PENGGUNAAN beg stoma selepas pundi kencing dibuang akibat rosak teruk.
PENGGUNAAN beg stoma selepas pundi kencing dibuang akibat rosak teruk.
KANSER yang tumbuh pada pundi kencing seperti bunga kobis.
KANSER yang tumbuh pada pundi kencing seperti bunga kobis.
PEMBEDAHAN memotong kanser pada pundi kencing.
PEMBEDAHAN memotong kanser pada pundi kencing.
Oleh Zaitie Satibi

Kita jarang menganggap membuang air kecil sebagai nikmat yang besar. Terasa lega apabila dapat membuang air kecil, tambah lagi selepas menahan rasa terkucil. Namun, apabila pundi kencing terjejas akibat diserang penyakit dan kita tidak dapat membuang air kecil dengan lancar, bagaimana rasanya?

Pundi kencing adalah otot lopong dan mengembang seperti belon apabila terisi air kencing yang dihasilkan oleh ginjal. Organ ini menyimpan air kencing dalam kapasiti sebanyak 500 mililiter (ml) sebelum disingkir dari tubuh.

Dinding pundi kencing membabitkan empat lapis iaitu mucosa yang juga lapisan pertama dari dalam, diikuti submucosa, muscularis propria dan lemak perivesical yang berada di lapisan luar.

Penyakit berkaitan pundi kencing seperti batu karang, pundi kencing lemah dan lebih serius ialah kanser pundi kencing. Kanser ini bermula dari dalam pundi kencing, penghasilan dan pembesaran sel kanser tidak dapat dikawal dan sel tidak normal boleh merebak.

Kanser pundi kencing dibahagikan mengikut jenis sel dan jenis paling biasa iaitu kira-kira 90 peratus kanser pundi kencing ditemui adalah karsinoma sel peralihan (TCC) pada lapisan teratas pundi berkenaan.

Kira-kira lima peratus kanser pundi kencing adalah jenis karsinoma sel skuama yang terjadi akibat jangkitan cacing parasit Schistosomiasis (Bilharzia) yang biasanya dikesan di Mesir.

Dua peratus lagi adalah kanser pundi kencing jenis adenokarsinoma iaitu daripada sel pundi kencing yang mengeluarkan lendir, manakala dua peratus lagi daripada sel lain.

Perunding Pakar Urologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Badrulhisham Bahadzor berkata, tanda awal seseorang menghidap kanser pundi kencing boleh dilihat apabila wujud perubahan kepada sifat kencing, kencing berdarah atau bercampur dengan darah beku, lebih kerap kencing, tergesa-gesa, tidak puas dan pedih ketika kencing.

Apabila kanser membesar, tanda lain yang boleh dialami seseorang yang menghidap kanser ini seperti ketulan di bahagian bawah abdomen, kesakitan dalam tulang, sakit di kawasan pelvis atau dubur, kurang darah, letih dan hilang berat badan.

“Kencing berdarah adalah gejala paling kerap berlaku dan selalunya tidak menimbulkan kesakitan. Pendarahan dalam air kencing boleh dilihat dengan mata kasar apabila wujud ketulan darah dalam air kencing, tetapi ada juga pendarahan yang hanya boleh dikesan melalui mikroskop.

“Bagaimanapun, tanda berkenaan boleh jadi adalah gejala kepada penyakit lain berkaitan pundi kencing kerana wujud pelbagai sebab lain yang menyebabkan kehadiran darah dalam pundi kencing. Seseorang itu perlu mendapatkan pemeriksaan doktor selepas mendapat satu atau lebih gejala terbabit,” katanya.

Kata Dr Badrulhisham, kanser pundi kencing lazimnya dihidapi oleh mereka yang berusia lebih 40 tahun dan paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Statistik jenis kanser paling banyak dihidapi penduduk negara ini pula menunjukkan kanser pundi kencing berada di tangga ke-13 membabitkan lelaki dan wanita.

Tidak jelas bagaimana terjadinya kanser pada pundi kencing tetapi beberapa faktor diketahui meningkatkan risiko mendapat kanser pundi kencing. Kajian sangat rapat mengaitkan kanser pundi kencing dengan tabiat merokok, termasuk menghisap curut dan tembakau, dedahan kepada radiasi dan bahan kimia.

“Merokok adalah faktor risiko paling penting mendapat kanser pundi kencing. Seorang perokok mempunyai risiko empat kali ganda mendapat kanser pundi kencing berbanding individu tidak merokok. Malah, merokok dikesan sebagai punca kira-kira separuh daripada pesakit kanser pundi kencing dalam kalangan lelaki dan wanita.

“Ketika merokok, kandungan dalam rokok iaitu karsinogen yang juga bahan kimia penyebab kanser masuk ke dalam paru-paru dan diserap ke dalam darah.

“Kemudian, karsinogen dalam darah itu ditapis di buah pinggang sebelum tertumpu ke dalam air kencing. Bahan kimia itu dalam air kencing berupaya memusnahkan sel pada lapisan pundi kencing dan meningkatkan peluang untuk kanser tumbuh.

“Bahan kimia industri tertentu juga dikaitkan dengan kanser pundi kencing apabila bahan kimia dikenali sebagai aromatic amines seperti benzidine dan beta-naphthylamine yang digunakan dalam pembuatan pewarna (dye) boleh menyebabkan kanser.

“Ini termasuk pendedahan kepada beberapa bahan kimia tertentu di tempat kerja, contohnya bahan digunakan dalam cat, percetakan, getah dan tekstil.

“Kandungan arsenik dalam air minuman dan bahan cyclophosphamide (cytoxan) dalam ubatan kemoterapi dan terapi radiasi bagi rawatan kanser lain seperti kanser usus, prostat dan serviks juga menjejaskan pundi kencing dan meningkatkan risiko mendapat kanser organ berkenaan. Kanser pundi kencing mungkin mula membentuk beberapa tahun selepas terdedahnya kepada bahan kimia itu,” katanya.

Dr Badrulhisham berkata, penyakit radang pundi kencing kronik akibat jangkitan kronik di pundi kencing, batu karang di pundi kencing dan penggunaan tiub kateter yang berpanjangan selama bertahun-tahun serta jangkitan cacing parasit Schistosomiasis juga dikaitkan dengan risiko peningkatan kanser pundi kencing.

Ada pelbagai cara untuk menjalankan diagnosis bagi kanser pundi kencing. Selain pemeriksaan air kencing, turut dilakukan ialah pemeriksaan bunyi ultra bagi mengesan ketumbuhan pada pundi kencing. Bunyi ultra menggunakan gelombang bunyi untuk mendapat­kan gambaran dalam tubuh apabila ia membantu menunjukkan saiz kanser dan jika ketumbuhan itu merebak.

Pemeriksaan sistoskopi juga boleh dilakukan dengan memasukkan tiub kecil yang mempu­nyai kanta dan pencahayaan gentian optik ke dalam saluran kencing dan terus ke pundi kencing bagi membolehkan doktor melihat dengan lebih jelas kawasan, bilangan dan saiz ketumbuhan. Doktor kemudian merancang rawatan sewajarnya selepas memperoleh keputusan ujian berkenaan.

“Selepas diagnosis dijalankan, pesakit menjalani pembedahan secara endoskopi iaitu Trans Urethral Resection of Bladder Tumour (TURBT) bertujuan mengeluarkan kesemua ketumbuhan dari lapisan paling dalam dengan cara kikisan menggunakan aliran elektrik.

“Selepas mengeluarkan ketumbuhan terbabit, doktor menghantar sampel ke makmal patologi dan pakar patotologi membuat ujian bagi menilai kedalaman ketumbuhan terbabit dan menentukan tahap kanser pesakit.

“Bentuk rawatan ditentu berdasarkan laporan histologi kedalaman akar kanser itu sama ada pendek (tidak invasif) yang ditanda dengan simbol Ta dan T1 atau panjang (invasif) yang ditanda T2, T3 atau T4.

“Jika kanser pada peringkat lapisan awal, rawatan secara TURBT adalah memadai. Bagi pesakit yang kansernya dikesan tidak invasif dan tahap gred pula rendah, TURBT dilakukan sekali lagi untuk mengeluarkan semua ketumbuhan dengan lengkap. Namun, sifat kanser ini macam lalang yang boleh tumbuh semula selepas ditebas atau diracun.

“Oleh itu, pesakit perlu disaring secara pemeriksaan sistoskopi untuk tiga hingga enam bulan selama lima tahun untuk memastikan tiada lagi akar kerana lebih 50 peratus peluang untuk kanser pundi kencing tumbuh semula.

“Bagi mengurangkan kemungkinan kanser tumbuh semula, ubat Mitomycin C dimasukkan ke dalam pundi kencing selepas TURBT dan ditahan selama sejam sebelum dialirkan keluar,” katanya.

Pembedahan TURBT juga dijalankan bagi kanser tidak invasif tetapi bergred tinggi sebelum vaksin batuk kering, Bacillus Calmette-Guerin (BCG) dimasukkan ke dalam pundi kencing sekali setiap minggu selama enam minggu, kemudian sekali setiap minggu selama tiga minggu dan di ulang setiap enam bulan sehingga tiga tahun. Ini bertujuan mengurangkan kebarangkalian tumbuh semula kerana jika kanser tumbuh semula, ia lebih agresif.

Jika kanser pundi kencing pada peringkat invasif, sama ada gred rendah atau tinggi, pembedahan membuang keseluruhan pundi kencing, termasuk prostat bagi pesakit lelaki (radical cystoprostatectomy) dan rahim (radical cystectomy) bagi pesakit perempuan perlu dilakukan. Kadangkala rawatan dengan kemoterapi ditambah sebelum menjalani pembedahan.

“Pesakit yang berjaya dalam pembedahan mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sehingga 50 hingga 60 peratus. Namun, pembedahan sebegini juga ada komplikasinya seperti risiko kematian ketika prosedur dijalankan tetapi hanya dua hingga tiga peratus, pendarahan, jangkitan kuman, usus lambat berfungsi (ileus) dan mati pucuk.

“Apapun, pesakit masih mempunyai pilihan rawatan lain disebabkan tidak sesuai menjalani pembedahan kerana faktor umur atau menghidap penyakit lain atau jangkaan pembedahan tidak akan berjaya. Rawatan radioterapi dan ubatan kemoterapi boleh dilakukan dengan kadar kelangsungan hidup lima tahun antara 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus pesakit yang membuang pundi kencing memakai beg stoma untuk menyingkirkan air kencing menerusi pembedahan kecil membuat satu bukaan di sebahagian daripada usus atau saluran kencing di bahagian permukaan atas perut sebagai saluran keluar untuk bahan kumuh.

“Selebihnya pula memilih alternatif membuat pundi kencing baru (orthotopic neobladder) daripada sebahagian usus kecil yang diolah membentuk kantung, yang kemudian disambung kepada saluran kencing sebelum diletakkan di tempat asal pundi kencing yang dibuang.

“Bagaimanapun, pundi kencing baru ini tidak memberi pesakit keinginan atau gesaan membuang air kecil apabila ia penuh dengan air kencing, menyebabkan mereka perlu membuang air kecil setiap dua hingga tiga jam. Malah, disebabkan pundi kencing baru ini juga tiada otot yang mengecut bagi mengeluarkan semua air kencing, pesakit perlu menekan perut untuk menyingkir air kencing.

“Bukan semua pesakit kanser pundi kencing yang membuang organ terbabit boleh menjalani prosedur ini kerana pembedahannya lebih rumit dan memerlukan kerjasama pesakit itu sendiri berikutan pundi kencing baru perlukan penjagaan rapi bagi mengelak timbul masalah lain seperti jangkitan, kebocoran atau tersumbat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 10:44 AM