HARAP kolaborasi berjaya.
HARAP kolaborasi berjaya.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI terkenal, Hael Husaini terus rancak merencana kerjaya nyanyian apabila muncul dengan lagu duet bersama penyanyi hebat Indonesia, Cakra Khan berjudul Terlanjur Cinta.

Selepas lagu duetnya, Haram bersama Dayang Nurfaizah mencipta fenomena dan dinobatkan Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu, Terlanjur Cinta juga diharap mampu memberi magis sama.

Malah, Hael yang terlebih dahulu memuat naik ‘teaser’ bersama Cakra di Instagram membuakkan rasa ingin tahu projek yang bakal ditampilkan kedua-dua figura pemuzik hebat dari dua negara berjiran ini.

Ternyata, apa yang ditunggu dan dinantikan peminat berbaloi apabila lagu ciptaan David Sam dan Irwan Sutanto itu dilancarkan pada 27 Februari lalu.

Malah, video muzik lagu itu masih menduduki carta ‘trending’ di laman YouTube dan sudah mencecah tontonan lebih 300,000 dalam tempoh seminggu.

Berkongsi lanjut, Hael berkata Terlanjur Cinta adalah idea daripada syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment.

“Kolaborasi ini adalah idea daripada label yang uruskan kerjaya saya dan label Cakra di Indonesia yang inginkan terjalinnya kerjasama antara kami.

“Saya mengganggap ini kerjasama yang menarik dan bersetuju merealisasikannya.

“Sejujurnya, saya tidak mengenali Cakra secara peribadi sebelum ini dan begitu juga dengan dia. Kami hanya tahu yang masing-masing ada karier di negara sendiri dan akan digandingkan untuk satu projek khas.

“Pertemuan kami diatur bermula dari bengkel bersama penerbit dan komposer di Jakarta sehinggalah ke proses rakaman. Sepanjang proses itu, saya dan Cakra mengambil kesempatan untuk sesi suai kenal.

HAEL Husaini muncul dengan lagu duet bersama penyanyi hebat Indonesia, Cakra Khan berjudul Terlanjur Cinta.
HAEL Husaini muncul dengan lagu duet bersama penyanyi hebat Indonesia, Cakra Khan berjudul Terlanjur Cinta.

“Ternyata kami mempunyai keserasian untuk bekerjasama. Malah, dia juga seorang yang sangat mudah didekati dan profesional dalam bekerja,” katanya.

Mengenai gabungan mereka yang jarang menyaksikan duet sesama jantina, Hael yang baru melancarkan lagu Hati berkata ia bukan satu masalah.

“Bagi saya, berduet atau kolaborasi dalam lagu seharusnya bersifat ‘genderless’ dari segi siapa berduet dengan siapa.

“Apa yang penting adalah makna yang tersirat dalam sesebuah lagu dinyanyikan

bersama itu,” katanya.

Apa yang pasti, kolaborasi ini menjadi langkah awal buat Hael melebarkan sayap pengaruh muziknya ke pasaran muzik Indonesia.

“Proses menghasilkan lagu ini agak lama kerana kami bermula dengan bengkel sekitar September tahun lalu. Sejak itu saya ulang-alik ke Jakarta untuk menjayakan kolaborasi ini. Rakaman video muzik pula dilakukan pada Januari lalu selama dua hari.

“Apabila bercakap mengenai kelangsungan kerjaya di sana, penyanyi mana yang tidak mahu mengembangkan karier ke pasaran luar? Saya memang berniat untuk pergi lebih jauh seperti Yuna.

“Jadi, apabila ada rezeki ke Indonesia, saya anggap ini peluang keemasan dan permulaan yang bagus untuk mula melebarkan sayap,” katanya.

Ditanya sejauh mana persediaannya untuk berulang-alik ke Indonesia sekiranya berjaya diterima baik di sana, Hael berkata sudah lama bersedia.

“Saya sudah cuba ulang-alik selama beberapa bulan ini. Setakat ini, saya rasa tiada beza kerana saya juga selalu ulang-alik ke Sabah dan Sarawak untuk memenuhi undangan persembahan yang jaraknya lebih kurang sama dari Kuala Lumpur.

“Lagipun, saya suka dengan kerja saya. Jadi, saya tidak rasa sebarang masalah buat masa ini,” katanya.

Harap kolaborasi berjaya

Bagi Cakra, 28, atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman berkata, dia seronok dapat bekerjasama dalam lagu dengan penyanyi berbakat besar seperti Hael .

“Sudah tentu saya senang dan terharu dapat berkolaborasi dengan Hael. Ini bukan pertama kali saya bekerjasama dengan penyanyi Malaysia.

“Apa yang diharapkan adalah semoga lagu Terlanjur Cinta ini diterima oleh khalayak dan peminat. Kami akan terus berjuang dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Walaupun pertama kali bekerjasama, Cakra yang juga penyanyi lagu Mencari Cinta Sejati mengakui tidak berdepan masalah ketika merakamkan lagu itu.

“Tidak ada masalah yang timbul. Bagi saya, suara Hael lembut dan nada rendah okey. Jadi, kami saling melengkapi kerana suara rendah agak susah.

“Paling penting, dalam lagu ini kami saling memberikan tenaga supaya dapat mengimbangi antara satu sama lain sehingga ia siap dihasilkan,” katanya.

KOLABORASI dengan Cakra langkah awal Hael untuk lebar pengaruh muzik ke Indonesia.
KOLABORASI dengan Cakra langkah awal Hael untuk lebar pengaruh muzik ke Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 6:00 AM