ALYAH
ALYAH
Sudirman Mohd Tahir

Hasrat penyanyi, Datin Alyah, 37, untuk menerbitkan album penuh tahun lalu tidak kesampaian gara-gara beberapa masalah termasuklah membabitkan soal kewangan.

Alyah berkata, dia yang bergerak dan menguruskan kerjaya sendiri sejak 12 tahun lalu terpaksa mengumpul wang bagi merealisasikan hasratnya itu.

“Kali terakhir saya muncul dengan album penuh pada 2008. Hingga sekarang saya masih berusaha untuk siap dan hasilkan album baru. Ini menjadi antara impian saya selepas 18 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian.

“Walaupun pasaran muzik sekarang tertumpu kepada penyanyi baru, saya tetap berjuang untuk mempertahankan muzik dibawa. Sebelum ini saya sudah berbincang dengan pihak Sony Music Malaysia selaku pengedar, tetapi semuanya masih bawah syarikat saya, Like Music.

“Jadi, banyak perkara perlu diambil kira. Saya tidak mahu sekadar mengeluarkan album saja, sebaliknya ingin album ini memberi makna kepada peminat. Disebabkan itu, saya perlu teliti dan pada masa sama soal kewangan memainkan peranan penting,” katanya.

Menurut Alyah, dia tidak meminta bantuan daripada mana-mana pihak untuk menyiapkan album itu.

“Sebagai penyanyi yang bergerak sendiri, saya tidak ada sokongan kewangan daripada sesiapa termasuklah keluarga. Saya kumpul duit sendiri. Jadi, setiap hasil pendapatan daripada persembahan saya simpan.

“Disebabkan itu, saya berharap album ini dapat diterbitkan tahun ini. Sepatutnya, tahun lalu tetapi ada beberapa sebab tertentu membuatkan ia ditunda. Pada masa sama, saya juga kaji dari segi pasaran muzik,” katanya.

Alyah berkata, album itu memuatkan semua single yang pernah dihasilkan sepanjang karier sejak beberapa tahun lalu.

Antaranya, Sesal Separuh Nyawa, Engkau Milikku, Syurga, Kau Yang Terindah, Kisah Hati dan single terbaru, Jutaan Purnama.

Alyah juga berkongsi, pembikinan muzik video lagu Engkau Milikku yang menelan belanja RM300,000 antara punca dia terpaksa menunda penerbitan album.

“Saya berhabis untuk muzik video lagu ini yang menjalani penggambaran di Ladakh, India. Bagaimanapun, lagu ini kurang mendapat sambutan. Saya berasakan sudah rugi di situ,” katanya.

Tidak serik

Bagaikan tidak serik, muzik video terbaru lagu Jutaan Purnama turut menjalani penggambaran di New Zealand yang membabitkan kos RM40,000.

“Saya seorang yang suka berkarya. Disebabkan itu, saya nak juga ke luar negara. Lagipun, sebelum ini semua muzik video lagu saya dibuat di sini.

“Memandangkan sudah ada pengalaman buat muzik video di luar negara, saya tidak perlu bimbang lagi. Namun, kali ini saya hadkan pasukan iaitu tiga orang saja. Saya fikir, dalam tenaga kerja yang kecil juga boleh menghasilkan sesuatu yang menarik.

“Menerusi muzik video ini, saya turun padang sendiri mencari lokasi sesuai. Malah, saya juga menjadi pengarah muzik video ini. Pendek kata, kali ini saya berani tanggung risiko. Lagi pula, segala keputusan daripada saya. Apa pun jadi selepas ini, saya tidak boleh menyesal atau mengeluh,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu, Alyah berharap ia boleh pergi jauh seperti lagu sebelumnya.

Muzik video lirik lagu Jutaan Purnama sudah boleh ditonton di laman YouTube sejak tiga minggu lalu.

“Saya sedar, peminat masih tidak boleh ‘move on’ dengan lagu Sesal Separuh Nyawa. Kalau saya dijemput menyanyi pada majlis perkahwinan pun, mereka inginkan lagu ini. Mungkin disebabkan itu, beberapa lagu saya yang lain kurang berjaya.

“Namun, saya meletakkan harapan tinggi untuk Jutaan Purnama ini. Saya terbuka dan menawarkan kepada mana-mana rumah produksi untuk menjadikan lagu ini sebagai lagu tema drama atau filem,” katanya.

Dalam erkembangan terbaru, Alyah sedang dalam peringkat perbincangan dengan pihak Lime Shots untuk menjalin kerjasama selepas syarikat yang menghasilkan produk kesihatan itu menaja sambutan hari lahirnya yang ke-37, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 2:04 AM