NUBHAN pertaruh lagu baru, Tak Tahan bergenre pop fusion.  FOTO: Nurul Shafina Jemenon
NUBHAN pertaruh lagu baru, Tak Tahan bergenre pop fusion. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
Norhayati Nordin


WALAUPUN karier nyanyian dibina sudah melewati sedekad, Nubhan Ahamad, 33, tidak pernah berputus asa berusaha mengecap populariti.

Apatah lagi, melihat kejayaan dinikmati rakan yang memahat nama dan dikenali ramai membuatkan Nubhan nekad dia perlu muncul dengan pembaharuan.

Ditambah minat terhadap nyanyian yang tak pernah pudar mendorong Nubhan menyahut cabaran tampil dengan genre muzik baharu.

Memilih genre pop fusion, Nubhan mempertaruhkan lagu terbaharu berjudul Tak Tahan hasil ciptaan bersama komposer Indonesia, Ressa Herlambang dan Rizky manakala lirik oleh Merak Bersyair.

Mengulas keberaniannya untuk keluar daripada kepompong muzik balada, Nubhan berkata, mungkin sudah tiba masa untuk dia berubah dan mencuba genre baharu.

“Selama lebih 10 tahun menceburi nyanyian, saya akui kebanyakan lagu dihasilkan lebih ke arah genre muzik balada yang menjurus tema percintaan dan putus kasih.

“Terus terang, rasanya saya sudah cukup sinonim dengan lagu sebegitu (balada) dan sampai saatnya untuk cuba genre baharu seperti pop fusion ini.

“Walaupun pada awalnya kekok, sebagai penyanyi, saya selesa menyanyikan lagu Tak Tahan yang liriknya agak ‘catchy’. Saya juga cuba menari dengan baik dalam muzik video lagu Tak Tahan biarpun sukar. Bagi saya, perlu berani mencuba untuk pembaharuan,” katanya.

Nubhan berkata, lagu Tak Tahan juga menjadi produk penjenamaan semula dirinya dalam karier nyanyian. Katanya, apa yang diharapkan percaturan baharu itu diterima.

“Saya sangat mengharapkan pendengar muzik di negara ini dapat menerima lagu Tak Tahan secara positif. Apatah lagi, ia taruhan harapan buat saya.

“Semoga lagu ini berjaya dan jika tiada aral, Tak Tahan juga akan menembusi pasaran muzik di Indonesia. Insya-Allah, diharapkan jadi kenyataan,” katanya.

Tiada niat eksploit tubuh

Mengulas video muzik yang menampilkan sekumpulan lelaki tidak berbaju, Nubhan berkata, ia sama sekali bukan bertujuan mengeksplotasi tubuh badan.

“Saya tidak berniat langsung mahu memanfaatkan babak tubuh lelaki tidak berbaju yang bersilat di dalam video muzik itu bagi menarik jumlah tontonan di YouTube.

“Lagu baharu ini bergenre pop fusion yang memuatkan elemen tradisional, jadi saya ambil aktiviti silat itu untuk dimuatkan selain tarian tradisional,” katanya.

Ditanya kesediaannya menerima kecaman warganet, Nubhan yang juga bapa dua anak berkata, terpulanglah mereka nak kata apa dan dia akan terima secara terbuka.

Video muzik Tak Tahan yang sudah seminggu dimuat naik di YouTube mencatat lebih 27,000 tontonan dengan penampilan istimewa isteri Nubhan, Dr Fie Tawfek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:10 AM