Zaid Salim


Kuala Nerus: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu mengeluarkan sebanyak 32 kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM26,000 terhadap majikan degil menerusi Ops Kesan di negeri ini, hari ini.

Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin berkata, sebahagian besar majikan yang dikenakan kompaun sudah diberi amaran menerusi proses pemutihan yang berakhir pada Mei lalu.

Menurutnya, kesalahan paling tinggi dikesan membabitkan kegagalan atau lewat mendaftarkan perusahaan.

"Ketika proses pemutihan lalu, kita sudah memberi amaran supaya majikan mendaftar perusahaan, namun mereka tetap berdegil dan kita tidak akan berkompromi dengan majikan selain mengeluarkan kompaun mengikut kesalahan yang dilakukan.

"Kecuaian dan sikap bertangguh serta tidak serius majikan mendaftar pekerja dan perusahaan amat dikesali kerana ia adalah tanggungjawab majikan dalam menjaga kebajikan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Kesan yang dijalankan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar daerah ini.

Menurut Farihah, dalam operasi bermula 8 pagi hingga 2 petang, pihaknya memeriksa sebanyak 87 premis dan mengeluarkan 32 kompaun membabitkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insuran Pekerjaan 2017 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM26,000.

Katanya, tindakan mendaftar perusahaan dan pekerja menjadi tanggungjawab majikan kerana ia boleh memberi perlindungan faedah sekiranya berlaku bencana tidak diingini terhadap perusahaan atau pekerja.

"Kita kesal apabila masih ada majikan yang enggan memberi kerjasama apabila tidak mendaftar sama ada perusahaan atau pekerja dengan Perkeso," katanya.

Kakitangan Perkeso mengeluarkan kompaun dalam pemeriksaan Ops Kesan di sebuah kedai perabut sambil disaksikan Farihah (dua kiri). FOTO ZAID SALIM
Kakitangan Perkeso mengeluarkan kompaun dalam pemeriksaan Ops Kesan di sebuah kedai perabut sambil disaksikan Farihah (dua kiri). FOTO ZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 6:28 PM