GOLONGAN warga emas yang mempunyai penyakit
GOLONGAN warga emas yang mempunyai penyakit
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DISEBABKAN gejala yang hampir sama, masih ramai keliru selain tidak dapat membezakan antara penyakit bronkitis dengan radang paru-paru (pneumonia).

Namun, adalah penting untuk masyarakat mengetahui perbezaan antara kedua-dua penyakit itu bagi mendapatkan rawatan yang tepat.

Pakar Perubatan dan Respiratori, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Tengku Saifudin Tengku Ismail berkata, bronkitis berlaku apabila saluran yang dipanggil bronkiol yang membawa udara ke paru-paru mengalami keradangan dan membengkak.

Apabila ia berlaku, saluran berkenaan boleh menjadi sempit dan pesakit boleh mengalami sesak dada apabila dada terasa penuh atau tersumbat.

Kata Dr Tengku Saifudin, pesakit juga mengalami batuk yang mungkin mengeluarkan lendir jernih, putih, kuning atau hijau, sesak nafas dan semput atau bunyi siulan (wheezing) apabila bernafas.

"Pneumonia pula adalah radang pada paru-paru yang menyebabkan pundi udara (alveoli) dipenuhi dengan sel-sel inflamasi dan ini menyebabkan pertukaran gas-gas terjejas.

KAEDAH rawatan menggunakan ‘nebulizer’ juga dapat membantu untuk membuka saluran pernafasan yang sempit disebabkan keradangan.
KAEDAH rawatan menggunakan ‘nebulizer’ juga dapat membantu untuk membuka saluran pernafasan yang sempit disebabkan keradangan.

"Ia biasanya disebabkan jangkitan kuman seperti bakteria, virus dan kulat manakala gejala yang dialami pesakit adalah batuk, berkahak kotor, sakit dada, demam serta susah bernafas.

"X-ray dada biasanya menunjukkan tompok putih atau 'consolidation' dan pemeriksaan kahak membantu mengenali punca kuman yang menyebabkan pneumonia," katanya.

Menerangkan dengan lebih lanjut, Dr Tengku Saifudin berkata, bronkitis terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik.

Katanya, bronkitis akut adalah keradangan jangka pendek yang menyebabkan saluran pernafasan dalam paru-paru membengkak dan dipenuhi lendir.

"Bronkitis kronik pula adalah keradangan berterusan pada saluran pernafasan.

"Selalunya ia berlaku disebabkan tabiat merokok dan boleh berlanjutan berbulan-bulan sehingga bertahun-tahun lamanya," katanya.

DR Tengku Saifudin
DR Tengku Saifudin

Jelas Dr Tengku Saifudin lagi, penyebab utama bronkitis akut termasuk jangkitan virus yang menyebabkan selesema atau bakteria.

Bronkitis kronik pula disebabkan tabiat merokok atau menghirup asap rokok untuk masa yang lama dan menghirup pencemaran udara, asap kimia atau habuk.

Katanya, keradangan menyebabkan saluran bronkiol menjadi bengkak dan menghasilkan lebih banyak lendir, ia juga akan menjadi lebih kecil untuk udara mengalir, sekali gus boleh menyukarkan pernafasan.

"Risiko bronkitis adalah lebih tinggi dalam kalangan perokok, pesakit asma dan jika ada alahan.

"Selain itu, golongan yang memiliki sistem imun lemah seperti warga emas, bayi dan pesakit yang mempunyai penyakit kronik juga berisiko tinggi," katanya.

Dalam pada itu, meskipun tidak membabitkan simptom yang teruk, namun bronkitis tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Pakar Perunding Kanak-Kanak, Dr Faisal Mohd Fadzli pula berkata, jika tidak dirawat dengan baik, bronkitis boleh menyebabkan pesakit susah bernafas, batuk serta mengeluarkan kahak atau lendir berlebihan.

BRONKITIS berlaku apabila saluran yang dipanggil bronkiol yang membawa udara ke paru-paru mengalami keradangan dan membengkak.
BRONKITIS berlaku apabila saluran yang dipanggil bronkiol yang membawa udara ke paru-paru mengalami keradangan dan membengkak.

Ia juga berisiko menyebabkan komplikasi jangkitan merebak ke paru-paru (pneumonia), boleh melarat dalam darah (sepsis) dan ke organ dalaman lain (kegagalan organ).

Kata Dr Faisal, risiko lebih tinggi kepada kanak-kanak dan dewasa yang mempunyai komorbid (penyakit jantung, buah pinggang atau paru-paru yang kronik) serta warga emas.

Katanya, bronkitis akut biasanya hilang dengan sendirinya dalam beberapa minggu dan pesakit perlu minum air yang banyak untuk membantu mencairkan lendir supaya mudah ia dikeluarkan.

"Selain itu, wap yang disedut ketika mandi air panas boleh juga membantu melonggarkan lendir.

"Ubat batuk yang mengandungi bahan untuk mencairkan kahak dan menolong merangsang pengeluaran lendir juga boleh membantu mengeluarkan lendir, " katanya.

Tambahnya, jika bronkitis itu disebabkan jangkitan bakteria, doktor akan memberi rawatan dengan antibiotik.

Rawatan menggunakan 'nebulizer' juga kata beliau, mungkin dapat membantu untuk membuka saluran pernafasan yang sempit disebabkan keradangan dan lebih mudah untuk bernafas.

"Manakala fisioterapi dada dan prosedur menyedut kahak (suction) juga boleh membantu mengeluarkan lendir kahak terutama pada kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, Dr Faisal berkata, bronkitis boleh berulang jika pesakit kerap terdedah kepada risiko jangkitan.

Jelas beliau, jika terlalu kerap berlaku terutama pada kanak-kanak sehingga memerlukan rawatan di hospital setiap bulan, siasatan lebih perlu dibuat kerana mungkin pesakit mempunyai masalah imun (immunodeficiency) atau masalah khusus pada paru-paru (seperti cystic fibrosis) yang membuatkannya lebih senang terkena jangkitan bronkitis.

Katanya, majoriti pesakit kanak-kanak selalunya jarang berulang untuk terkena jangkitan itu, namun kebanyakan mereka akan terkena antara sekali hingga dua kali dalam seumur hidup.

Justeru, ibu bapa perlu memastikan si kecil kesayangan mengamalkan gaya hidup sihat dengan memakai pelitup muka jika ke sekolah dan kerap membasuh tangan.

"Sekiranya anak tidak sihat dengan gejala awal seperti batuk dan selesema atau demam, jangan dihantar ke taska, pusat asuhan atau sekolah sebaliknya segera dapatkan rawatan awal.

"Risikonya juga boleh dicegah dengan menjauhi asap rokok dan mengambil vaksin," katanya.

Segera berjumpa doktor jika:

* Mengeluarkan lendir, kahak berdarah, pekat atau gelap.

* Demam tinggi.

* Semput atau sesak nafas.

* Batuk lebih dari dua minggu.

* Sakit dada.

* Mempunyai bunyi seperti siulan dan sukar untuk bercakap.

* Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.

Bagaimana bronkitis didiagnosis?

* Pemeriksaan fizikal dan gejala.

* Ujian tahap oksigen dalam darah.

* Ujian spirometry (ujian fungsi paru-paru).

* X-ray dada.

* Pemeriksaan darah dan lendir atau kahak untuk mengesan jangkitan kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:00 AM