ALYAH ketika pelancarar 'Jutaan Purnama' Julai lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
ALYAH ketika pelancarar 'Jutaan Purnama' Julai lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Datin Alyah berterima kasih kepada syarikat penerbitan Orangetree Production Sdn Bhd kerana memilih lagu nyanyiannya, Jutaan Purnama sebagai lagu tema drama Seribu Rindu yang kini ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Alyah, 37, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata, penangan drama lakonan Zul Ariffin dan Azira Shafinaz membolehkan lagu itu ‘hit’ di semua stesen radio selain jumlah tontonan muzik video naik mendadak lebih dua juta di YouTube.

“Diakui sambutan terhadap lagu ini agak perlahan selepas ia dilancarkan Julai lalu. Hinggakan saya pernah menangis kerana meletakkan harapan tinggi ke atas lagu ini. Kalau boleh tak nak jadi seperti lagu sebelumnya.

“Namun, selepas empat bulan saya tidak menjangka ia dipilih menjadi lagu tema drama ini. Sejak ditayangkan, lagu ini terus popular. Malah, jumlah tontonan muzik video juga naik mendadak.

“Meski lambat diterima, saya tetap bersyukur dan terharu. Kalau saya dapat jumpa penerbit drama ini, saya akan cakap terima kasih yang tak terhingga. Terima kasih juga kepada pihak syarikat rakaman Warner Music yang tanpa jemu membantu mempromosikan lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Alyah, lagu ciptaan Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong itu turut menjadi lagu permintaan yang wajib dinyanyikan setiap kali mengadakan persembahan.

Dalam masa sama, Alyah yang popular menerusi lagu Kisah Hati tidak menafikan kontroversi yang timbul membabitkan hubungan rumah tangga dengan suami, Datuk Ramli MS baru-baru ini antara sebab lagu itu menjadi hit.

“Kebetulan ketika lagu ini mula menjadi perhatian, timbul pula sedikit ‘kekecohan’ yang berpunca daripada sikap netizen. Jadi, setiap kali menjayakan persembahan saya akan menyanyikan lagu ini.

“Mungkin orang melihat saya menyanyikan lagu ini dengan penuh penghayatan ditambah lirik lagu yang begitu puitis. Dari situ, orang mengaitkan lagu ini dengan kisah peribadi saya.

“Apa yang terjadi hanya kebetulan. Saya menganggap ini rezeki untuk lagu Jutaan Purnama. Agak lama juga saya menantikan saat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 12:52 PM