Zuraida melancarkan logo MKAA dan Modul Kesedaran Asas Keselamatan Di Air. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zuraida melancarkan logo MKAA dan Modul Kesedaran Asas Keselamatan Di Air. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib

zanariah_

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 15 lokasi ‘hotspot’ yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kejadian lemas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, lokasi itu ditentukan berdasarkan data kejadian insiden mati lemas melebihi lima mangsa antara 2016 dan 2018.

Katanya, lokasi berkenaan membabitkan sungai, air terjun, pantai dan tasik, lombong serta empangan.

Kawasan sungai yang berisiko tinggi adalah Sungai Kg Batu Payung, Tawau, Sabah membabitkan 15 mangsa, Sungai Kg Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan (enam) dan Sungai SKC Kg Timah, Sungai Tinggi (tujuh), Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu (enam) serta Sungai Gasi, Sungai Buloh, Selangor (lima).

Bagi air terjun, Air Terjun Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor (12), Air Terjun Lata Berembun, Raub (10) dan Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang (lima) serta Air Terjun Sekayu, Terengganu (11).

Bagi pantai, lokasi yang terbabit adalah Pantai Nipah, Bachok (14) dan Muara Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan (tujuh) serta Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Pulau Pinang (tujuh).

Bagi tasik, lombong dan empangan, Empangan Semenyih, Semenyih (10), Jambatan Stesen KTM Sungai Buloh (lima) dan Empangan Taman Putra Perdana, Puchong (10).

Zuraida berkata, sempena cuti sekolah ini, kementeriannya sudah mengarahkan JBPM untuk mengawasi kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi bagi tujuan kawalan keselamatan sepanjang cuti sekolah, yang mana kes mati lemas didapati kerap berlaku.

“Selain itu, orang ramai terutama ibu bapa dipohon mengawasi pergerakan anak mereka ke tempat rekreasi air dan patuh kepada papan tanda Amaran Bahaya dan Arahan Tips/Panduan Keselamatan Air di lokasi berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) dan Modul Kesedaran Asas Keselamatan di Air di Putrajaya hari ini.

Zuraida berkata, berdasarkan data JBPM, 260 kes mati lemas di kawasan dan rekreasi air dicatatkan pada 2016, 327 kes pada 2017 dan 309 kes pada 2018.

Mengenai Modul Kesedaran Asas Keselamatan di Air, Zuraida berkata, ia mula dilaksanakan secara rintis pada bulan lalu di dua sekolah di Putrajaya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya, Presint 11 dan Sekolah Kebangsaan Presint 11 (3), membabitkan 289 pelajar.

“Modul ini dijalankan secara teori dan lanjutan, mengenai asas panduan dan langkah keselamatan di air.

“Kita akan mengenal pasti kemudahan kolam renang termasuk bekerjasama dengan pihak hotel bagi memperluaskan pelaksanaan modul ini di sekolah seluruh negara,” katanya.

Berhubung laporan siasatan jawatankuasa insiden membabitkan kematian enam anggota bomba di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Zuraida berkata, ia dijangka dibentangkan ke Kabinet bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 8:32 PM