah lagi kami dapat mengibarkan bendera Malaysia dan universiti di puncak gunung itu, pastinya ia satu kenangan indah buat kami semua,” katanya.

Sementara itu, Saidatul Nurlin yang bertindak sebagai penerbit dokumentari berkata, beliau berharap dokumentari itu dapat menjadi panduan kepada sesiapa yang ingin mendaki antara gunung tercantik di dunia itu, selain sebagai simbolik semangat kepada mereka yang memasang impian untuk ke puncaknya satu hari nanti.

“Bagi saya, perjalanan menuju puncak Gunung Fuji ini amat mencabar. Pendaki bukan saja berdepan dengan pelbagai ragam bentuk muka bumi, malah cuaca juga menjadi faktor kejayaan dalam pendakian.

“Saya sendiri hampir melayang apabila beberapa kali terpelanting ke tanah akibat tiupan angin yang kencang. Kesukaran mendapatkan makanan halal di stesen yang menyediakan kemudahan penginapan juga menyebabkan kami membawa bekalan makanan sendiri,” katanya yang lega apabila rakaman dokumentari dihasilkan mereka boleh ditonton menerusi saluran YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 5:01 AM