SYUHADA kagum kecantikan luaran dan dalaman idolanya.
SYUHADA kagum kecantikan luaran dan dalaman idolanya.
Ardini Sophia Sina


Mula mencipta nama menerusi pertandingan Idola Kecil TV9 musim pertama dan berjaya menyandang gelaran juara, Syuhada, 20, pernah memperlahankan kerjaya seni selama enam tahun bagi memberi tumpuan pada pelajaran.

Syuhada bagaimanapun masih berjaya mengekalkan momentum sebagai penyanyi menerusi lagu Tanpa Kamu dan Bukan Dia.

Walaupun kurang mendapat publisiti dan jarang muncul di televisyen, Syuhada tetap mendapat peluang untuk bertanding dalam program D’Academy Asia di Indonesia bersama Shiha Zikir dan Mimi One Nation Emcees pada 2015.

Dalam mengharungi cabaran dunia seni, Syuhada atau Wan Syuhada Md Amin mengambil semangat daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bagi memacu kerjaya seninya. Sebelum bergelar artis, Syuhada menjadikan penghibur itu sebagai idolanya.

“Saya kagum dengan Siti Nurhaliza kerana suaranya lunak dan sedap didengar. Tidak hanya tertumpu pada bakat semata-mata, imejnya yang sentiasa sopan juga membuatkan saya tabik pada penyanyi itu.

“Dari awal pembabitan hinggalah membuat keputusan untuk berhijab, Siti sentiasa menjaga penampilan. Dia sentiasa sopan tidak memerlukan pakaian yang terdedah untuk menarik peminat.

“Dia adalah penyanyi yang bukan hanya cantik luaran tetapi dalamannya juga indah. Tutur katanya sentiasa sopan. Dia sentiasa merendah diri dan tidak pernah memandang penyanyi baru dengan sebelah mata,” katanya.

Kali pertama melihat Siti menyanyi adalah menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). Katanya, ketika itu Siti membuat persembahan dan menyanyikan lagu dengan penuh perasaan.

Syuhada akui terkesima kali pertama melihat penyanyi lagu Cindai itu menghayati tiap bait lirik dan menyelesaikan persembahannya dengan tenang tanpa sedikit pun kedengaran gemuruh.

Sejak hari itu, Syuhada juga memasang impian untuk menjadi penghibur hebat dan disegani seperti idolanya. Menyedari perjalanannya masih jauh, katanya, tidak ada apa-apa yang dapat menghalangnya untuk mencapai cita-cita.

“Setiap orang dalam apa jua kerjaya, mereka pasti mempunyai impian dan ingin mencapai sesuatu. Kita tidak mungkin mahu berada di tempat itu hinggalah tiba masa untuk bersara.

“Sekurang-kurangnya pasti ada pencapaian yang ingin dibuat sebelum bersara. Begitu jugalah dengan saya. Saya mahu menjadi seperti Siti. Mahu berjaya sepertinya yang tidak hanya disanjungi di Malaysia tetapi juga luar negara.

“Saya bukan mahu menjadi dia tetapi mengambil semangat dan sikap positif daripada caranya bekerja dan diterapkan dalam perjalanan seni saya. Baru saya sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa,” katanya.

Syuhada juga akui pernah beberapa kali bertemu dengan penyanyi itu. Kali pertama berjumpa Siti ketika sesi latihan peringkat akhir Idola Kecil 2008.

“Produksi TV3 dan TV9 memberi kejutan dengan membawa Siti ketika itu kerana saya sangat meminatinya. Ketika itu sudah tentu saya teruja dan gembira kerana tidak hanya berpeluang berjumpa dengannya tetapi juga berkesempatan bergambar dengannya.

Selain itu, Syuhada juga berpeluang menyanyikan lagu Siti secara medley bersama Jaclyn Victor bersempena majlis 15 tahun penyanyi itu dalam dunia hiburan. Pastinya pengalaman itu sangat bermakna buat dirinya.

“Memang saya bangga apabila dia datang untuk memberikan saya kejutan dan peluang memeriahkan majlis sambutan ke-15 Siti dalam industri muzik. Ia adalah penghormatan yang besar.

“Saya juga pernah bertemu dengan Siti ketika menyertai D’Acadamy Asia dan Siti adalah pengkritik jemputan pada masa itu. Saya bersyukur kerana berpeluang bertemu dengannya,” katanya.

Sejak kecil lagi, Syuhada dilatih ibu bapa untuk menyanyikan genre irama Malaysia. Tidak salah dia menjadikan Siti sebagai penyanyi kegemarannya.

“Saya menganggap Siti adalah ikon bagi genre irama Malaysia. Saya pencinta genre itu dan tidak hairan saya menjadikannya sebagai idola dan penyemarak semangat.

“Siti bagi saya penyanyi versatil. Kualiti suaranya sama dalam apa juga persembahan yang dilakukan. Tutur katanya teratur dan lembut tetapi tegas dalam pembawaan imej,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:16 AM