SEGERA jumpa doktor jika mengalami gejala awal masalah prostat.
SEGERA jumpa doktor jika mengalami gejala awal masalah prostat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PENYAKIT prostat dikaitkan sebagai penyakit warga emas kerana banyak dihidapi lelaki berusia 80 tahun ke atas.

Namun, trend itu kini berubah apabila ia semakin banyak dihidapi lelaki lebih muda seawal usia 55 tahun.

Tanpa sedar, mereka sudah lama menghidap penyakit itu kerana kelenjar prostat membengkak secara senyap sejak 10 hingga 20 tahun lalu.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, kelenjar prostat adalah organ sebesar biji kacang yang berada di bawah pundi kencing dan di tengah-tengahnya ada saluran kencing uretra.

"Fungsi prostat ialah mengeluarkan cecair seminal yang menjadi air mani apabila bercampur dengan sperma dihasilkan testis.

"Tanpa kelenjar ini, kemungkinan air mani tidak dapat dikeluarkan semasa mengadakan hubungan intim bersama isteri," katanya.

Menurutnya, ada dua masalah berkaitan penyakit prostat iaitu 'Benign Prostatic Hyperplasia (BPH)' iaitu bengkak prostat yang tidak berbahaya dan barah prostat.

"BPH terjadi kerana kalenjar prostat membesar disebabkan hormon testosteron tidak seimbang.

"Lazimnya penyakit ini dihidapi lelaki berusia 80 tahun ke atas dan mereka mempunyai 70 peratus risiko untuk menghidap penyakit berkenaan.

"BPH tidak berbahaya, tetapi boleh membuatkan pesakit berasa kurang selesa terutama apabila kencing," katanya.

KENCING tidak lawas antara gejala masalah prostat.
KENCING tidak lawas antara gejala masalah prostat.

Beliau berkata, ini kerana pesakit akan kerap kencing pada waktu malam dan sukar membuang air kecil kerana saluran air kencing terhalang serta tidak puas selepas habis kencing.

Dr Zubaidi berkata, barah prostat pula ialah ketumbuhan berbahaya yang bermula dari dalam kelenjar prostat.

"Penyakit ini paling kerap terjadi dalam kalangan lelaki dan ia tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal menghidapnya.

"Statistik 'Malaysia National Cancer Registry Report' 2012 hingga 2016 (MNCRR) menunjukkan, barah prostat adalah ketiga tertinggi dihidapi lelaki iaitu 8,873 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki," katanya.

Kajian menunjukkan, secara puratanya, insiden barah prostat meningkat dua peratus apabila umur meningkat setiap tahun dalam kalangan pesakit berusia 55 tahun ke atas.

Kajian lain pula mendedahkan risiko barah prostat dalam kalangan lelaki remaja dan dewasa meningkat di kebanyakan negara.

Ini disebabkan faktor obesiti, tidak aktif, jangkitan HPV, pendedahan bahan karsinogen (bahan mencetuskan barah).

Beliau berkata, mereka yang mempunyai gejala prostat dinasihati supaya membuat pemeriksaan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

"Antara ujian saringan yang dilakukan ialah menerusi ujian ultra bunyi melalui dubur untuk melihat kelenjar prostat dan semua tisu di keliling organ berkenaan.

"Kebanyakan kelenjar prostat pesakit sudah lama membengkak, tetapi belum mencetuskan sebarang kesakitan," katanya.

PERBEZAAN prostat normal dan bengkak.
PERBEZAAN prostat normal dan bengkak.

Tip untuk pesakit prostat BPH:

i. Kerap ke tandas untuk mengeluarkan semua air kencing bagi mengelakkan jangkitan kuman

ii. Jangan meneran ketika kencing kerana akan menghalang pengeluaran air kencing

iii. Bila di tandas, biarkan air kencing keluar tanpa dipaksa

iv. Elak mengambil sebarang ubat-ubatan tanpa nasihat doktor

v. Elak minum kopi dan alkohol

vi. Banyakkan beriadah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:45 AM