GAYA Messi meraikan jaringan ketika menentang Brugge.
GAYA Messi meraikan jaringan ketika menentang Brugge.
Agensi

Paris: Lionel Messi merampas status Pele sebagai penjaring terbanyak Amerika Selatan sepanjang zaman selepas meledak dua gol ketika Paris St Germain menewaskan Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu menjaringkan gol ketiga dan keempat bagi membolehkan skuad Mauricio Pochettino menang 4-1.

Jaringan pertamanya adalah yang ke-757 dalam karier Messi yang menyamai rekod Pele sebelum meledak penalti untuk jaringan ke-758.

Ia bermakna penyerang PSG itu kini penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman di belakang bintang Manchester United, Ronaldo yang mengumpul 801 gol dalam kariernya.

Ronaldo menjaringkan gol ke-800 dan 801 ketika menentang Arsenal minggu lalu dan keseluruhannya meledak 686 gol peringkat kelab dan 115 gol ketika menyarung jersi Portugal.

Penyerang veteran berusia 36 tahun itu menjaringkan 450 gol ketika bersama Real Madrid, 130 (Manchester United), 101 (Juventus) dan lima (Sporting Lisbon).

Messi pula menjaringkan 672 gol dan menambah enam lagi dalam 14 penampilan bersama PSG yang disertai pada musim panas lalu selain 80 gol bersama Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 5:03 PM