SEL stem ialah sel unik berupaya untuk membeza menjadi pelbagai jenis sel, tisu dan organ berfungsi badan manusia.
SEL stem ialah sel unik berupaya untuk membeza menjadi pelbagai jenis sel, tisu dan organ berfungsi badan manusia.

HM Digital

Terapi perubatan regeneratif menggunakan sel stem

Apakah terapi sel stem (perubatan regeneratif) dan bagaimana ia berfungsi?

Terapi sel stem juga dikenali sebagai rawatan regeneratif yang menggalakkan tindak balas pembaikan tisu berpenyakit, tidak berfungsi atau cedera menggunakan sel stem atau terbitannya.

Ia adalah lanjutan dalam pemindahan organ dan menggunakan sel serta bukan organ penderma yang bekalannya terhad.

Sel stem dikultur secara 'in vitro', seterusnya dimanipulasi untuk mengkhususkan kepada jenis sel tertentu seperti sel otot jantung, sel darah atau sel saraf.

Sel khusus yang berfungsi ini, kemudian boleh dipindahkan dalam badan pesakit yang memerlukan.

Contoh, jika individu itu mempunyai penyakit jantung, sel khusus ini boleh disuntik dalam otot jantung.

Sel otot jantung yang sihat dipindahkan, kemudian boleh membantu membaiki kerosakan pada otot jantung.

i- Penjanaan semula tisu

Penjanaan semula tisu mungkin adalah penggunaan sel stem yang paling penting.

Sehingga kini, individu yang memerlukan buah pinggang baharu misalnya, terpaksa menunggu penderma dan kemudian menjalani pemindahan.

Namun, terdapat kekurangan organ penderma, tetapi melalui potensi sel stem untuk membezakan dengan cara tertentu, saintis boleh menggunakannya bagi mengembangkan jenis tisu atau sesuatu organ.

Contoh, doktor menggunakan sel stem daripada bawah permukaan kulit untuk membuat tisu kulit baharu.

Mereka kemudian boleh membaiki luka terbakar yang teruk atau kecederaan lain dengan mencantumkan tisu ini pada kulit rosak dan kulit baharu akan tumbuh semula.

ii- Rawatan penyakit kardiovaskular

Penyelidikan kardiovaskular sebahagian besarnya tertumpu kepada terapi berasaskan sel untuk pembaikan tisu miokardium dengan penekanan khusus pada penggantian dan/atau pemulihan miokardium yang rosak.

Pelbagai jenis sel boleh dipindahkan untuk kegunaannya dalam penjanaan semula jantung termasuk mioblas rangka, sel mononuklear sumsum tulang (BM-MNC), sel stem hematopoietik (HSC), sel progenitor endotelial (EPC), sel stem mesenkima (MSC) dan kardiomiosit (CM) yang berasal daripada sel stem pluripoten diinduksi (PSC).

Pada 2013, satu pasukan penyelidik dari Massachusetts General Hospital melaporkan bahawa mereka sudah mencipta saluran darah dalam tikus makmal menggunakan sel stem manusia.

Dalam tempoh dua minggu selepas menanam sel stem, rangkaian salur darah terbentuk.

Kualiti saluran darah baharu ini adalah sama baiknya dengan saluran semula jadi yang berdekatan.

Penemuan ini menjadi rujukan dan kini, kaedah itu diaplikasikan untuk membantu merawat individu yang mempunyai penyakit kardiovaskular dan vaskula.

PENYELIDIKAN sel stem dan pengkulturan sel stem untuk terapi regeneratif menggunakan fasiliti makmal bersih.
PENYELIDIKAN sel stem dan pengkulturan sel stem untuk terapi regeneratif menggunakan fasiliti makmal bersih.

iii- Rawatan penyakit otak

Kini, saintis berupaya menggunakan sel stem sebagai tisu gantian untuk merawat penyakit otak seperti Parkinson dan Alzheimer.

Contoh, pesakit Parkinson, kerosakan pada sel otak membawa kepada pergerakan otot yang tidak terkawal.

Saintis boleh menggunakan sel stem untuk menambah/membaiki tisu otak yang rosak.

Ini boleh mengembalikan sel otak khusus yang membantu pergerakan semula otot tidak terkawal.

iv- Terapi kekurangan sel

Adalah menjadi satu harapan besar kepada saintis dan doktor untuk dapat menghasilkan sel jantung yang sihat di makmal dan dipindah kepada pesakit jantung.

Sel baharu ini boleh membaiki kerosakan jantung dengan mengisi semula jantung dengan tisu yang sihat.

Begitu juga dengan pesakit kencing manis jenis satu. Mereka boleh menerima sel pankreas untuk menggantikan sel penghasil insulin yang sudah hilang atau dimusnahkan oleh sistem imun mereka sendiri.

Oleh itu, pesakit kencing manis jenis satu tidak perlu rawatan pemindahan pankreas kerana kesukaran mendapat penderma pankreas yang bersesuaian.

v- Rawatan penyakit darah

Kini, doktor secara rutin menggunakan sel stem hematopoietik (HSC) dewasa untuk merawat penyakit seperti leukemia, anemia sel sabit dan masalah kekurangan sel imun yang lain.

Sel stem hematopoietik ini terhasil di sumsum tulang dan boleh menghasilkan semua jenis sel darah, termasuk sel darah merah yang membawa oksigen dan sel darah putih yang melawan penyakit.

Rawatan ini sama seperti rawatan konservatif pemindahan sumsum tulang.

Bezanya, kaedah rawatan terkini membabitkan penuaian/pengekstrakan HSC yang diinduksi dengan suntikan hormon.

Hormon ini menggalakkan penghasilan HSC yang akan dimobilasi dalam salur darah periferi.

HSC ini kemudian dituai menggunakan mesin khas dan kemudian ditransplan semula kepada pesakit selepas menjalani rawtan kemoterapi atau radiasi.

Menderma atau menuai sel stem, orang ramai boleh menderma sel stem sebagai sumber sel alogenik (allogenic) yang dipercayai untuk membantu orang tersayang atau mungkin bagi kegunaan mereka sendiri pada masa hadapan.

PENGHASILAN lapisan tisu oleh penyelidik di CTERM, PPUKM.
PENGHASILAN lapisan tisu oleh penyelidik di CTERM, PPUKM.

Antara sumber sel stem alogenik adalah:

i. Sumsum tulang

Biasanya sel ini diambil daripada tulang pinggul atau pelvis, kemudian sel stem diekstrak atau dituai daripada sumsum tulang untuk disimpan atau didermakan.

ii. Sel stem periferi

Seseorang menerima beberapa suntikan penggalak yang mengaruh atau menggalakkan sumsum tulang mereka menghasilkan lebih banyak bilangan sel stem dalam darah.

Seterusnya, darah dikeluarkan daripada badan, mesin khas digunakan untuk memisahkan sel stem dan doktor memindahkan semula sel stem ini dalam darah pesakit selepas rawatan kemoterapi atau radiasi

iii. Darah tali pusat

Sel stem boleh diekstrak daripada tali pusat selepas bersalin tanpa membahayakan bayi.

Setengah orang menderma darah tali pusat dan yang lain menyimpannya.

Penuaian sel stem ini mungkin mahal, tetapi kelebihan untuk keperluan masa depan adalah penting untuk merawat pelbagai penyakit regeneratif termasuk penyakit barah.

Sumber ini adalah selamat kerana penolakan imun yang sangat rendah.

PROSES rawatan menggunakan terapi sel stem.
PROSES rawatan menggunakan terapi sel stem.

Penyelidikan dan peneuman saintifik

Sel stem berguna bukan sahaja sebagai terapi yang berpotensi, tetapi juga untuk tujuan penyelidikan.

Contoh, saintis mendapati bahawa mengaktif atau nyahaktif gen tertentu boleh menyebabkan ia mempengaruhi ekspresi genetik serta mempengaruhi metabolisma tubuh badan.

Mengetahui perkara ini membantu mereka menyiasat gen dan mutasi yang menyebabkan penyakit.

Berbekalkan pengetahuan ini, mereka mungkin dapat mengkaji secara terperinci mengenai mekanisma biologi badan yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan keadaan yang sesetengahnya belum mempunyai penawar.

Pembahagian dan pembezaan sel yang tidak normal juga bertanggungjawab terhadap perkembangan barah dan kecacatan kongenital yang berpunca daripada kelahiran.

Mengetahui apa yang menyebabkan sel membahagi dan membeza dengan cara salah boleh membawa kepada penemuan penawar atau rawatan yang boleh menghentikan abnormaliti ini, seterusnya merencat perkembangan sel barah ini.

Sel stem juga boleh membantu dalam penemuan ubat baharu.

Daripada menguji dadah ke atas sukarelawan manusia, saintis boleh menilai bagaimana ubat menjejaskan tisu normal dan sihat dengan mengujinya pada tisu yang dibangunkan daripada sel stem

Kontroversi

Terdapat beberapa kontroversi mengenai penyelidikan sel stem terutama berkaitan dengan penyelidikan yang membabitkan sel stem embrio

i. Penggunaan embrio untuk sel stem

Hujah menentang penggunaan sel stem embrio ialah ia memusnahkan sel blastosis manusia dan seterusnya telur yang disenyawakan tidak boleh berkembang menjadi janin serta fetus.

Sekali gus, ia menyebabkan isu kemanusiaan dan agama, yang mana pemusnahan blastosis seperti menghalang perkembangan semula jadi manusia.

Menyedari masalah ini, Institut Kesihatan Kebangsaan mencipta garis panduan untuk penyelidikan sel stem manusia pada 2009.

Garis panduan ini mentakrifkan sel stem embrio dan cara ia boleh digunakan dalam penyelidikan dan termasuk cadangan untuk pendermaan sel stem embrionik.

Juga, garis panduan menyatakan sel stem embrio daripada embrio yang dicipta melalui persenyawaan 'in vitro' boleh digunakan hanya apabila embrio tidak lagi diperlukan.

Selain itu, penyelidikan menggunakan sel stem dewasa dan sel stem pluripoten diinduksi (iPSC) ialah alternatif menggantikan sel stem embrio.

ii- Mencampurkan manusia dan haiwan

Penyelidikan sel stem selalunya membabitkan kajian di peringkat haiwan, yang mana prosedur memindah atau transplan sel stem manusia dalam haiwan seperti tikus, mencit dan sebagainya.

Penyelidikan di peringkat haiwan adalah penting untuk menilai atau menyiasat kesan dan keberkesanan sel/tisu transplan untuk tujuan penyembuhan penyakit tertentu.

Sebilangan individu berpendapat bahawa ini boleh mewujudkan organisma yang sebahagian daripada manusia.

Di setengah negara, adalah haram untuk menghasilkan garisan sel stem embrionik atau mencipta organisma lain bertentangan dengan kepercayaan agama dan lumrah kemanusiaan.

iii- Terapi sel stem dan peraturan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA)

Segelintir individu sudah menawarkan 'terapi sel stem' untuk pelbagai tujuan seperti rawatan antipenuaan.

Bagaimanapun, kebanyakan penggunaan ini tidak mempunyai kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Sesetengah daripada mereka mungkin menyalahi undang-undang dan sebahagiannya berbahaya kepada kesihatan.

Oleh itu, sesiapa yang mempertimbangkan rawatan sel stem perlu menyemak dengan pembekal atau dengan FDA, bahawa produk itu mempunyai kelulusan dan bahawa ia dibuat dengan cara yang memenuhi piawaian FDA untuk keselamatan serta keberkesanan.

Penulis Pensyarah,

Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (CTERM),

Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (FPER, UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 7:00 AM