DARAH tali pusat boleh merawat hampir 80 jenis penyakit.
DARAH tali pusat boleh merawat hampir 80 jenis penyakit.
Siti Zarinah Sahib

Secara tradisi tali pusat yang tanggal (daripada pusat bayi) selepas beberapa hari bayi dilahirkan biasanya dibasuh dan disimpan bersama tali pusat anak yang lain. Ia jarang dibuang kerana dikatakan menjadi pengikat persaudaraan adik-beradik.

Dari sudut perubatan pula tiada siapa mengetahui keistimewaan darah dari tali pusat dan keupayaan merawat hampir 80 jenis penyakit sehinggalah saintis dan penyelidik menjalankan kajian mengenainya. Mereka mendapati darah tali pusat mengandungi banyak sel dan satu daripadanya adalah sel stem. Lebih mengukuhkan kajian pada 1988, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit Fanconi Anemia.

Sel stem adalah sel induk badan kerana ia mempunyai kebolehan unik untuk replikasi dan mengkhusus menjadi sel jenis lain di dalam badan. Darah tali pusat adalah sumber yang kaya dengan sel stem hematopoetik ( HSC) yang bertanggungjawab menjana semula darah dan sel sistem imun dalam badan.

Di Malaysia, sejarah tercatat pada 1997 apabila Hospital Universiti yang kini Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melakukan pemindahan sel stem tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major. Sel stem berkenaan didermakan adiknya yang baru dilahirkan.

Oleh kerana berpotensi menyelamatkan nyawa atau memanjangkan jangka hayat seseorang, pada 2002 Pusat Darah Negara menubuhkan Bank Darah Tali Pusat yang menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan awam manakala StemLife Bhd iaitu bank darah swasta turut menawarkan perkhidmatan yang sama dengan memberi tumpuan kepada teknologi sel stem bagi membolehkan penjagaan hematalogi secara berkualiti dengan kos mampu milik.

Menurut Timbalan Pengarah Teknikal Cordlife Group Dr Daniel Lim Say Liang, proses pengumpulan darah tali pusat hanya mengambil masa kira-kira lima minit dan tidak mengubah proses kelahiran dalam apa jua cara. Selepas ibu melahirkan anak sama ada secara normal atau melalui pemedahan, sel stem yang berada dalam tali pusat akan dikumpulkan untuk diproses dan disimpan di makmal. Sekiranya komplikasi timbul semasa kelahiran, keutamaan diberikan kepada penjagaan ibu dan bayi sebelum mengumpul darah tali pusat.

Bagi setiap darah, jumlah purata kutipan adalah kira-kira 500 juta hingga 800 juta sel. Bagaimanapun, jumlah ini berbeza-beza bergantung kepada faktor darah yang dikumpul, tempoh matang bayi, saiz dan panjang tali pusat.

Tambahnya lagi, menyimpan darah tali pusat untuk semua anak memberikan lebih banyak pilihan kepada keluarga. Ini kerana setiap anak mempunyai sel yang unik untuk dirinya sendiri. Walaupun anak anda mungkin menggunakan sel stem sendiri untuk beberapa penyakit, ia tidaklah begitu bagi kes penyakit keturunan. Dalam keadaan begini, sel stem adik-beradik yang sepadan akan digunakan.

“Untuk tujuan perubatan yang menggunakan darah tali pusat, ujian klinikal biasanya memerlukan sel stem anak itu sendiri. Sel stem untuk kembar seiras juga akan disimpan secara berasingan kerana amat sukar untuk menentukan sama ada anak kembar memang seiras tanpa menjalankan ujian DNA. Kebarangkalian untuk mendapatkan darah tali pusat yang sepadan daripada ahli keluarga adalah lebih 60 peratus berbanding sumsum tulang,” katanya.

Semua aktiviti pemprosesan dan ujian yang dilakukan StemLife di dalam keadaan terkawal dan mengikut piawaian pemprosesan tempatan dan antarabangsa. Ia beroperasi 365 hari setahun bagi tujuan pemprosesan dan penyimpanan sel stem bayi yang sangat bernilai.

Pada masa ini, StemLife mempunyai rangkaian dengan lebih 400 doktor yang mengumpul darah tali pusat untuk pelanggan. Ia merangkumi lebih 150 hospital dan pusat bersalin di seluruh Malaysia dan di beberapa negara Asia.

Untuk itu StemLife menyediakan latihan kepada doktor yang mengumpul darah tali pusat bagi kali pertama bagi memastikan prosedur pengumpulan yang betul dipatuhi sepenuhnya. Di samping menyediakan pendidikan yang berterusan kepada komuniti perubatan mengenai topik berkaitan sel stem.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) StemLife Berhad Yap Eng Gee, walaupun terdapat peningkatan dalam kesedaran mengenai manfaat penyimpanan darah tali pusat dan saraf bayi secara umum, pihaknya akan terus menambah pelaburan dalam aktiviti pendidikan dan promosi seperti bengkel pranatal bersama rakan kongsi hospital menerusi bengkel, seminar dan forum berkaitan.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai faedah penyimpanan darah tali pusat yang penting untuk merawat penyakit berkaitan darah dan keadaan perubatan lain yang tidak diketahui oleh ramai ibu bapa,” kata Yap.

Sebagai bukti kepada tahap kualiti yang ditunjukkan, StemLife Berhad baru-baru ini menerima anugerah daripada Frost & Sullivan sebagai Syarikat Perbankan Sel Stem Berprestij 2017.

“Walaupun berada dalam tahun yang sangat mencabar, StemLife menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik pada 2016. Ia memberikan tumpuan yang kukuh kepada menyediakan kualiti tertinggi, standard dan perkhidmatan kepada pelanggan. Ini ditunjukkan menerusi penggunaan teknologi terkini dan kerjasama berterusan dengan doktor dan hospital serta usaha penyelidikan terhadap permohonan sel stem,” kata Pengarah Bersekutu Transformasi Kesihatan, Frost & Sullivan, Geeta Dhanoa.

Dalam tempoh 15 tahun ini, lebih 60,000 saraf sel stem darah berjaya disimpan dengan 15 kejayaan direkodkan melalui pemindahan darah tali pusat membabitkan rawatan untuk thalasemia, palsi serebrum, kecederaan otak dan leukemia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 12:35 PM