AKSI   Griezmann  (jersi kuning) menjaringkan gol pertama Barcelona. FOTO AFP
AKSI Griezmann (jersi kuning) menjaringkan gol pertama Barcelona. FOTO AFP
AFP

Budapest: Antoine Griezmann membantu Barcelona mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini selepas menewaskan Ferencvaros 3-0.

Ronald Koeman merehatkan Lionel Messi ketika mereka sudah pun memastikan tempat ke pusingan 16 dan Barca mencipta kemenangan kelima daripada lima perlawanan dalam Kumpulan G menerusi persembahan mantap di Budapest.

Penyerang Perancis, Griezmann yang kurang menyerlah sejak berpindah dari Atletico Madrid 18 bulan lalu kini semakin berbisa sejak dikendalikan Koeman.

Barca yang agak tenggelam dalam saingan domestik mampu menamatkan kempen dengan rekod sempurna buat kali pertama sejak musim 2002-03 apabila melayan kunjungan Juventus minggu depan dan mereka bakal mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan jika mengelak kekalahan.

Walaupun ketiadaan Messi, penjaga gol Marc-Andre ter Stegen, Philippe Coutinho serta gandingan Gerard Pique dan Ansu Fati yang cedera, Barca tiada masalah menguasai perlawanan pada babak pertama.

Griezmann bijak menguis hantaran Jordi Alba pada minit ke-14 untuk gol pendahuluan di Puskas Arena.

Martin Braithwaite kemudiannya melebarkan kedudukan enam minit kemudian selepas menyambar hantaran lintang Ousmane Dembele untuk jaringan keempatnya dalam tiga perlawanan.

Dembele melengkapkan derita tuan rumah menerusi penalti pada minit ke-28 selepas Braithwaite dikasari Abraham Frimpong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 10:23 AM