PEMAIN Barcelona, Lionel Messi (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
PEMAIN Barcelona, Lionel Messi (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

MADRID: Barcelona meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Celta Vigo 2-0 di Camp Nou awal pagi tadi sekali gus memastikan mereka terus kekal di puncak La Liga.

Dua jaringan Ousmane Dembele dan Lionel Messi pada separuh masa pertama membolehkan skuad Ernesto Valverde mengumpul 37 mata dan mengatasi Atletico di tangga kedua yang menang tipis ke atas Espanyol 1-0 hasil jaringan penalti Antoine Griezmann.

Dembele meletakkan tuan rumah di hadapan selepas sembilan minit permainan bermula apabila bola rembatan Messi gagal ditampan kemas penjaga gol Celta, Ruben Blanco dan Dembela pantas menolak bola ke gawang untuk jaringan pertama.

Messi melebarkan kedudukan seminit sebelum rehat apabila bijak menembusi pertahanan lawan dan dia yang menerima hantaran jauh Jordi Alba merembat kencang untuk jaringan ke-15nya musim ini.

Gandingan bintang Argentina dan Alba itu terbukti berbisa dalam mencipta jaringan pertama oleh Dembele.

"Mereka (Messi dan Alba) sudah bersama sekian lama dan saling memahami sesama sendiri,” kata Valverde.

"Kami berharap mereka akan teruskan momentum dan konsisten pada perlawanan seterusnya.”

Luis Suarez terlepas peluang menambah jaringan pada babak kedua apabila rembatannya tersasar selepas mendapat hantaran cantik daripada Alba.

Celta pula gagal menembusi gawang Barca walaupun kerap menguji penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 8:11 AM