MESSI memeluk Braithwaite selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
MESSI memeluk Braithwaite selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
Agensi

MARTIN Braithwaite berkata, dia tidak akan membasuh jersi dipakainya selepas dipeluk rakan sepasukan, Lionel Messi ketika menewaskan Eibar di Nou Camp, 5-0 awal pagi tadi.

Braithwaite yang baharu sahaja ditandatangani dari Leganes pada Khamis lalu dengan harga €18 juta (RM81 juta) dimasukkan pada 20 minit terakhir dan pantas mencipta impak dengan hantaran yang disudahkan Messi untuk gol keempat perlawanan.

Pemain antarabangsa Denmark itu turut terbabit dengan jaringan kelima apabila rembatan Braithwaite diselamatkan penjaga gol, Marko Dmitrovic tetapi bola muntah disambar Arthur Melo.

"Messi ucap tahniah kepada saya (hasil hantaran itu)," kata Braithwaite kepada wartawan yang bertanya apa diperkatakan bintang Argentina itu ketika dia memeluknya. “Dia pemain hebat, dia berusaha menjadikan saya selesa dan mencari saya dengan hantarannya.

"Saya tidak akan membasuh jersi ini selepas dia peluk saya. Jujurnya, saya benar-benar gembira dapat membantu Messi menjaringkan gol."

Barca diberi keistimewaan oleh La Liga untuk menandatangani Braithwaite minggu ini sebagai pengganti Ousmane Dembele yang tersisih sehingga baki saingan musim ini.

Bekas penyerang Middlesbrough itu yang hanya dibenarkan beraksi dalam saingan liga diberi sambutan hangat penyokong selepas masuk menggantikan Antoine Griezmann.

Jurulatih Barcelona, Quique Setien turut memuji impak dicetuskan pemain terbaharu Barcelona itu dan meramalkan dia mampu menyumbang kejayaan pasukan pada fasa terakhir kempen musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 1:46 PM