KUNJUNGI doktor gigi setiap enam bulan sekali.
KUNJUNGI doktor gigi setiap enam bulan sekali.
Siti Zarinah Sahib


RAMAI ibu bapa bimbang apabila melihat gigi si kecil mulai kehi taman dan rapuh pada usia yang masih terlalu muda iaitu di sekitar tiga hingga lima tahun.

Selain tidak mengamalkan tabiat menggosok gigi seawal usia gigi pertama tumbuh, tabiat tidur dengan botol susu masih di mulut menyebabkan risiko kerosakan gigi atau istilah karies rampan menjadi lebih serius.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Doktor Pergigian, Klinik Pergigian Irma Ariandi, Dr Irma Shida Abu Samah, ‘ketidakrajinan ibu bapa’ apabila tidak mengambil botol susu yang sudah habis diminum si kecil ketika mereka sedang tidur menyebabkan lama-kelamaan gigi bertukar kehitaman terutama pada bahagian atas.

Perkara ini berlaku tanpa disedari ibu bapa. Ramai ibu bapa menganggap ia normal tetapi mereka tidak tahu botol susu berisiko memunculkan karies rampan iaitu gigi hadapan dan atas berlubang serta menjadi hitam.

“Hal ini berlaku kerana susu mengandungi gula, jadi apabila ia disimpan lama di dalam mulut dan anak-anak ini tidur dalam tempoh yang panjang menyebabkan aliran air liur berkurang. Ini menyebabkan nilai PH di dalam mulut berasid. Apabila ini berlaku, enamel gigi anak-anak menjadi rapuh dan bakteria senang menyerang menyebabkan gigi berlubang, hitam, mereput dan akhirnya patah,” katanya.

Tambahnya lagi disebabkan gigi bayi tumbuh seawal usia enam bulan dan sering dimulai dengan gigi bawah hadapan, jadi gigi yang biasa bermasalah adalah gigi bawah diikuti pada bahagian atas.

Jadi adalah amat penting menjaga kesihatan oral bayi dan kanak-kanak walaupun ketika mereka masih belum tumbuh gigi. Ibu bapa digalakkan membersihkan gusi bayi setiap hari dengan kain lembut bagi membersihkan plak.

GOSOK gigi bayi apabila gigi pertamanya sudah tumbuh.
GOSOK gigi bayi apabila gigi pertamanya sudah tumbuh.

“Apabila gigi pertama mulai tumbuh, ibu bapa haruslah membersihkan gigi bayi dengan kain lembut atau berus gigi bayi yang lembut, tanpa ubat gigi atau dengan ubat gigi tanpa florida. Latihan ini sangat penting supaya mereka terbiasa menggunakan berus gigi,” katanya.

Sebagai golongan yang arif dalam hal pergigian, jelas Dr Irma adalah sangat jarang ibu bapa mahu membawa anak ke klinik gigi secara konsisten enam bulan sekali. Ia hanya berlaku apabila si kecil mulai mengadu sakit gigi selain permulaan pertama mereka menjejakkan kaki ke klinik dan terhenti setakat itu.

“Saya sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak bertemu doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh dan sepatutnya sudah mempunyai jadual pemeriksaan gigi enam bulan sekali terutama apabila kanak-kanak sudah mula pandai berinteraksi. Bawa kanak-kanak ke klinik gigi hanya untuk berkenalan dahulu dengan doktor gigi dan bagi membiasakan mereka dengan keadaan bilik rawatan,” jelasnya.

Elakkan puting kosong

Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.

“Jadi saya mencadangkan supaya ibu bapa tidak memberikan puting kosong kepada bayi mereka seawal usia. Jika ia tidak dapat dielakkan, berikan hanya sebagai sementara sahaja bukannya secara berterusan sehingga mereka berusia tiga hingga lima tahun. Dikhuatiri ia penyebab pertumbuhan gigi yang tidak teratur atau jongang dan masalah yang lain,” katanya.

Untuk tabiat penjagaan gigi yang betul, ibu bapa harus memastikan anak-anak memberus gigi dua kali sehari dengan pengawasan supaya dapat memastikan semua gigi dibersihkan dengan sempurna. Paling utama kurangkan pengambilan gula dan makanan manis di dalam diet harian serta mengelak makanan manis berada terlalu lama di dalam mulut. Elakkan gula-gula melekit kerana ia lebih berisiko menyebabkan gigi berlubang.

“Bagi pemilihan berus gigi, pilih jenis berus gigi berkepala kecil, dengan pemegang yang agak besar agar senang digenggam anak kecil. Pilih jenis berus yang lembut dan lebat agar gusi tidak luka dan tahi gigi dapat dibersihkan dengan sempurna. Ubat gigi boleh digunakan apabila anak-anak sudah mula pandai meludah dan berkumur.

KARIES rampan akibat tidak menjaga gigi dengan betul.
KARIES rampan akibat tidak menjaga gigi dengan betul.

“Sebaliknya jika anak-anak belum pandai berkumur, ibu boleh menggunakan ubat gigi ‘food grade’ dan tidak mengandungi florida. Ubat gigi berflorida hanya sesuai digunakan jika anak-anak sudah pandai meludah dan berkumur. Dalam keadaan anak-anak yang mempunyai risiko karies yang tinggi, bolehlah juga menggunakan ubat gigi berflourida dengan pengawasan ibu bapa agar jangan tertelan,” ulasnya.

TIP PENJAGAAN GIGI:

1. Kurangkan makanan manis dan melekit dalam diet anak-anak.

2. Berus gigi dua kali sehari dengan pengawasan ibu bapa.

3. Gunakan berus gigi sesuai untuk tangan dan mulut anak yang kecil (berkepala kecil, pemegang yang besar, pemegang yang tidak terlalu panjang, berus yang lembut dan berwarna menarik agar anak-anak seronok memberus gigi).

3. Jangan biarkan anak tidur dengan botol susu di dalam mulut.

4. Elakkan penggunaan puting susu apabila gigi bayi sudah tumbuh.

5. Gunakan ubat gigi berflorida apabila anak-anak sudah pandai berkumur.

6. Kawal diet kanak-kanak supaya mereka melebihkan makanan sihat berbanding makanan manis dan elakkan makanan rapu di antara waktu makan.

7. Bawa anak-anak berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh walaupun anak tidak mengalami sakit gigi atau masalah gigi untuk mengelakkan anak-anak takut pada doktor gigi.

Keburukan menghisap puting kosong

1. Puting dan jangkitan telinga - Satu kajian yang dilakukan oleh Akademi Ketua Pergigian mencadangkan penggunaan puting membawa kepada jangkitan telinga kerana ia menyebabkan tiub auditori menjadi luar biasa terbuka.

2. Puting boleh membawa kepada pendakap gigi - Walaupun sesetengah ibu bapa menggunakan puting untuk berhenti menghisap ibu jari, kajian di atas juga menunjukkan penggunaan berpanjangan puting boleh membawa kepada masalah-masalah yang sama seperti menghisap ibu jari.

3. Ketumbuhan yang tidak wajar pada sekitar mulut.

4. Pertumbuhan gigi yang tidak teratur.

5. Pertumbuhan pada bentuk bumbung mulut (lelangit).

6.Puting juga menyumbang kepada kekotoran kerana ia diguna pakai semula tanpa pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 8:01 AM