RONALDO kini hanya ketinggalan satu gol di  belakang rekod milik Josef Bican. FOTO Agensi
RONALDO kini hanya ketinggalan satu gol di belakang rekod milik Josef Bican. FOTO Agensi
Agensi

Milan: Cristiano Ronaldo memintas catatan Pele untuk muncul penjaring gol kedua terbanyak sepanjang zaman selepas dua kali menembusi gawang Udinese, awal pagi tadi.

Penyerang Juventus berusia 35 tahun itu membantu pasukannya menang 4-1 bagi meneruskan tekanan ke atas kelompok empat teratas Serie A.

Tetapi dari segi pencapaian peribadi, jaringan itu memastikan dia memintas Pele dalam senarai sepanjang zaman.

Pele mencipta rekod 757 jaringan rasmi ketika karier gemilangnya bersama Santos, New York Cosmos dan Brazil antara 1956 dan 1977 tetapi Ronaldo meledak gol ke 757 dan 758 untuk menyamakan dan kemudian memintas legenda Brazil itu.

Gol pertama terhasil selepas dia yang mendapat bola daripada sebelah kanan pantas menuju ke gawang dan melepaskan rembatan melepasi jangkauan penjaga gol lawan.

Jaringan keduanya yang juga ketiga untuk Juve menerusi rembatan kaki kiri ketika dia hanya berdepan penjaga gol.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu juga mencipta bantuan gol kepada Federico Chiesa di Stadium Allianz untuk kedudukan 2-0 sebelum Paulo Dybala melengkapkan kemenangan.

Dia kini hanya satu gol lagi di belakang rekod milik Josef Bican yang meledak 759 gol di antara 1931 - 1955 dan kini makin hampir mengesahkan status penjaring terulung sepanjang zaman ketika menentang AC Milan dan Sassuolo minggu depan.

Separuh daripada jaringan Ronaldo terhasil ketika sembilan tahun di Bernabeu. Bakinya ketika bersama Sporting Lisbon, Manchester United, Juventus dan 102 jaringan antarabangsa bersama Portugal.

Catatan terbaru itu hanya beberapa minggu selepas Lionel Messi mengatasi rekod Pele untuk jaringan terbanyak bersama satu kelab.

Pele menghasilkan 643 bersama Santos tetapi Messi memintasnya apabila meledakkan gol ke-644 bersama Barcelona sejurus sebelum sambutan Krismas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 12:24 PM