BATU karang pada buah pinggang.
BATU karang pada buah pinggang.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


'MINUM banyak air, nanti tidak menderita penyakit batu karang'.

Itu antara nasihat yang sering diberikan ibu bapa kepada anak sebagai galakan untuk mengambil air minuman mencukupi.

Selain itu, ia dapat memastikan anak sihat, tubuh kekal hidrat dan fungsi badan tidak terganggu.

Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, memang benar minum air masak secukupnya dapat mencegah daripada penyakit batu karang sama ada pada buang pinggang atau pundi kencing.

Menurut Dr Zubaidi, ia dapat mengelak terjadi mendapan mineral pada buah pinggang yang disingkirkan menerusi air kencing.

"Pembentukan batu karang dalam buah pinggang sebenarnya bermula pada organ berkenaan disebabkan mendapan mineral.

"Selalunya, batu ini akan membesar yang akhirnya pecah dan ke saluran kencing," katanya.

Dr Zubaidi berkata, ramai tidak mengetahui yang mereka mempunyai masalah batu karang pada buah pinggang disebabkan saiz batu itu agak kecil.

"Apabila batu ini bergerak dan jatuh ke dalam pundi kencing, ia membuatkan seseorang berasa sakit.

"Atau apabila batu karang ini bergerak hingga ke pundi kencing, ia menyebabkan keradangan pada pundi berkenaan atau pendarahan semasa membuang air kecil," katanya.

Menurut Dr Zubaidi, apabila pesakit menjalani ujian imbas sinar-X, mereka dapati saiz batu karang itu sudah terlalu besar.

"Ada kalanya, apabila batu karang ini tidak dapat dikeluarkan dengan cara biasa, pembedahan terpaksa dilakukan.

"Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, kesakitan dirasai boleh menjangkau sehingga ke kerandut zakar.

"Malah tahap kesakitan dialaminya boleh mendorong pesakit datang ke klinik bagi mendapatkan suntikan untuk mengurangkan kesakitan ditanggung," katanya.

Namun, katanya, suntikan itu hanya bersifat sementara dan kesakitan akan berulang selagi batu itu tidak dikeluarkan.

Menurut Dr Zubaidi, walaupun saiz batu karang pada buah pinggang ini kecil, sekiranya pesakit mengalami gejala seperti kesakitan di bahagian abdomen, pengeluaran air kencing semakin sedikit dan disusuli demam, ia menunjukkan berlaku jangkitan kuman.

"Satu perkara perlu difahami pesakit bahawa ada kalanya batu karang pada buah pinggang tidak boleh dikesan walaupun menggunakan imbas sinar-X.

BATU karang boleh menyebabkan kesakitan teruk di belakang pinggang.
BATU karang boleh menyebabkan kesakitan teruk di belakang pinggang.

"Oleh itu, mereka perlu melakukan pemeriksaan lanjut secepat mungkin," katanya.

Menurut Dr Zubaidi, kewujudan batu karang pada buah pinggang bergantung kepada jenis batunya.

"Lazimnya, batu yang boleh dilihat dalam imbas sinar-X ialah kalsium oksalat.

"Punca

terbentuknya batu ini berkemungkinan kerana pesakit mengambil terlalu banyak kalsium.

"Masyarakat dinasihati supaya tidak keterlaluan mengambil kalsium kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan," katanya.

Dr Zubaidi berkata, punca kedua ialah asid urik disebabkan pengambilan makanan tinggi protein seperti daging, kekacang dan makanan laut.

"Batu karang jenis struvit pula lazimnya adalah kerana jangkitan kuman.

"Individu yang mempunyai sejarah batu karang walaupun sudah 10 tahun berlalu, ia berisiko berulang. Oleh itu, mereka perlu mengubah gaya hidup dan corak pemakanan," katanya.

Katanya, selain air masak, pesakit boleh mengamalkan minuman jus lemon dan delima.

"Jus ini mengandungi asid sitrik yang membantu memecahkan batu barang kecil dalam buah pinggang dan ia dapat disingkirkan menerusi air kencing.

"Pastikan air kencing tidak berwarna kuning, pekat dan berbau hancing kerana ini adalah tanda dihidrasi, bahkan sangat berbahaya jika berlaku pembentukan batu karang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:30 AM