ANTARA aktiviti sampingan berkaitan kesihatan mental yang dijalankan ketika MHEC 2.0.
ANTARA aktiviti sampingan berkaitan kesihatan mental yang dijalankan ketika MHEC 2.0.
Lydia Saiful dan Suhaila Khairie


Mental Health Experiential Conference 2.0 (MHEC 2.0) adalah inisiatif bagi melengkapkan majikan dengan alat dan sumber dalam meningkatkan kesihatan mental serta kesejahteraan pekerja dengan tema Kesihatan Psikologi untuk Majikan dan Pemimpin.

Program itu adalah anjuran Emerging Journey Asia (EJAsia) dengan kerjasama International Youth Centre (IYC), Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama) serta International and Malaysian Occupational Safety and Health Practitioners (MOSHPA) diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Pengarah Eksekutif EJAsia, Datuk Mirnawan Nawawi.

Pengasas Emerging Journey Asia (EJAsia), Dr Sangeeta Kaur yang juga pengerusi penganjur berkata, masih ramai tidak tahu cara mengatasi masalah kesihatan mental.

"Tujuan program ini adalah memberi penerangan, pengetahuan dan juga cara majikan atau pemimpin dapat membantu dan memberi sokongan kepada kesihatan mental serta emosi.

"Pekerja mula tertekan, keletihan, kebimbangan dan berhenti secara tiba-tiba kemudian ia menyebabkan masalah di tempat kerja dibawa ke rumah," katanya.

Menurutnya, sesetengah orang berasa tidak mengalami masalah mental kerana luaran kelihatan baik. Namun masalah kesihatan boleh dilihat daripada perubahan pada individu itu sendiri.

"Antara tanda awal anda mengalami masalah kesihatan mental adalah tingkah laku yang berubah, emosi kerap marah, makan tidak teratur, tidak senang duduk, masa tidur tidak terurus (tidak tidur langsung atau kerap tidur lebih dari dua minggu).

"Program yang dianjurkan adalah pengiktirafan terhadap peranan penting yang dimainkan kesihatan mental dalam pertumbuhan peribadi atau profesional serta direka untuk menyokong serta menaikkan pemimpin dalam ekosistem korporat," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sangeeta berkata, program ini mendapat sambutan yang berganda berbanding kali pertama pada 2019 lalu dan pihaknya juga bercadang untuk mengadakannya di negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Setiap program berkenaan kesihatan mental kami selitkan personaliti kerana semua orang memiliki personaliti yang berbeza-beza.

"Saya juga pernah menjalankan program bersama golongan B40 di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan mereka amat memerlukan pendedahan mengenai kesihatan mental," katanya.

DR Dzulkefly (kanan), Mirnawan (dua dari kanan), Dr Sangeeta (dua dari kiri) dan Dr Nashruddin Idris (kiri) semasa perasmian MHEC 2.0.
DR Dzulkefly (kanan), Mirnawan (dua dari kanan), Dr Sangeeta (dua dari kiri) dan Dr Nashruddin Idris (kiri) semasa perasmian MHEC 2.0.

ANTARA wakil syarikat yang menghadiri MHEC 2.0.
ANTARA wakil syarikat yang menghadiri MHEC 2.0.

Akuinya, kesihatan mental tidak melihat seseorang itu sama ada kaya, miskin, tua, muda atau warna kulit kerana ia dilalui semua dan perlu dicegah sebelum menjadi lebih serius sehingga bergantung kepada ubat-ubatan," katanya.

Dr Sangeeta yang juga kaunselor berlesen berkata, program ini dijalankan bagi menangani isu buli di tempat kerja yang sering kali dipengaruhi penerimaan orang sekeliling dan perbezaan nilai pada diri seseorang.

"Kita sebenarnya perlu ada sempadan untuk membezakan perkara yang betul dan salah kerana ramai pekerja masih beranggapan semua perkara yang diminta majikan perlu sentiasa dituruti.

"Namun, generasi muda sudah semakin faham dan mempunyai pendekatan lebih baik bagi menjaga kesihatan mental mereka berbanding generasi dahulu yang sentiasa menyumbang sepenuhnya kepada syarikat," katanya.

Katanya, majikan perlu diberi ruang dan pendedahan untuk menyelesaikan isu kesihatan mental ini supaya pekerja dapat dibantu serta dapat memahami perkara yang terbaik bagi pekerja mereka.

"Berdasarkan penyelidikan, 80 hingga 85 individu sering memikirkan perkara negatif berulang kali dalam minda mereka.

"Dalam konteks ini, majikan juga perlu memahami pekerja dan mempunyai sempadan dalam memastikan kesihatan mental pekerja mereka terjaga," katanya.

Menurutnya, program kesihatan mental itu dapat diketengahkan bermula dengan golongan muda sebelum mereka mula menceburi kerjaya sebagai majikan.

"Sebenarnya isu kesihatan mental ini juga perlu dimulakan dari rumah iaitu melalui ibu bapa sendiri kerana pada masa kini, bayi sudah diberi gajet yang menjadi punca utama masalah komunikasi.

"Banyak perkara yang perlu dipelajari ketika peringkat perkembangan dan kini ia menjadi cabaran di sekolah kerana masih ada murid yang ketinggalan dalam pembelajaran kerana tidak pandai menulis serta membaca.

"Oleh itu, program ini sangat sesuai disertai golongan muda untuk melahirkan majikan serta pekerja yang mempunyai keadaan fizikal dan mental sihat dalam membina produktiviti dan penghasilan kerja berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 7:01 AM