SENTIASA mengekalkan gaya hidup sihat dengan bersenam.
SENTIASA mengekalkan gaya hidup sihat dengan bersenam.
Muhamaad Razis Ismail

 

PANDEMIK yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu mempercepatkan trend bekerja secara hibrid.

Model hibrid yang dipraktikkan mungkin berbeza mengikut keperluan syarikat namun ia tetap mempunyai satu persamaan yang paling ketara iaitu keperluan majikan mengutamakan kesejahteraan sambil berusaha mencipta norma baharu.

Pengarah Urusan Herbalife Nutrition Asia Pasifik dan China, Stephen Conchie berkata, selain dapat membina tenaga kerja yang lebih sihat, usaha mengutamakan kesejahteraan pekerja adalah penting bagi membolehkan syarikat membentuk pasukan yang bermotivasi untuk mengharungi cabaran dan berkembang maju ketika negara berada dalam pasca pandemik.

Katanya, dalam tempoh dua tahun pihaknya, mempelajari mengenai pelbagai inisiatif dan dasar di tempat kerja yang dilaksanakan merentasi pasaran Asia Pasifik untuk menyesuaikan diri dengan susunan kerja hibrid yang mencabar.

Terdapat beberapa tip penting bekerja secara hibrid di samping menjaga hubungan kesejahteraan pekerja berdasarkan pengalaman berdepan dengan pandemik Covid-19:

 

1.Mengutamakan usaha membina komuniti di tempat kerja

Sebuah syarikat bukan satu perniagaan semata-mata. Ia seharusnya berfungsi sebagai sebuah komuniti. Bagaimanapun, ketetapan bekerja hibrid boleh menyukarkan majikan membina budaya kerja yang hebat, memupuk hubungan kerja lebih erat dan membina semangat kekitaan.

Untuk menggalakkan usaha membina komuniti dalam persekitaran kerja hibrid, syarikat boleh mempertimbangkan idea untuk mereka bentuk ruang pejabat sebagai hab kerjasama dan membina ruang komuniti yang kondusif kepada kerjasama pasukan dan rangkaian kasual.

STEPHEN Conchie
STEPHEN Conchie

Pemimpin syarikat dan sumber manusia juga boleh merangka program yang boleh membantu memupuk hubungan dalam pasukan menjadi lebih baik termasuk menganjurkan cabaran bertemakan kecergasan atau kesejahteraan berasaskan pasukan atau aktiviti berkumpulan yang menggalakkan interaksi dan hubungan yang lebih erat.  

Mereka juga boleh menyediakan saluran supaya kakitangan boleh mendapatkan sokongan berkaitan dengan karier dan pembangunan diri.

 

BEKERJA secara hibrib membolehkan pekerja memilih bekerja di pejabat atau rumah.
BEKERJA secara hibrib membolehkan pekerja memilih bekerja di pejabat atau rumah.

2. Sokongan pemakanan dan kesejahteraan lebih baik sebagai sebahagian daripada manfaat kakitangan.

Pandemik ini meningkatkan tumpuan terhadap kesejahteraan kakitangan dan kesihatan fizikal serta mental mereka.

Menurut laporan Qualtrics' 2022 Employee Experience Trends (Trend Pengalaman Kakitangan 2022 Qualtrics), tahap kesejahteraan kakitangan di pusat perniagaan penting di APAC berada pada paras terendah iaitu 65 peratus bagi Singapura dan Hong Kong manakala Malaysia merekodkan sebanyak 71 peratus.

Kini, lebih ramai pekerja membuat keputusan untuk memilih kerjaya yang membawa manfaat kepada keperluan fizikal dan mental mereka dalam jangka masa panjang.

Untuk menangani isu ini, syarikat boleh meningkatkan manfaat kesihatan fizikal dan mental mereka. Antaranya termasuk menyediakan subsidi untuk keahlian kelab kecergasan, menganjurkan senaman berkumpulan, perbincangan kesihatan oleh pakar-pakar luar dan program bantuan kesihatan minda yang menyediakan perkhidmatan kaunseling atas permintaan untuk membantu pekerja menyelesaikan masalah peribadi atau berkaitan kerja.

 

3. Memupuk amalan pemakanan yang baik.

Tanggungjawab menjamin kesejahteraan pekerja tidak harus terletak

di tangan majikan semata-mata. Kakitangan sendiri seharusnya mengambil langkah yang perlu untuk menjaga kesihatan fizikal masing-masing.

Bagaimanapun, dengan tuntutan dan kesibukan kerja, ia tidak menghairankan bahawa ramai akan memilih makanan segera yang kadang kala kurang sihat, atau langsung tidak makan sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

Sudah terbukti bahawa pemakanan yang sihat menjadi kunci untuk menambah baik kesejahteraan fizikal dan mental.

Satu artikel yang diterbitkan Harvard Health Publishing mendapati bahawa risiko mengalami kemurungan adalah 25 peratus hingga 35 peratus lebih rendah dalam kalangan mereka yang mengambil makanan seimbang yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, serat tidak diproses dan protein.

Menurut Tinjauan Inersia Kesihatan Asia Pasifik Herbalife Nutrition 2021, seramai tiga daripada lima rakyat Malaysia yang berjaya meningkatkan tahap kesihatan fizikal mereka ketika pandemik dengan mengambil makanan yang lebih sihat.

Makanan adalah sumber tenaga yang amat diperlukan oleh badan kita. Jadi, kakitangan perlu mengambil makanan seimbang,sama ada mereka bekerja di pejabat atau di rumah.  

Diet dengan pemakanan seimbang dapat memastikan badan kita mendapatkan nutrien, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik. Sekiranya sukar untuk menyediakan atau membeli makanan apabila sibuk bekerja, mereka boleh memilih minuman protein yang akan membekalkan keperluan pemakanan harian.

 

4.Luangkan masa untuk aktiviti yang akan meningkatkan kesihatan fizikal dan mental

Tinjauan Inersia Kesihatan Asia Pasifik Herbalife Nutrition 2021 juga mendapati bahawa rakyat Malaysia bersetuju dengan lebih banyak bersenam dapat meningkatkan kesejahteraan fizikal mereka ketika pandemik.

Di samping itu, 72 peratus daripada rakyat Malaysia mengakui kesejahteraan minda mereka adalah lebih baik kerana mereka mempunyai lebih banyak masa dan ruang peribadi.

Untuk mengekalkan kesejahteraan mental dan fizikal yang berkait rapat dengan satu sama lain, pekerja amat digalakkan untuk meluangkan masa sama ada setiap hari atau beberapa kali seminggu untuk bersenam atau melakukan aktiviti yang mengurangkan tekanan atau menceriakan hati mereka.

Memandangkan kerja hibrid bakal menjadi kelaziman pada masa hadapan, usaha menambah baik kesejahteraan pekerja di tempat kerja seharusnya diutamakan. Ini memerlukan persefahaman antara majikan dan pekerja dalam usaha memenuhi keperluan dan menangani cabaran gaya kerja baharu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 6:14 AM