ALYAH masih selesa dengan cara lama tapi guna idea terkini.
ALYAH masih selesa dengan cara lama tapi guna idea terkini.
Sudirman Mohd Tahir


Nama Datin Alyah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tempatan.

Walaupun ketika ini selera pendengar beralih kepada penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU), Alyah masih utuh berdiri.

Setiap tahun Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 37, tidak pernah gagal muncul dengan single sebagai hadiah buat peminat.

Ia sekali gus membuktikan kesungguhan dan kecintaan Alyah dalam bidang nyanyian.

Walaupun awal kerjaya Alyah agak suram selepas menjuarai Bintang HMI 2000, rezeki berpihak kepadanya apabila lagu Tak Mungkin Kerana Sayang menjadi hit sekitar 2008.

Sejak itu, graf seni Alyah yang juga isteri kepada pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS itu meningkat naik dan kehadiran Alyah terus mendapat tempat di hati peminat.

Alyah mengakui sepanjang 18 tahun berada dalam industri muzik dia sudah melalui jatuh, bangun, susah dan senang sebagai anak seni.

Jadi, itu membuatkan dia lebih kuat dan bersemangat untuk terus melangkah lebih jauh.

“Saya sudah biasa gagal. Sepanjang dalam bidang nyanyian ini, apa yang saya tidak lakukan lagi? Semua pernah termasuk bertukar imej. Ketika itu mungkin belum rezeki saya untuk berjaya. Namun, saya tidak pernah putus asa atau menyerah kalah.

“Saya percaya kepada ketentuan Allah dan yakin buah kejayaan pasti ada. Alhamdulillah, selepas hampir 10 tahun, satu persatu Allah datangkan nikmat untuk saya. Sejak itu, saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Setiap peluang yang datang saya ambil.

“Pada masa sama, saya jenis suka mencuba sesuatu yang baru. Bagi saya, berjaya atau tidak, ia bukan perkara utama kerana kita tidak tahu apa hasilnya. Sekiranya berjaya, saya bersyukur. Jika sebaliknya saya perlu buat semula dan berusaha lagi,” katanya.

Pada masa sama, Alyah juga melalui transisi apabila dia perlu bersaing dengan kemunculan penyanyi baru.

Sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi, puluhan artis lahir daripada program realiti. Tidak keterlaluan, jika dikatakan tak ramai yang mampu bertahan.

“Berada pada kedudukan sekarang, saya sudah bersyukur. Bukan masanya untuk saya mengikut apa yang menjadi trend generasi baru sekarang iaitu membuat sesuatu perkara agar tular di media sosial.

“Saya tidak perlu bersaing dengan cara sebegitu. Saya masih selesa dengan cara lama, tetapi menggunakan idea baru. Kalau fikir macam mana nak bersaing dengan penyanyi baru, saya memang tidak terkejar. Jadi, untuk menghasilkan yang terbaik saya menyerahkan kepada pasukan yang ada untuk melakukan kerja mereka.

“Bagi saya, ini zaman mereka. Pada masa sama, saya percaya masih ada peminat muzik tempatan yang meminati saya atau penyanyi seangkatan. Buktinya, setiap kali keluar dengan lagu baru, sambutan diberikan sangat menggalakkan,” katanya.

Kerja dengan Hael Husaini

Mengenai kerjaya seninya, Alyah kini muncul dengan single Jutaan Purnama hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Pada awalnya, saya tidak tahu ini lagu Hael. Sebabnya, dalam demo suara Omar K dan kebetulan saya memang minta lagu daripada Omar. Jadi, saya menjangka ini lagu daripada Omar.

“Apabila di studio rakaman, saya tidak bertanya langsung mengenai lagu ini. Cuma saya berasa pelik kenapa Hael ada di studio yang ketika itu menjaga vokal saya sepanjang sesi rakaman. Sepanjang pengetahuan saya, mereka satu pasukan. Jadi, mungkin Omar meminta Hael menggantikan dia malam itu.

“Akhirnya, saya bertanya sendiri kepada Omar. Barulah dia maklumkan lagu ini adalah ciptaan Hael. Jadi, baru saya sedar yang selama ini Hael memang kerap bertanya bila saya ingin rakamkan lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan Hael itu, Alyah berharap ia boleh pergi jauh seperti lagu sebelumnya.

Viceo muzik lirik lagu Jutaan Purnama sudah boleh ditonton di YouTube sejak bulan lalu.

“Terima kasih kepada Hael kerana lagu yang sedap ini. Saya sudah lama mengenali Hael. Dia juga macam saya yang bermula dari bawah dan merasai pahit manis sebagai penyanyi yang ingin berjaya.

“Apa saya boleh katakan, Hael dari ‘zero to hero’. Insya-Allah jika ada rezeki, saya ingin bekerjasama dengannya lagi. Begitu juga dengan komposer muda lain,” katanya.

Dipilih jadi duta

Dalam perkembangan lain, Alyah gembira apabila masih dipilih menjadi duta bagi beberapa produk tempatan. Terbaru, Alyah dilantik menjadi duta tudung Nuha Scarves.

“Jika diikutkan ada ramai lagi artis muda dan baru yang mereka boleh pilih. Namun, saya bersyukur dan tidak menjangka apabila masih jadi pilihan. Bagi saya ini rezeki yang tidak boleh ditolak. Saya beranggapan ini kepercayaan diberikan untuk jenama terbabit.

“Mungkin ada sebab juga kenapa mereka memilih saya. Pastinya, sebelum keputusan dibuat mereka buat kajian dahulu. Sejujurnya, pada usia sebegini banyak perkara positif yang berlaku kepada saya sekarang di luar jangkaan. Ia semua tidak pernah saya lalui sebelum ini ketika masih muda.

“Kalau nak ambil kira jumlah pengikut di Instagram, saya masih ketinggalan jauh daripada yang lain. Cuma, apa saya perasan pengikut yang ada jenis membeli, malah yang kaki ‘stalker’ pun sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 9:36 AM