X-RAY mendapati batu karang dalam pundi kencing kucing. - FOTO Google
X-RAY mendapati batu karang dalam pundi kencing kucing. - FOTO Google
PEMERIKSAAN ultrasound dilakukan kepada kucing. - FOTO Google
PEMERIKSAAN ultrasound dilakukan kepada kucing. - FOTO Google
BATU karang kucing. - FOTO Google
BATU karang kucing. - FOTO Google
KETIDAKSEIMBANGAN nutrien dalam badan kucing menyebabkan terbentuk kristal kecil dalam pundi kencing. - FOTO Google
KETIDAKSEIMBANGAN nutrien dalam badan kucing menyebabkan terbentuk kristal kecil dalam pundi kencing. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


JIKA anda mempunyai kucing sebagai haiwan kesayangan pastinya ingin melihat haiwan itu membesar dengan baik. Isu kesihatan kucing juga perlu diambil tahu.

Sebenarnya antara penyakit yang sering dialami kucing tanpa disedari adalah keberadaan batu karang yang boleh menyebabkan kesihatan haiwan kesayangan itu terganggu.

Pengasas Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim berkata, batu karang kebiasaannya terdiri daripada dua jenis iaitu calcium oxalate dan sturvite.

Jelasnya, batu karang adalah sejenis ketulan mineral yang terhasil daripada ketidakseimbangan nutrien dalam badan kucing yang menyebabkan terbentuk kristal kecil dalam pundi kencing haiwan itu.

"Batu karang ini jika dilihat di bawah mikroskop ia mempunyai permukaan yang tajam. Hal ini menyebabkan kucing yang menghidapinya berada dalam kesakitan dan boleh menyebabkan kencing berdarah," katanya.

Dr Muhammad Naim menjelaskan ada beberapa punca berlaku batu karang kepada kucing antaranya:

a) Pemakanan

Pemakanan kucing amat penting dalam menjamin kesihatan menyeluruh kucing kita. Pemakanan yang tidak tepat boleh menyumbang kepada faktor terbentuk batu karang.

Antara sebabnya sesetengah formulasi makanan boleh menyebabkan air kencing yang dihasilkan terlalu asid atau terlalu alkali hal ini menyumbang kepada pembentukan ketulan batu karang.

b) Gaya hidup kucing

Gaya hidup adalah faktor terbesar menyumbang kepada masalah ini. Antara gaya hidup yang perlu kita pantau sentiasa bagi mengurangkan risiko batu karang adalah kekerapan kucing anda minum air dan kebersihan pasir buangan kucing.

Hal ini kerana tabiat hakiki kucing adalah hanya memilih untuk minum air yang bersih dan mengalir. Selain itu, kucing juga lebih kerap menahan kencing jika pasir buangan tidak bersih.

c) Tekanan emosi

Emosi kucing juga boleh mengalami tekanan. Antara tekanan yang sering berlaku pada kucing adalah pertukaran persekitaran baru (berpindah dan mengambil kucing baru).

Apabila kucing tertekan, haiwan itu dilihat kerap menyendiri dan kurang membuang air kecil. Hal ini menyebabkan risiko batu karang terbentuk adalah lebih tinggi.

Kata Dr Muhammad Naim, kebiasaan simptom yang dilihat bermula dengan pemilik kucing mula perasaan kucing mereka kerap pergi membuang air, tetapi kucing tidak dapat mengeluarkan air kencing.

"Kadangkala diikuti dengan kencing sedikit, tetapi berdarah. Jika dibiarkan kucing akan mula tidak makan, minum dan murung. Jika dibiarkan keadaan ini lama atau berterusan, haiwan berkenaan mungkin boleh mati.

"Selain dari simptom ini ada juga kucing yang akan 'mengeow' kesakitan yang sangat kuat ketika meneran untuk membuang air kecil," katanya.

Dr Naim berkata, apabila dibawa ke klinik kebiasaannya doktor veterinar akan dapat merasa pundi kencing yang besar dan keras.

"Boleh berlaku dua situasi untuk batu karang iaitu 'obstructive' atau 'non-obstructive'. Obstructive berlaku apabila air kencing tidak dapat langsung ditekan keluar dan memerlukan bantuan tiub kencing untuk mengeluarkan air kencing.

"Non-obstructive berlaku apabila doktor veterina berjaya mengeluarkan kencing tanpa bantuan tiub kencing," katanya.

Tambahnya, rawatan paling awal yang selalu dilakukan doktor veterinar adalah memastikan keadaan keseluruhan haiwan itu ketika dibawa ke klinik berada tahap kritikal atau tidak.

"Ia dilakukan dengan mengambil ujian darah. Melalui ujian darah doktor veterinar mampu mengesan keadaan kesihatan buah pinggang kucing anda dan menyusun rawatan serta ubat-ubatan yang sesuai untuk kucing.

"Sampel air kencing juga akan diambil bagi mengenal pasti jenis batu karang yang dihidapi kucing anda," katanya.

Jelasnya lagi, doktor veterinar akan meletakkan 'intravenous fluids' untuk kucing anda. Sekali lagi ujian darah mampu memberi indikasi jenis air yang boleh dipilih untuk memberi peluang yang lebih baik bagi haiwan itu keluar dari fasa kritikal.

"Selain itu, tiub kencing akan dimasukkan bagi membenarkan air kencing dikeluarkan dari pundi kencing dan membenarkan doktor untuk melakukan 'bladder flush' bagi situasi yang memerlukan.

"Tiub kencing ini sering dimasukkan dengan menggunakan bantuan ultrasound bagi memudahkan kemasukan tiub dan mengenal pasti bahagian yang tersumbat di salur kencing," katanya.

Katanya, kebiasaannya tiub kencing akan dibiarkan pada kucing untuk tempoh tiga hingga lima hari bergantung kepada keadaan warna air kencing.

"Sepanjang tempoh rawatan, kucing diberikan ubat-ubatan seperti jika perlu antibiotik, ubat tahan sakit, ubat mengurangkan keradangan dan makanan tambahan untuk pundi kencing.

"Akhir sekali doktor juga akan menyarankan anda untuk menukar makanan kucing kepada makan yang khusus bagi membantu mengurangkan pembentukan batu karang," katanya.

Katanya, langkah utama yang boleh diambil bagi mengekang masalah ini adalah pengurangan stres kepada kucing dengan menambah bekas najis.

"Ia boleh mengurangkan kejadian kucing anda menahan kencing untuk masa yang lama. Seterusnya tidak memelihara kucing yang banyak dalam satu-satu tempat.

"Hal ini boleh menyebabkan tekanan kepada kucing apabila ada kucing yang lebih dominan berbanding kucing lain dan mencetuskan pergaduhan yang kerap antara haiwan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 7:00 AM