RASA seperti dada ditekan.
RASA seperti dada ditekan.
Nurul Husna Mahmud


ASMA menjejaskan lebih 300 juta orang di seluruh dunia dan dianggarkan menyebabkan hampir 400,000 kematian setiap tahun.

Di Malaysia penghidap asma lebih ramai dalam kalangan kanak-kanak sehingga 7.1 peratus berbanding anggaran 4.5 peratus bagi golongan dewasa.

Risiko kematian akibat asma boleh terjadi terutama apabila episod gejala seperti batuk berterusan diikuti dengan rasa dada sempit sehingga menyebabkan pesakit tidak dapat bernafas dengan baik selain gagal dirawat dalam tempoh pantas.

Umumnya asma merujuk kepada masalah paru-paru kronik disebabkan keradangan di saluran udara paru-paru.

Sebaik terdedah kepada perkara yang boleh mencetuskan keradangan, dinding saluran udara ke paru-paru menjadi tebal dan membuatkan saluran ini menjadi sempit.

Pesakit akan mengalami gejala seperti batuk, berdesit (nafas berbunyi seperti wisel), susah bernafas dan dada rasa ketat seperti ditekan.

Biasanya pesakit asma memerlukan ubat berbentuk sedutan bagi menangani penyakit berkenaan.

Ubat jenis ini akan terus memasuki saluran udara dalam paru-paru merawat langsung ke kawasan organ yang terjejas.

Selain memfokuskan kepada ubat-ubatan, kajian terhadap pengambilan vitamin serta amalan baik berkaitan penyakit juga penting bagi meningkatkan kualiti kesihatan pesakit.

UBAT sedutan biasa diambil pesakit asma.
UBAT sedutan biasa diambil pesakit asma.

Satu penemuan menarik termasuklah pengambilan vitamin D boleh meningkatkan rintangan terhadap virus pernafasan dan mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan.

Kajian diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Universiti Mary di London pada 2017 mengatakan pengambilan vitamin D secara oral sebagai suplemen dapat merendahkan risiko serangan asma yang memerlukan pesakit kerap ke hospital.

Penemuan penting oleh Perubatan Respiratori Lancet atas tajaan Institut Penyelidikan Kesihatan Nasional London menganalisis sampel daripada 955 peserta yang terpilih menerusi tujuh ujian terkawal terhadap kesan suplemen vitamin D.

Hasil kajian itu mendapati suplemen vitamin D dalam dos terkawal mempunyai implikasi baik terhadap kumpulan pesakit asma yang kerap dikejarkan ke hospital akibat keradangan pada paru-paru.

Ketua Penyelidik Profesor Adrian Martineau menyifatkan dengan hasil kajian berkenaan mempunyai impak boleh membantu pesakit menderita asma.

“Hasil penemuan ini diharap menjadi bukti terbaru mengenai peranan vitamin D yang dapat menyokong fungsi imun dan kesihatan tulang.

“Secara purata, tiga orang di UnitedKingdom (UK)mati akibat serangan asma setiap hari.

Penemuan mengenai vitamin ini D diharap dapat membantu pesakit asma sebagai kaedah kawalan yang dapat menjimatkan kos menangani penyakit ini,” katanya.

PERBEZAAN saluran udara paru-paru individu normal dan pesakit.
PERBEZAAN saluran udara paru-paru individu normal dan pesakit.

Dalam kajian berkenaan penyelidik mendapati suplemen vitamin D mempunyai implikasi seperti berikut:

i. Pengurangan 30 peratus dalam kadar serangan asma yang memerlukan rawatan dengan tablet steroid atau suntikan.

ii. Pengurangan 50 peratus dalam risiko mengalami sekurang-kurangnya satu serangan asma yang memerlukan kehadiran atau kemasukan ke hospital dan unit kecemasan.

iii. Suplemen vitamin D didapati selamat pada dos yang diberikan. Tidak ada contoh tahap kalsium yang tinggi atau gangguan batu karang yang dilihat pada anggota vital seperti ginjal.

Namun begitu hasil penemuan itu perlukan kajian susulan mengukuhkan kaitan antara suplemen dengan pesakit asma berisiko tinggi disebabkan kumpulan sampel kajian disertai sebahagian besar pesakit mengalami serangan tahap sederhana.

Menurut pengkaji lain dalam kertas kajian sama, Dr David Jolliffe, pihaknya berharap ada kajian lebih komprehensif dalam menyokong kajian dengan mensasarkan kumpulan pesakit lebih menyeluruh.

“Hasil kajian kami sebahagian besarnya berdasarkan data daripada orang dewasa dengan gejala asma ringan dan sederhana.

“Kumpulan pesakit kanak-kanak dan orang dewasa dengan asma yang teruk agak kurang mewakili dalam data set, jadi penemuan kami tidak semestinya dijadikan panduan umum kepada kumpulan pesakit ini pada peringkat ini.

“Percubaan klinikal lebih lanjut perlu diadakan pada peringkat global dan kami berharap dapat memasukkan data daripada mereka dalam analisis masa depan untuk menentukan sama ada penemuan ketika ini disahkan dalam kumpulan yang lebih besar dan lebih variasi pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:00 AM