ISMAIL Izzani. FOTO Mahzir Mat Isa
ISMAIL Izzani. FOTO Mahzir Mat Isa
Ardini Sophia Sina

Walaupun baru berusia 18 tahun, kembara seni Ismail Izzani berjalan lancar. Bermula dengan lagu Sabar, remaja itu terus mengorak langkah dengan mencari kelainan dalam setiap lagu nyanyiannya.

Tampil dengan single ketiga berjudul Luar Biasa, naskhah itu didedikasikan khas buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan selama ini.

Kata Ismail, dia sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kejayaannya. Walaupun apa pun cabaran dihadapinya, mereka tetap setia.

“Saya dapat ilham untuk hasilkan lagu itu selepas melihat sokongan luar biasa peminat. Saat jatuh bangun saya, mereka sentiasa ada untuk memberikan sokongan.

“Mereka juga mendoakan kejayaan dan kesejahteraan saya. Malah ada juga yang memberikan pelbagai cadangan supaya karier saya lebih berkembang,” katanya.

Selain nyanyian, Ismail juga gemar menari. Dia mula belajar menari sejak di sekolah rendah namun tidak melakukan aktiviti itu secara aktif.

Oleh kerana konsep Luar Biasa sesuai untuk ditarikan, Ismail menggabungkan kedua-dua perkara disukainya itu sebagai kelainan kali ini.

Akuinya, menyanyi sambil menari adalah perkara yang sangat mencabar kerana tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Ismail turut menjaga pemakanan dan stamina agar mampu menyanyi dan menari dengan baik.

“Menyanyi dan menari adalah benda baru untuk saya. Saya perlu jaga stamina kerana apabila mempersembahkan Luar Biasa sudah tentu saya perlu menari.

“Sebagai permulaan, saya berjoging dan menjaga pemakanan. Saya juga pergi kelas tarian untuk membiasakan diri. Saya latih diri untuk menjadikan perkara itu tidak mustahil dilakukan,” katanya.

Menghafal bunga tarian bukan perkara yang terlalu sukar, namun bagi Ismail, dia mula berasa kekok apabila belajar menari sambil memegang mikrofon.

Mengetahui kelemahan itu, anak kepada penyanyi era 80-an, Datin Suliza Salam lantas mencari formula baru agar dapat membiasakan diri dengan segala kemungkinan apabila beraksi di pentas besar.

“Tidak ada masalah untuk ingat langkah tarian tetapi kekok apabila menari sambil pegang mikrofon. Saya kemudian ambil keputusan menari sambil pegang telefon bimbit sebagai pengganti mikrofon,” katanya.

Mahu tembusi pasaran muzik seberang

Bercerita mengenai perancangan kerjaya, Ismail menyusun strategi untuk mengembangkan kerjaya di Indonesia. Katanya, dia akan muncul dengan lagu baru khas buat pendengar di negara itu.

Bukan mahu membezakan peminat di sana dan Malaysia, hakikatnya konsep muzik yang menjadi pilihan pendengar dua negara ini tidak sama.

“Saya akan hasilkan lagu pertama khas untuk pasaran Indonesia tidak lama lagi. Konsep muzik mungkin urban dan ada sedikit unsur jaz. Bagaimanapun, ia masih pada peringkat perbincangan.

“Walaupun baru cubaan pertama, saya disarankan agar muncul dengan lagu sendiri sebagai pengenalan. Kalau diterima baik, saya ada juga rancangan untuk duet dengan penyanyi Indonesia,” katanya yang bersyukur kerana sudah mempunyai kelompok peminat dari negara itu.

Mengakui ada kebimbangan mengenai usaha melebarkan sayap di Indonesia, Ismail bagaimanapun cukup selesa menjalankan perancangan bagi menjayakan impian itu.

Dia berharap dapat menempa nama di sana sama seperti beberapa penyanyi tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan Hafiz Suip.

Terus nyanyi lagu balada

Ismail yang mempertaruhkan Demi Kita sebagai single kedua mengakui lagu berunsurkan elemen balada itu kurang menjadi.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang untuk anak muda ini terus mencuba lagi pada masa hadapan.

Namun, buat masa ini dia ingin fokus genre muzik digemari peminatnya.

“Demi Kita memang kurang menjadi tetapi saya tidak putus asa dan akan cuba lagi bawa lagu balada.

“Memandangkan peminat lebih suka saya bawa lagu rancak, saya akan ikut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:49 AM