SYUHADA simpan impian bekerjasama dengan komposer dan penyanyi Haqiem Rusli.
SYUHADA simpan impian bekerjasama dengan komposer dan penyanyi Haqiem Rusli.
Norhayati Nordin


Tempoh sembilan tahun membina karier seni bukan laluan mudah buat penyanyi remaja, Syuhada Md Amin, 21.

Walaupun pernah muncul juara Idola Kecil musim pertama siaran TV9 pada 2008, ia bukan jaminan buatnya mencipta nama. Ternyata perjalanan harus ditempuhi Syuhada berliku.

Bagi Syuhada, semua itu penting untuknya supaya tidak cepat berputus asa. Memiliki tiga single solo bawah label SRC, Tanpa Kamu, Bukan Dia dan terbaru, Tak Kena, Syuhada akui hanya Bukan Dia yang berjaya menawan hati pendengar.

Katanya, pernah juga memikirkan di mana silap dan kekurangan pada dirinya untuk lagu dinyanyikan berjaya diterima peminat dengan mudah.

“Saya sentiasa meletakkan harapan positif untuk setiap single yang dirakam akan mendapat sambutan baik. Bagaimanapun, ternyata ia bukan perkara mudah.

“Saya pernah juga terfikir perlukah untuk saya terkait dengan gosip untuk lebih dikenali. Apapun selepas mengambil kira banyak perkara terutama hati ibu bapa dan keluarga, saya akhirnya melupakan hasrat itu.

“Bagi saya, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Apatah lagi setiap manusia ini sudah tertulis perjalanan kehidupan yang berbeza,” katanya.

Syuhada sedar mungkin juga perjalanan karier seninya untuk mencapai tahap berjaya sudah tertulis berliku dan harus pertingkatkan usaha.

Katanya, selagi termampu dia akan terus berusaha dan tidak akan sekali-kali berputus asa termasuk cepat berasa kecewa.

“Waktu sama saya sedar populariti kini menjadi kayu ukur paling utama untuk seseorang selebriti. Segala pilihan bergantung pada peminat.

“Jika melodi dan lirik single dihasilkan kena dengan cita rasa peminat, semestinya dengan sekelip mata sesuatu karya lagu itu akan mendapat sambutan.

“Apapun, jauh di sudut hati saya sebenarnya ingin bekerjasama dengan komposer dan penyanyi, Haqiem Rusli jika berpeluang.

“Saya dapati lagu ciptaan Haqiem pun tidak kurang hebatnya dan rata-rata peminat masa kini senang menerima karyanya,” katanya.

Mengenai single Tak Kena, Syuhada berkata, dia masih mengekalkan genre pop reggae seperti diketengahkan untuk lagu Bukan Dia.

“Pun begitu, mungkin cita rasa peminat sudah berubah. Saya dapati sukar untuk single Tak Kena melekat di hati pendengar.

“Ditambah lagi saya juga kurang membuat promosi untuk lagu Tak Kena kerana harus memberi perhatian pada penjagaan bapa yang kurang sihat,” katanya.

Kata Syuhada, dia memilih untuk memberi tumpuan menjaga bapanya, Md Amin Bahari, 63, yang disahkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

“Alhamdulillah, kini keadaan ayah semakin pulih dan saya perlu menyusun strategi baru untuk menggiatkan semula promosi lagu Tak Kena.

“Saya yakin dan percaya single Tak Kena mampu menambat hati pendengar muzik tempatan jika corak publisiti dilakukan kena dengan caranya.

“Apapun, yang pasti saya tidak boleh cepat melatah dan mengalah. Bagi saya, di mana ada kemahuan sudah tentu di situ ada jalan,” katanya.

Percaya pada rezeki dijanjikan Allah SWT, Syuhada berkata, selain teruskan usaha dia juga tidak akan putus berdoa.

Nyanyikan semula lagu Hampa Hatiku

Di sebalik perancangan teliti untuk promosi single Tak Kena, Syuhada juga baru-baru ini merakam semula lagu Hampa Hatiku nyanyian asal Ungu secara duet.

Berganding dengan kumpulan baru, Xpose menggabungkan elemen rap dan dangdut untuk lagu itu, ia disukai peminat.

Syuhada berterima kasih kepada ketua kumpulan Xpose, Eppy kerana sudi memberi peluang dan bekerjasama.

“Bahagian saya menyanyikan elemen dangdut untuk lagu Hampa Hatiku sikit sahaja tetapi tidak sangka pendengar menyukainya.

“Apapun, terima kasih kepada Xpose kerana mahu berduet dengan saya. Tidak sangka mereka berasakan vokal saya sesuai menyanyikan irama dangdut,” katanya.

Syuhada juga teruja apabila nyanyiannya turut mendapat komen baik dan positif daripada rakan penyanyi seperti Wani Hasrita serta peminat di Indonesia.

Selain itu, Syuhada juga buat kali pertama mengadakan acara ramah mesra bersama kelab peminatnya di sebuah pusat karaoke di ibu kota baru-baru ini.

Dihadiri 100 peminat, Syuhada berkata, dia sekadar menganjurkan satu majlis ramah mesra yang sederhana.

“Sebenarnya, saya tidak sangka ada juga peminat yang sudi datang dan sanggup meluangkan masa beramah mesra bersama saya.

“Maklumlah, saya bukan penyanyi dalam kategori popular. Jadi, tidak mahulah saya meletak harapan tinggi untuk kehadiran peminat.

“Namun, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka (peminat) yang hadir kerana sudi menyokong kerjaya seni saya,” katanya.

Pada majlis itu, Syuhada puas hati dan seronok kerana dapat menyanyi serta bergembira bersama peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:20 AM