SENAMAN dapat mengurangkan tekanan pekerja.
SENAMAN dapat mengurangkan tekanan pekerja.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PANDEMIK Covid-19 mempercepatkan perubahan ke arah trend kerja hibrid. Model hibrid ialah amalan kerja lebih fleksibel yang menggabungkan pejabat dan jarak jauh.

Walaupun jadual kerja kakitangan mungkin berbeza mengikut syarikat, tetapi ada persamaan umum iaitu keperluan majikan mengutamakan kesejahteraan pekerja.

Naib Presiden Kanan Herbalife Nutrition Asia Pasifik dan China Stephen Conchie berkata, usaha mengutamakan kesejahteraan pekerja membolehkan syarikat membentuk pasukan bermotivasi, berupaya mengharungi cabaran dan terus maju dalam era pasca pandemik.

"Sebuah syarikat bukan satu perniagaan semata-mata. Ia seharusnya berfungsi sebagai sebuah komuniti.

"Bagaimanapun, kerja hibrid dan jarak jauh ini ada kekanganya iaitu ia boleh menyukarkan majikan membina budaya kerja yang hebat dan memupuk hubungan kerja lebih erat antara pekerja," katanya.

Stephen berkata, bagi menggalakkan usaha membina komuniti dalam persekitaran kerja hibrid, majikan boleh mempertimbangkan idea untuk menjadikan ruang pejabat sebagai hab kerjasama dan membina ruang komuniti yang kondusif kepada kakitangan.

Katanya, tip kedua ialah meningkatkan sokongan kesihatan dan pemakanan sihat adalah sebahagian daripada faedah pekerja.

"Pandemik Covid-19 meningkatkan tumpuan terhadap kesejahteraan kakitangan, termasuk kesihatan fizikal dan mental mereka.

"Berdasarkan laporan 'Qualtrics' 2022 Employee Experience Trends', tahap kesejahteraan kakitangan di hab Asia Pasifik (Apac) berada pada paras terendah.

"Singapura dan Hong Kong masing-masing ialah 65 peratus, manakala Malaysia (71 peratus).

PEJABAT sebagai hab kerjasama antara pekerja.
PEJABAT sebagai hab kerjasama antara pekerja.

"Disebabkan itu, lebih ramai pekerja membuat keputusan memilih kerjaya yang memberikan manfaat kepada keperluan fizikal dan mental mereka dalam jangka panjang," katanya.

Stephen berkata, bagi menangani isu ini, majikan boleh mengambil langkah untuk meningkatkan manfaat kesihatan fizikal dan mental mereka.

"Antaranya menawarkan subsidi untuk keahlian kelab kecergasan, menganjurkan senaman berkumpulan dan perundingan kesihatan oleh pakar kesihatan.

"Untuk kesejahteraan mental pula, majikan boleh menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi membantu pekerja menyelesaikan masalah peribadi atau berkaitan dengan kerja," katanya.

Jelasnya, tip seterusnya adalah memupuk amalan pemakanan yang baik.

Tanggungjawab menjamin kesejahteraan kakitangan tidak harus terletak kepada majikan semata-mata.

"Sebaliknya, pekerja juga seharusnya mempunyai inisiatif sendiri untuk menjaga kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri.

"Namun, kesibukan rutin harian dan kerja boleh menyebabkan mereka cenderung memilih makanan segera yang kurang berkhasiat atau langsung tidak mengambil makanan. Ini boleh menjejaskan kesihatan," katanya.

Stephen berkata, terbukti bahawa amalan pemakanan sihat adalah kunci untuk menambah baik kesejahteraan fizikal dan mental.

PEMAKANAN sihat kunci untuk menambah baik kesejahteraan fizikal dan mental.
PEMAKANAN sihat kunci untuk menambah baik kesejahteraan fizikal dan mental.

"Satu kajian diterbitkan dalam 'Harvard Health Publishing' menunjukkan, individu yang mengambil makan seimbang mempunyai risiko kemurungan yang lebih rendah iaitu 25 hingga 35 peratus.

"Berdasarkan tinjauan Inersia Kesihatan Asia Pasifik 2021, tiga daripada lima rakyat Malaysia berjaya meningkatkan tahap kesihatan fizikal mereka ketika pandemik melalui amalan pemakanan sihat," katanya.

Katanya lagi, tip terakhir ialah lakukan aktiviti yang meningkatkan kesihatan mental dan fizikal.

"Satu kajian mendedahkan bahawa bersenam adalah aktiviti yang dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal.

"Sebanyak 75 peratus rakyat Malaysia mengakui kesejahteraan minda mereka menjadi lebih baik apabila mempunyai lebih banyak masa dan ruang peribadi.

"Lakukan senaman sama ada setiap hari atau beberapa kali seminggu untuk mengurangkan tekanan dan menceriakan diri.

"Perasaan yang ceria turut memberikan kesan positif terhadap produktiviti dan kecekapan di tempat kerja," katanya.

Katanya lagi, memandangkan kerja hibrid akan menjadi budaya pada masa hadapan, maka usaha menambah baik kesejahteraan pekerja di tempat kerja seharusnya diutamakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 6:20 AM