LUKAKU membuka jaringan menerusi sepakan penalti. FOTO AFP
LUKAKU membuka jaringan menerusi sepakan penalti. FOTO AFP
AFP

Rome: Romelu Lukaku meledak dua gol untuk mengumpul 300 jaringan dalam kariernya bagi membantu Inter Milan memintas AC Milan sekali gus berada di tangga teratas Serie A selepas mencatat kemenangan meyakinkan 3-1 ketika bertemu Lazio.

Dua gol Lukaku hadir pada separuh masa pertama tatkala Inter menggunakan kesempatan di atas kekalahan 0-2 musuh setempat di tangan Spezia semalam.

Inter memburu kejuaraan Scudetto pertama sejak meraih treble di bawah bimbingan Jose Mourinho pada 2010 dan sekarang mereka mengatasi AC Millan satu mata, manakala Roma pula ketinggalan enam mata di tempat ketiga.

Selepas ini kedua-dua pasukan akan bertembung sesama sendiri dalam aksi setempat Milan di San Siro Ahad depan.

"Dia kembali menemui sentuhan jaringan malam ini dan kami memerlukannya. Kami perlu kesungguhan dan semangat daripada semua orang di dalam pasukan.

"Saya gembira dengan persembahan pemain, sekurang-kurangnya ia adalah titik permulaan buat kami dan bukannya penamat. Kami tahu aksi selepas ini adalah pertemuan setempat dengan Milan, tapi berada di atas mereka adalah lebih baik," kata jurulatih Inter, Antonio Conte.

Lukaku membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti selepas Wesley Hoedt mengasari Lautaro Martinez.

Penyerang Belgium itu berjaya berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dengan Cristiano Ronaldo selepas meledak rembatan separuh voli untuk gol ke-16 liga.

Lazio merapatkan jurang selepas sejam perlawanan berlangsung hasil sepakan percuma Gonzalo Escalante sebelum Inter menambah gol ketiga pada minit ke-64 melalui Martinez.

Sebelum itu, pemain tengah Perancis, Jordan Veretout juga meledak dua gol untuk membantu Roma mengalahkan Udinese 3-0 dan kembali melonjak ke tangga ketiga.

Atalanta memanjat ke tangga ketujuh, untuk berkongsi mata dengan pasukan tempat kelima, Napoli selepas jaringan Luis Muriel pada minit ke-90 membantu mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Cagliari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 11:03 AM