SYUHADA
SYUHADA
Norhayati Nordin


Nama penyanyi Syuhada Md Amin, 21, yang melonjak menerusi lagu Bukan Dia tahun lalu, seakan-akan menyepi semula. Hakikatnya, tahun ini Syuhada mempunyai single baru.

Biarpun kelibatnya sering muncul dalam program TV, peluang itu tidak digunakan untuk berkongsi mengenai single barunya.

Kata Syuhada, selepas lagu Bukan Dia ciptaan DJ Fuzz dan lirik oleh Muyu (Lawa Ni Gang), dia merakamkan lagu baru yang juga single ketiganya.

“Kali ini saya pertaruhkan lagu Tak Kena ciptaan sepenuhnya DJ Fuzz dan masih mengekalkan genre pop reggae seperti single Bukan Dia.

“Lagu itu juga sudah dimuat naik di YouTube sejak sebulan lalu,” katanya.

Syuhada akui dia kini perlu giat melakukan promosi untuk Tak Kena kerana sedar ramai peminat kurang mengetahui kehadirannya apabila dilancarkan Ramadan lalu.

“Mungkin waktu tidak sesuai kerana ketika itu kita rancak menjalankan ibadat puasa. Kini saya perlu gandakan usaha untuk promosikan lagu ini.

“Tambah pula jarak masa yang diambil untuk menghasilkan Tak Kena agak lama selepas Bukan Dia,” katanya.

Anak jati kelahiran ibu kota ini akui wujud kebimbangan dalam hatinya apabila lewat melancarkan single baru.

“Terus-terang, ada kalanya saya terfikir mungkinkah peminat akan lupa dan beranggapan bahawa Syuhada sudah menyepi semula.

“Memang hati saya tidak mampu mengelak perasaan bimbang itu kerana sedar bukan mudah mengekalkan nama. Ditambah pula kemunculan penyanyi baru semakin ramai dan bersilih ganti.

“Soal mendapat peluang memang agak rumit tapi saya sedar inilah namanya dugaan dan saya perlu kuatkan hati menerimanya. Paling penting, saya perlu sentiasa percaya pada rezeki,” katanya.

Anak bongsu dalam keluarga ini juga harus akur dengan perancangan diatur syarikat rakamannya, Suria Records (SRC).

Katanya, dia percaya mereka ada percaturan strategi tersendiri dalam usaha membantu mempromosikan lagu Tak Kena.

“Jauh di sudut hati, harapan saya semoga lagu Tak Kena mampu mendapat sambutan positif daripada peminat. Saya juga harapkan mampu memperoleh kerjasama baik daripada stesen radio untuk memutarkan lagu ini,” katanya.

Mula menceburi karier seni pada usia 12 tahun, Syuhada pernah dinobatkan sebagai juara program realiti Idola Kecil musim pertama di TV9.

Syuhada juga mencuba nasib dalam program Mentor Legend 2014 (TV3) sebagai protege Datuk Zainal Abidin, tetapi tidak terpilih.

Meskipun mengakui karier nyanyian menjadi keutamaan, Syuhada bersikap terbuka untuk mencuba bidang seni lain.

Katanya, bidang seni ini luas apatah lagi ketika kanak-kanak dulu dia ada ketengahkan bakat sebagai pelakon dan pengacara.

“Apabila usia menginjak remaja, nampaknya saya masih belum mendapat peluang baru untuk persembahkan bakat.

“Saya juga bersyukur kerana sepanjang kerjaya tidak terkena tempias gosip dan cerita sensasi. Saya nekad memberi fokus pada nyanyian kerana kerjaya saya masih belum stabil. Justeru, saya tahu banyak perkara perlu diambil kira untuk memperoleh kejayaan,” katanya.

Biarpun sedar cerita sensasi dan gosip juga berperanan membantu menaikkan nama seseorang selebriti, tetapi tegas Syuhada, itu bukan pilihannya.

“Saya akan gigih berusaha sehingga berjaya kerana ia cara lebih baik dan tulus. Umpama pepatah, biar lambat asal selamat,” katanya.

Mengenai keinginan bercinta, Syuhada berkata, sekarang bukan masa untuk mencari jodoh kerana usianya masih muda dan belum ada lagi pencapaian yang boleh dibanggakan ibu bapa selepas memilih bidang seni sebagai karier

“Sebelum mahu cuba nasib untuk bercinta, rasanya lebih baik saya memberi kebahagiaan kepada mereka (ibu bapa) terlebih dulu.

“Impian itu lebih penting kerana ibu bapa dan keluarga saya banyak memberi dorongan dan semangat untuk berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 7:52 AM