PESERTA bergambar kenangan di pintu masuk Pine Tree sebelum mendaki.
PESERTA bergambar kenangan di pintu masuk Pine Tree sebelum mendaki.
Zaitie Satibi


JARAK dari lokasi mula ke puncak hanya sejauh 5.5 kilometer (km), namun denainya yang berselang-seli turun naik hingga digelar ‘Back Of Dragon’ berikutan ‘berkeluk-keluk macam belakang naga’ menjadikan aktiviti mendaki Bukit Pine Tree di Bukit Fraser, Raub, Pahang sangat mencabar fizikal dan mental.

Sebagaimana yang dirasai 17 ahli kumpulan aktiviti lasak, Rockhopper Outdoor apabila menempuh pengalaman mendaki yang mengazabkan pergi dan balik kira-kira tujuh jam semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menikmati keindahan alam dari aras ketinggian 1,448 meter, baru-baru ini.

Bukit Pine Tree dikatakan puncak tertinggi di Bukit Fraser dan ke-94 di Malaysia. Denainya juga laluan terpanjang di Bukit Fraser, selain paling mencabar. Laluan ke bukit berkenaan dibuka ketika era British sebagai akses ke puncak untuk menikmati pemandangan menakjubkan keseluruhan Bukit Fraser dan banjaran sekitarnya.

Ia mendapat nama sempena sejenis pokok konifer yang hanya boleh ditemui di negara ini dan satu-satunya pokok itu yang masih ada dikatakan hidup di puncak bukit berkenaan. Bersebelahan Bukit Pine Tree adalah Bukit Twin Peak setinggi kira-kira 1,505 meter dan lazimnya pendaki yang menawan puncak Pine Tree akan turut menawan puncak Twin Peak.

Penyelaras ekspedisi, Nurain Anis Mohamad Anuar, 35, berkata, kumpulannya mendaki puncak Pine Tree bukan sekadar ingin memanfaatkan cuti Hari Pekerja yang lalu, sebaliknya mahu mengumpul pengalaman dan mengasah kemahiran mendaki laluan yang banyak menguji stamina.

KENANGAN di puncak detik paling berharga.
KENANGAN di puncak detik paling berharga.

“Kami juga ingin mengeratkan hubungan persahabatan menerusi aktiviti digemari berikutan ahli kami ada yang datang dari ibu negara, Selangor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang. Kami jarang berjumpa disebabkan masing-masing sibuk bekerja dan hanya berhubung melalui kumpulan media sosial.

“Sebelum memulakan ekspedisi kami membuat persiapan rapi termasuk mendapatkan permit mendaki dari Pejabat Jabatan Perhutanan Pahang di Raub kira-kira seminggu sebelum tarikh pendakian. Kami berkereta naik ke Bukit Fraser dari Kuala Kubu Bharu menempuh jalan yang bengkang-bengkok seawal jam 5.30 pagi.

“Kami tiba di Bukit Fraser sejam kemudian dan melakukan persiapan untuk pendakian yang bermula di pintu gerbang Pine Tree Trail. Selepas taklimat keselamatan, kami bergerak tepat jam 7.30 pagi,” katanya.

Pergerakan pada awalnya agak santai kerana trek perjalanan yang landai sebelum berjalan dengan keadaan muka bumi turun naik. Biarpun demikian, denai Pine Tree disediakan tangga batu selain dilengkapi dengan tali pemegang untuk memudahkan pendaki dan papan tanda yang menunjukkan jarak trek dari tempat permulaan trek.

“Pendakian berjalan dengan lancar sehingga kami mula berjumpa dengan trek yang terus menerus menurun. Tiga kali kami turun laluan tangga batu yang curam dan keadaan sedemikian menyebabkan kami agak letih.

MEMANJAT cerun tinggi dengan bantuan juntaian akar pokok.
MEMANJAT cerun tinggi dengan bantuan juntaian akar pokok.

“Selepas menuruni tangga batu, kami melepasi kawasan yang sudah dihalangi akar kayu sehingga tiba di satu tempat yang dipanggil Gua Akar. Tempat ini adalah lokasi wajib bergambar kerana ia adalah gua kecil yang terbentuk daripada akar kayu yang unik.

“Kami kemudian meneruskan perjalanan menuju ke puncak Pine Tree. Beberapa meter sebelum tiba di puncak, kudrat kami diuji dengan cerun batu yang menegak 90 darjah berketinggian kira-kira 10 meter. Kami perlu memanjat dan berpaut pada tali serta akar pokok yang berselirat,” katanya.

Peserta mula bergambar sebaik tiba di puncak Pine Tree dan menikmati bekalan makanan bagi mengumpulkan semula kekuatan untuk turun bukit. Disebabkan kepenatan, hanya sembilan peserta meneruskan pendakian ke Bukit Twin Peak kira-kira 40 minit dari puncak Pine Tree.

“Trek ke puncak Twin Peak adalah landai, tetapi keadaan tanahnya lembap dan berair. Peserta perlu berhati-hati bimbang jalan yang licin, selain terganggu dengan banyak pokok tumbang. Bagaimanapun, suasana dari puncaknya lebih indah dengan pemandangan 360 darjah.

“Dari atas Twin Peak juga boleh nampak Gunung Semangkuk iaitu puncak tertinggi di Selangor, selain awan yang membiru. Sementara menunggu sembilan peserta berkenaan menyudahkan ekspedisi mereka, peserta lain sempat tidur sebelum memulakan perjalanan turun.

“Kami tiba di kaki bukit jam 6 petang ketika hari sudah mula gelap. Ada peserta yang cedera ringan kerana terjatuh, malah ada yang disengat lebah. Tetapi, pengalaman dan kenangan yang tercipta sepanjang pendakian ini amat bermakna dan langsung tidak mematahkan semangat kami untuk mencuba menawan puncak lain pada masa akan datang,” katanya.

SEMPAT singgah di Gua Akar yang unik.
SEMPAT singgah di Gua Akar yang unik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:36 PM